PAS LAKSANAKAN JANJINYA DALAM MANIFESTO SECARA
 BERPERINGKAT-PERINGKAT
 
 KUALA TERENGGANU, 8 Dis  -- Kerajaan Pas Terengganu
 akan melaksanakan janji-janjinya dalam manifesto sewaktu pilihan
 raya umum lepas secara berperingkat-peringkat.

 Timbalan Persuruhjaya Pas negeri, Haji Harun Taib berkata
 sehingga ini, selepas seminggu kerajaan Pas mentadbir negeri,
 beberapa janji telah ditunaikan, antaranya penghapusan kutipan
 tol di Jambatan Sultan Mahmud, sehari selepas Persuruhjaya Pas
 Terengganu Haji Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Menteri Besar,
 pada 30 Nov lepas.

 "Kita juga telah laksanakan cuti bersalin selama 90 hari kepada
 kakitangan kerajaan, sebelum ini hanya 60 hari sahaja, bagi
 memastikan mereka benar-benar sihat untuk bekerja," katanya di
 sini, hari ini.

 Selain itu, katanya, kerajaan juga melaksanakan kerja lima hari
 seminggu untuk semua kakitangan dan hari Khamis merupakan hari
 kerja sepenuh masa, di samping cuti Sabtu pertama setiap bulan.

 Beliau berkata kerajaan juga telah menghapuskan kutipan cukai
 pintu kediaman untuk seluruh rakyat di negeri ini sebagai satu
 usaha memberikan pengagihan sama rata di atas keuntungan
 kerajaan selama ini.

 "Kita tidak dapat memberi wang kepada rakyat, penghapusan cukai
 pintu kediaman itu adalah satu cara kita memberi hak rakyat di
 atas keuntungan yang diperolehi kerajaan negeri terutama melalui
 perindustrian seperti petroleum dan gas," katanya.

 Beliau berkata selain itu, kerajaan negeri juga sedang mengkaji
 beberapa perkara lagi termasuk melihat perkembangan dan
 perjalanan anak-anak syarikat di bawah Perbadanan Memajukan
 Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) untuk memastikan ia diuruskan
 dengan baik dan betul.

 Harun yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan
 Pelaksanaan Syariah negeri berkata dalam pembentangan
 Belanjawan 2000 Negeri bulan ini, kerajaan akan menumpukan
 semua sumber pelaburan negeri adalah jelas salurannya.

 "Di samping itu, kita galakkan pelaburan secara Islam yang mampu
 menarik lebih ramai pelabur serta menjalankan pinjaman tanpa 'riba'
 iaitu Al-Mudharabah," katanya.

 Beliau berkata kerajaan juga akan memperkenalkan sistem
 pentadbiran di negeri ini berlandaskan Islam yang banyak memberi
 manfaat kepada masyarakat keseluruhannya.

 "Pelbagai aspek termasuk ekonomi, pendidikan dan sebagainya
 akan dilaksanakan mengikut Islam...Insya-Allah ia akan jadi
 kenyataan," katanya.