TOMPOKAN MINYAK DIKESAN DI PANTAI BESUT 
               
  
 JERTIH, 19 Feb -- Beberapa tompokan dan ketulan
 minyak dikesan di sepanjang tiga kilometer antara pantai
 perkelahan Bukit Keluang dan pantai peranginan Air Tawar. 

 Pengurus chalet pelancongan La Villate di Bukit Keluang di sini,
 Hilmi Zakaria, 42, berkata beliau mengetahui mengenai tompokan
 dan ketulan minyak hitam di pantai-pantai berkenaan daripada
 penyewa chaletnya yang terdiri daripada pelancong asing
 semalam. 

 Hilmi serta para pengunjung yang bersiar-siar dan berehat di
 kawasan pantai itu meminta pihak berkuasa mengambil tindakan
 segera untuk membersihkannya. 

 Tinjauan Bernama mendapati tompokan dan ketulan minyak yang
 dipercayai dibawa oleh ombak ke pantai itu mencemarkan pantai
 dan menyebabkan aktiviti pantai tidak dapat dijalankan. 

 Semalam, akhbar melaporkan mengenai tompokan minyak itu yang
 dikesan kira-kira lima kilometer sepanjang pantai Balok berdekatan
 De Rhu Beach Resort hingga ke pantai Batu Hitam, dekat Kuantan.
 

 Sementara itu, polis Besut yang dihubungi berkata jabatan itu
 belum menerima laporan mengenai pencemaran terbabit. 

 Jabatan Alam Sekitar negeri juga tidak dapat dihubungi kerana cuti
 Sabtu minggu ketiga. 
   

TERENGGANU DARUL IMAN®