Make your own free website on Tripod.com

ROYALTI : KAMI TETAP BERSAMA TOK GURU



Terengganu ambil langkah berkesan kurangkan kemiskinan

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu mengambil langkah dan strategi yang berkesan bagi mengurangkan kadar kemiskinan menerusi agensi-agensi kerajaan seperti Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama dan Adat Melayu (MAIDAM), Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK),Yayasan Terengganu dan lain-lain.

Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menyediakan berbagai bentuk bantuan kepada golongan miskin meliputi bantuan am bulanan kepada 13,412 penerima pada tahun ini berjumlah RM11.894 juta manakala penerima bantuan sekaligus seramai 6,925 orang dengan jumlah bantuan sebanyak RM943,000.

"Bantuan bencana alam diperuntukkan pada tahun 2000 sebanyak RM300,000 dan sehingga September dibelanjakan sebanyak RM229,963 seperti kes ribut, kebakaran dan sebagainya," kata Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Sosial dan Kesihatan negeri, Ustaz Abu Bakar Abdullah ketika menggulung perbahasan Belanjawan Negeri Tahun 2001 pada sidang Dewan Undangan Negeri semalam.

Kerajaan juga, katanya telah memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi membantu mangsa banjir di Hulu Besut bagi memulihkan kerosakan rumah, peralatan dan pakaian dan telah membelanjakan sebanyak RM414,000 kepada 148 keluarga yang terlibat.

Sehingga kini, katanya lebih daripada 5,000 permohonan baru telah dikemukakan kepada JKM untuk mendapat bantuan am bulanan yang terdiri daripada golongan yang tersisih dan terpendam semasa pemerintahan Barisan Nasional yang lalu.

Tambahnya, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM1.7juta bagi membina dan membaiki rumah golongan rakyat termiskin (PPRT) dan sepanjang tahun ini telah dibelanjakan lebih daripada RM1 juta yang melibatkan pembinaan baru sebanyak 15 buah dan baikpulih sebanyak 12 buah.

Katanya, peruntukan yang diperolehi daripada kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan wang zakat daripada MAIDAM sebanyak 164 buah rumah yang dibina baru dan 198 buah dibaikpulih.

Selain itu, katanya Yayasan Pembangunan Keluarga telah memberi tumpuan kepada membantu golongan miskin melalui program jaya diri di ana seramai 3,678 orang telah menyertainya dengan peruntukan berjumlah RM 6.728 juta.

"MAIDAM pula membiayai berbagai bantuan kepada fakir miskin di mana perbelanjaan berjumlah RM6.322juta telah dikeluarkan pada tahun 2000, begitu juga dengan Yayasan Terengganu telah menyediakan berbagai bentuk bantuan bagi membiayai pengajian para pelajar miskin di peringkat pengajian rendah, menengah dan tinggi dengan peruntukan sebanyak RM30 juta pada tahun ini," katanya.