KERAJAAN TERENGGANU TUNGGU LAPORAN
 MENGENAI JUDI
 
 KUALA TERENGGANU, 27 Dis-- Kerajaan Pas
 Terengganu belum membuat keputusan untuk menutup premis
 perjudian di negeri itu sehingga laporan lengkap berhubung perkara
 itu diperolehi.

 Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang berkata berikutan laporan
 lengkap belum diterima, kerajaan negeri terpaksa menunggu sedikit
 masa lagi sebelum membuat keputusan sama menutup
 premis-premis berkenaan atau tidak.

 Beliau menjangkakan laporan itu, daripada para pegawai agensi
 terbabit, akan diperolehi dalam tempoh sehari dua lagi.

 "Kita belum tahu akan tutup (premis judi) pada 1 Jan
 ini...tunggulah sehari dua lagi kita akan buat pengumuman,"
 katanya kepada pemberita selepas melawat rumah-rumah yang
 terkena hakisan ombak di beberapa buah kampung di sini hari ini.

 Kini terdapat tiga premis perjudian Sports Toto dan dua premis
 empat nombor ekor yang beroperasi di sekitar bandar Kuala
 Terengganu dan satu premis empat nombor ekor di Dungun.

 Lesen kesemua premis perjudian itu akan tamat tempoh pada 31
 Dis ini.

 Abdul Hadi berkata kerajaan negeri juga memandang serius
 tindakan pemilik-pemilik premis perjudian di Terengganu yang
 mengambil orang Islam sebagai pekerja kerana ia bercanggah
 dengan syariat Islam.

 "Sepatutnya taukeh-taukeh perjudian itu menghormati orang
 Islam...mengambil orang Islam jadi pekerja itu tidak betul,"
 katanya.

 Mengenai kejadian hakisan, Abdul Hadi berkata kerajaan negeri
 akan mencari kawasan yang sesuai sebelum memindahkan mereka
 yang terlibat.

 Beliau berkata kerajaan negeri akan membuat bancian jumlah
 mangsa yang terlibat dan sejauh mana kediaman mereka
 mengalami kerosakan akibat hakisan ombak itu.

 Beratus buah rumah di pesisiran pantai Batu Rakit hingga ke
 Marang dilaporkan rosak akibat terkena hakisan ombar besar yang
 berlaku sejak beberapa malam lepas.