TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM
"BERSAMA MENGISI KEMENANGAN"
tinta_hijau@hotmail.com

KELANTAN CADANG CONTOHI TERENGGANU TUBUH
                JABATAN HISBAH

 
 
 
                KUALA TERENGGANU, 8 Ogos -- Kerajaan Kelantan
                bercadang mencontohi Terengganu untuk menubuhkan Jabatan
                Hisbah kerana ia mempunyai banyak kebaikan, kata Menteri Besar
                Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

                Beliau berkata kerajaan Kelantan telah merintis jalan untuk
                melaksanakan perkara yang sama sebelum ini tetapi ia terpaksa
                ditangguhkan kerana beberapa sebab tertentu.

                "Kita lihat dulu pelaksanaan Jabatan Hisbah di
                Terengganu...insya'Allah selepas ini kita akan menerima apa yang
                dilaksanakan di sini untuk dibawa ke Kelantan," katanya kepada
                pemberita pada Bengkel Perdana Hisbah di sini Selasa.

                Lebih 200 peserta menyertai bengkel itu yang dirasmikan Menteri
                Besar Terengganu, Abdul Hadi Awang.

                Ditanya penubuhan jabatan itu akan bercanggah dengan peranan
                Badan Pencegah Rasuah (BPR), Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul
                Am PAS mendakwa BPR bukan sebuah badan bebas kerana ia
                terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri.

                "Sebagai contoh, kes Perwaja masih belum berjaya diselesaikan
                walaupun telah memakan masa yang begitu lama...kalau BPR
                diberikan kebebasan pun, ia tak akan jadi BPR lagi tetapi ia akan
                jadi Hisbah," katanya.

                Ditanya mengenai isu sembahyang dua imam yang berlaku di
                Terengganu, Nik Abdul Aziz berkata akhbar sengaja
                melaga-lagakan rakyat dan kerajaan dengan menimbulkan isu
                berkenaan.

                "Surat khabar menjadi peranan utama melaga-lagakan rakyat
                dengan kerajaan Terengganu...ini saya nak katakan terus terang,"
                katanya.

                Menurutnya masih banyak isu yang boleh ditonjolkan oleh akhbar
                di Terengganu tetapi ia tidak dilaporkan dan mendakwa akhbar
                sengaja mencari sesuatu yang menimbulkan masalah.

                "Akhbar menyerang Terengganu disebabkan mereka gagal
                menyerang Kelantan sebelum ini," katanya.