TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM
"BERSAMA MENGISI KEMENANGAN"
tinta_hijau@hotmail.com

BANTAHAN WARGA MALAYSIA DI BUMI JORDAN TERHADAP KES DS ANWAR IBRAHIM

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim, Assalamualaikum wbt.

Keputusan mahkamah menghukum DS Anwar Ibrahim dengan 9+6 tahun penjara telah mencetuskan kemarahan sekalian rakyat, bukan terbatas di sekujur tubuh Malaysia bahkan di seluruh dunia. Kami para pelajar dan warga Malaysia di bumi Jordan berasa sangat terpanggil dan bertanggungjawab untuk menyatakan pendirian kami berhubung dengan kezaliman terang-terangan ini.

Tanpa perlu mengulas bagaimana rentetan peristiwa pendakwaan ke atas DS Anwar Ibrahim itu berlaku, kita bersama segera sampai ke natijah bahawa Malaysia telah menjadi sebuah negara yang paling berjaya memalukan rakyatnya di hadapan Tuhan, di mata jiran tertangga dan seluruh warga manusia yang memahami erti keadilan serta hak asasi manusia. Kami yang menuntut di Fakulti Syariah Perundangan Islam dan Bahasa Arab, semestinya amat tersentak dengan kebobrokan Mahathir mencemari bumi Malaysia dengan permainan politik kotornya itu. Sudahlah undang-undang Islam diketepikan dengan bonus cemuhan berpanjangan terhadap semua usaha ke arah melaksanakan ia, undang-undang ciptaan manusia yang memberi sedikit ruang-ruang kemanusiaan dan keadilan itu pun turut dicabuli dengan sewenang-wenangnya.

Jika kita melihat kepada pelbagai kes yang menzalimi umat Islam di sepanjang sejarah perjuangan mereka, sekalian peristiwa itu amat berbeza dengan kes DS Anwar Ibrahim ini. Misalnya di Turki, hukuman bunuh yang dikenakan terhadap Adnan Menderes, tahanan politik ke atas Necmettin Erbakan dan Erdogan... semuanya adalah dengan bersandarkan undang-undang sekular totok yang diamalkan oleh negara berkenaan. Maka, kita tidak terlalu mempertikaikan tindakan mahkamah menghukum mereka, sebaliknya kita membantah undang-undang cacat yang diwartakan sebagai perlembagaan sebuah negara yang dihuni oleh lebih 98% penduduk muslim itu. Keputusan mahkamah itu tentunya zalim di mata Islam tetapi ia kekal sebagai sebuah hukuman yang disanadkan kepada perlembagaan terpakai. Ada sedikit rasional kehakiman di situ!

Akan tetapi, di bumi Malaysia yang mewartakan Islam sebagai agama rasmi (sesuatu yang menjadi mimpi-mimpi indah tapi dangkal segelintir umat Islam di negara lain seperti Turki), keadilan sudah dikuburkan sedalam-dalamnya ke perut bumi. Undang-undang mana yang mungkin boleh dijadikan sandaran kes DS Anwar Ibrahim? Tidak lain dan tidak bukan, kes ini hanyalah buah-buah racun dari sebuah diktatorisma milik Dr. Mahathir. Undang-undang rimba sekali pun tidak sekejam konspirasi jelek ini. Maka bukankah terlalu hina untuk menjadi rakyat sebuah negara yang berPMkan seorang seperti ini, bermahkamahkan seperti sejalur bangunan tua di tengah kota raya KL itu?

Kami berasa sangat malu dan terhina apabila para pensyarah, ulamak dan penduduk tempatan tidak putus-putus mengemukakan soalan... bagaimana kesaksian seorang penzina yang rendah IQ itu boleh menjadi sandaran kepada hukuman ke atas DS Anwar Ibrahim, seorang figure yang keperibadiannya telah sedia maklum di sini.

Allah... bergegar-gegar keranda syuhada', terbakar panas medan jihad... jika kami warga Malaysia di bumi Syam yang diberkati Allah ini mendiamkan diri terhadap kezaliman itu. Ya Dzalim... wahai si zalim, kamu sudah keterlaluan!

Janganlah disangka kedatangan menteri-menteri ke mari yang disambut kompang, wang-wang yang ditaburkan oleh kunjungan pemimpin-pemimpin negara itu... dinilai bahawa semangat jihad dan penentangan kami sudah mati. Kemiskinan kami di sini bukan tempurung pengemis yang boleh disogokkan dengan cebis-cebis kekayaan syubhat itu. Bahkan kami kaya jiwa dan kaya perjuangan. Maka dengan kemewahan dan kekayaan itu, kami laungkan kepada sekalian rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan kebenaran agar:

1. terus beristiqamah mempertahankan keadilan dan menuntut hak itu, sama ada di dalam mahkamah kalau tersisa ruang, atau di mana sahaja anda berada.

2. tidak menunggu sehingga ke pilihanraya akan datang untuk menyatakan protes, sebaliknya terus menggunakan segala kesempatan yang ada untuk menyatakan penentangan dan bantahan. Setiap detik selepas ini menuntut kita untuk melakukan sesuatu kerana zaman tunggu dan lihat sudah mati.

3. mendidik anak-anak semenjak di awal umur agar menyintai kebenaran dan membenci kezaliman, serta berani kerana benar dan takut kerana salah... satu-satunya semangat yang boleh menjamin jati diri warga Malaysia.

4. memurahkan diri, tenaga, masa, harta bahkan jiwa untuk diniagakan di medan mempertahan kebenaran dan keadilan, di dalam sebuah perniagaan yang dijanjikan Allah balasan terbaik untuk hambaNya.... Hanya di situ letaknya kemulian sebuah bangsa.. bangsa Malaysia.

Ingatlah bahawa, yang dihukum itu bukanlah DS Anwar Ibrahim semata, tetapi ia adalah simbol penindasan kepada sekalian warga Malaysia. Maka... lawan tetap lawan! Susunkan barisan dan kukuhkan kesatuan, tanamkan keyakinan bahawa Islam adalah penyelesaian, tinggikan tawakal kepada Allah dan "sieru 'ala barakatillah" Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa Lillahilhamd!

Anak Malaysia di bumi Isra',

 

Abu Ubaidah Al-Malizi