KERAJAAN NAIKAN BANTUAN KEBAJIKAN  
 

               KUALA TERENGGANU, 3 April  -- Kira-kira 16,000
               penerima bantuan kebajikan di Terengganu akan menikmati kadar
               baru bantuan yang kini dinaikkan antara RM100 dan RM250
               sebulan.

               Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Sosial dan Kesihatan negeri Abu
               Bakar Abdullah berkata sebelum ini penerima-penerima bantuan am
               negeri menerima antara RM60 dan RM150 sebulan.

               "Pelaksanaan pembayaran bantuan itu bagaimanapun terpulanglah
               kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya pada persidangan
               media di sini hari ini.

               Beliau berkata kenaikan kadar bantuan am itu berkuatkuasa
               semalam adalah selaras dengan janji-janji Pas dalam manifestonya
               pada pilihan raya umum lepas, sekiranya parti itu berjaya
               memerintah Terengganu.

               Abu Bakar berkata kadar bantuan bagi kanak-kanak dalam satu
               keluarga terutamannya tanggungan ibu tunggal juga dinaikkan
               daripada RM20 sebulan untuk seorang anak kepada RM60 sebulan
               seorang.

               Beliau berkata kenaikan kadar bantuan itu membabitkan
               perbelanjaan sebanyak RM26.6 juta setahun berbanding RM16 juta
               sebelum ini.
 

              BERITA TDI