TERENGGANU ANJUR 3 PROGRAM UNTUK KARNIVAL JUALAN MEGA
 
 
 
 
TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM
"BERSAMA MENGISI KEMENANGAN"
tinta_hijau@hotmail.com

KARNIVAL JUALAN MEGA

KUALA TERENGGANU, 11 Ogos -- Kerajaaan Negeri Terengganu akan mengadakan tiga program bagi melengkapkan perayaan Karnival Jualan Mega Malaysia 2000 peringkat negeri Terengganu yang akan berlangsung selama sebulan mulai 5 Ogos lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Pelancongan Negeri Wan Hassan Mohd Ramli berkata program-program itu ialah aktiviti misteri Sungai Dungun, pertandingan layang-layang terbuka Terengganu dan festival Terengganu.

"Diharap ianya tidak secara langsung akan dapat menjadi salah satu daya tarikan pelancong ke negeri ini," katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran Karnival Jualan Mega Malaysia 2000 peringkat negeri Terengganu yang disampaikan oleh Timbalannya Saiful Bahri Mamat di Dataran Shahbandar, di sini, petang Khamis.

Wan Hassan berkata aktiviti misteri sungai Dungun bertujuan untuk mempromosikan beberapa kawasan di Hulu Dungun sebagai kawasan pelancongan yang menarik di negeri ini.

Beliau berkata acara itu akan bermula dari kampung Pasir Raja hingga ke Kuala Dungun selama tiga hari mulai 19 Ogos.

Wan Hassan berkata, pertandingan layang-layang terbuka Terengganu akan diadakan di Awana Kijal Beach & Golf Resort, Kemaman selama empat hari bermula 24 Ogos.

Manakala festival Terengganu 2000 pula akan diadakan di pantai Batu Buruk selama sembilan hari mulai 1 Sept dan sekaligus akan menjadi program tahunan, katanya.