Terengganu akan cetak semula tiga perjanjian

KUALA TERENGGANU, 6 Okt (Hrkh) - Kerajaan negeri Terengganu akan mencetak semula tiga dokumen berkaitan dengan bayaran royalti minyak lima peratus oleh Petronas kepada kerajaan negeri Terengganu untuk diedarkan kepada mana-mana pihak yang berminat.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Terengganu, Zahari Mohamad berkata, beliau menerima permintaan yang bertalu-talu dari media termasuk antarabangsa untuk mendapatkan salinan tersebut.

"Saya memberi jaminan, semua pihak yang berminat untuk mendapatkan dokumen itu akan memperolehinya sedikit masa lagi. Pihak kami sedar menguruskan usaha untuk mencetak semula ketiga-tiga dokumen itu," kata Zahari kepada Harakah.

Pada 4 Oktober lepas, Menteri Besar Terengganu telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau sebagai Menteri Besar telah mengeluarkan ketiga-tiga dokumen itu dari senarai Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Ini bermakna, orang ramai boleh melihat dan memiliki dokumen tersebut untuk memahami kedudukan sebenar perjanjian antara Petronas dan Kerajaan Negeri Terengganu mengenai royalti minyak.

Ketiga-tiga dokumen itu adalah Surat Acara di bawah Seksyen 2(2) Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang ditandatangani oleh Menteri Besar Terengganu dan Petronas pada 22 Mac 1975 di Kuala Terengganu.

Perjanjian bertarikh 22 Mac 1975 di bawah Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang ditandatangani oleh Mneteri Besar negeri Terengganu dan Petronas dan; Perjanjian melalui surat bertarikh 16 Septermber 1987 yang ditandatangani oleh Pengerusi Petronas dna Menteri Besar Negeri Terengganu.

Tindakan ini dibuat oleh Abdul Hadi Awang dibuat melalui kuasa di bawah Seksyen 2C, Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88).