Make your own free website on Tripod.com


Isu kafir-mengkafir telah selesai


 

Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, berkata isu kafir-mengkafir tidak menjadi halangan kepada usaha untuk meneruskan pertemuan pemimpin PAS dan Umno bagi membincangkan isu Perpaduan Nasional.

Beliau berkata, ini kerana PAS menganggap isu tersebut sudah selesai dan ia tidak lagi dibangkitkan dalam ceramah dan majlis ilmu yang dianjurkan oleh PAS.

"Boleh dikatakan lebih 90 peratus bekas pemimpin PAS yang pernah membangkitkan isu tersebut telah masuk (menyertai) Umno.

"Mereka ini adalah bekas ahli PAS yang keras dan mengkafirkan (penyokong) Umno....Sekarang ini mereka telah digunakan oleh Umno (untuk menyerang PAS)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar hari ini mengenai kemungkinan Umno akan membangkitkan isu kafir-mengkafir sebagai pertukaran kepada komitmennya bagi meneliti tiga syarat yang dituntut oleh PAS bagi membolehkan pertemuan penyatuan Melayu diteruskan.

Sebelum ini, PAS mengemukakan tiga syarat bagi meneruskan pertemuan itu iaitu mengembalikan royalti minyak kepada Terengganu, membenarkan penerbitan Harakah dua kali seminggu dan Kerajaan Pusat perlu menolak cadangan Umno supaya melarang penggunaan perkataan Islam pada parti politik.

Ustaz Abdul Hadi berkata, sebelum ini pun PAS sentiasa membuka pintu rundingan bagi mengadakan muzakarah berhubung isu kafir-mengkafir.

"Kita tidak akan membebankan Umno dengan isu ini dan rundingan mengenainya boleh diadakan pada bila-bila masa," katanya.

Beliau juga berkata, pihaknya juga sedia berbincang mengenai isu Amanat Haji Hadi yang didakwa oleh Umno menjadi punca perpecahan masyarakat Melayu di negara ini.

"Mereka yang bertanggungjawab mencetak dan menyebarkan risalah mengandungi ucapan saya di Banggol Peradong (yang dijadikan inti pati amanat tersebut) juga sudah tiada dalam PAS," ujarnya.

sumber  : Harakah daily