ROYALTI : KAMI BERSAMA TOK GURU


 
 

KUALA TERENGGANU, 18 Dis- Dewan Undangan Negeri Terengganu diberitahu tindakan Kerajaan Pusat menghidupkan semula Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dimansuhkan kerajaan negeri sebelum ini, menjadi punca perpecahan di kalangan penduduk tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Haji Wan Abdul Muttalib Embong, berkata keadaan menjadi lebih teruk lagi apabila anggota JKKK mencanangkan kepada penduduk tempatan bahawa mereka akan diberi tanggungjawab untuk mengagihkan wang royalti petroleum kepada rakyat Terengganu.

"Keadaan itu menimbulkan rasa kurang senang di kalangan masyarakat tempatan dan menyebabkan berlaku perpecahan," katanya ketika menjawab soalan lisan Ustaz Ismail Mamat (PAS-Telok Pasu) yang bertanyakan soalan mengenai perkara itu dalam sidang DUN Terengganu, hari ini.

Wan Abdul Mutalib berkata, sebelum ini kerajaan negeri sudah berjaya menyatukan semula penduduk tempatan di bawah panji-panji pemerintahan Islam yang diamalkan kepimpinan negeri.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri akan bertindak tegas ke atas kakitangan kerajaan yang terlibat dengan penubuhan JKKK kerana badan itu tidak diiktiraf oleh kerajaan negeri.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah negeri, Ustaz Harun Taib, berkata Pusat Gadaian Islam Ar-Rahnu akan diperluaskan di seluruh negeri bagi membolehkan lebih ramai umat Islam mendapat perkhidmatan sistem pergadaian secara Islam.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengenal pasti premis-premis perniagaan yang sesuai di setiap daerah bagi tujuan tersebut.

"Buat masa ini kita sudah mengenal pasti premis yang sesuai di daerah Dungun dan Kemaman saja manakala daerah lain masih dalam kajian," ujarnya ketika soalan Ustaz Abdullah Mat Dan (PAS-Hulu Besut).

 harakahdaily