KENYATAAN AKHBAR
  KETUA PEMBANGKANG DAN PRESIDEN PAS 
17 FEBRUARI 2000
      ‘AMBIL TINDAKAN TEGAS TERHADAP PENDERA PEMBANTU RUMAH’   

      PAS memandang serius beberapa peristiwa penderaan pembantu rumah yang dilaporkan dalam akhbar
      tempatan. Semakin banyak kes dilaporkan dan ada pembantu rumah yang cedera parah. Penderaan
      yang berlaku termasuk juga rogol, pengabaian dan penghinaan, serta penafian hak untuk
      melaksanakan amal ibadat bagi yang beragama Islam. Kesan fizikal dan mental yang dialami oleh
      mangsa-mangsa penderaan ini juga akan menjejaskan masa depan kehidupan mereka. Sebelum ada
      yang dilaporkan mati akibat kecederaan, eloklah kita segera melakukan tindakan pencegahan dan
      penguatkuasaan undang. 

      PAS merasa amat sedih dan percaya umat Islam seluruhnya berasa amat terhina apabila ada
      pembantu rumah beragama Islam yang dipaksa memasak dan memakan daging babi. Isu babi adalah
      perkara yang sangat sensitif bagi umat Islam dan orang Melayu. Pihak Kerajaan tidak boleh dengan
      mudah mengatakan mereka tidak tahu perkara ini berlaku. Pekerja asing telah lama berada di negara
      ini, melebihi 15 tahun dan selama itu mereka telah dinafikan berbagai hak mereka termasuk dipaksa
      makan makanan haram. Di manakah maruah umat Islam? Namun dalam masa yang sama, parti
      pemerintah UMNO/BN sibuk menyerang PAS dan umat Islam lain yang dikatakan kononnya
      menggunakan masjid untuk memecah-belahkan masyarakat dan menyebarkan fatwa palsu dan
      sebagainya. 

      Dakwaan juga dibuat oleh mangsa bahawa mereka dilarang bersembahyang dan berpuasa. Pihak BN
      hanya berminat untuk menjadikan industri pekerja asing ini sebagai tempat mengaut untung tanpa
      mengambilkira kepentingan pekerja asing tersebut. Di kampung, pemimpin UMNO mencanangkan
      bahawa mereka turut memperjuangkan Islam, tetapi pada masa yang sama mereka membiarkan
      pekerja asing Bangladesh dan Indonesia dinafikan hak untuk mengerjakan solat Jumaat oleh
      majikan-majikan mereka. Perkara ini telah dilaporkan berkali-kali dan pernah diadukan kepada
      Kesatuan-Kesatuan Sekerja tapi masih berlaku. Perkara ibadat tidak boleh diremehkan, sama juga
      seandainya ada majikan Islam yang menafikan hak pekerja bukan-Islam melaksanakan ibadat dan
      budaya mereka, pasti akan menimbulkan ribut besar seluruh dunia.

      PAS menuntut supaya: 

        1.Majikan bukan Islam tidak mengambil pembantu rumah dari kalangan umat Islam. Jika terpaksa
           juga, satu mekanisma perlu diujudkan bagi mengelakkan penganiayaan seperti yang sedang
           dilaporkan.

        2.Satu unit ditubuhkan di Kementerian Tenaga Manusia dan Jabatan Imigresen bagi memudahkan
           pekerja asing membuat aduan terhadap majikan mereka.

        3.Di rangka satu Piagam Pekerja Asing yang menggariskan peraturan dan tanggungjawab
           kedua-dua pihak majikan dan pekerja. Piagam ini mestilah adil bagi kedua pihak.

        4.Pekerja dalam sektor selain pembantu rumah juga mesti dipastikan dapat melaksanakan
           tanggungjawab mereka kepada ugama mereka.

        5.Tindakan undang-undang segera diambil terhadap majikan yang melanggar undang-undang
           kerana mencederakan pembantu rumah rumah mereka.

        6.Kerajaan mengawal syarikat yang terlibat membawa masuk pembantu rumah ini agar tidak
           sewenang-wenangnya mengendalikan kemasukan pekerja ini tanpa membuat follow-up bagi
           keselamatan pekerja ini.

        7.Mengharamkan mana-mana majikan yang telah mencedera atau menganiaya pekerja mereka
           daripada mengambil pekerja asing pada masa depan. 

      PAS akan memantau masalah yang besar ini, yang menyentuh sesitiviti agama dan budaya kaum di
      negara ini, bagi mengelakkan keruntuhan imej Malaysia di mata dunia. Jika kerajaan BN tidak mampu
      menyelesaikan masalah ini, kita berharap mereka menyedari kelemahan ini dan bergabung tenaga
      dengan parti-parti alternatif serta NGO. 

      Sekian.

      DATO’ HAJI FADZIL MOHD. NOOR
      Presiden PAS dan Ketua Pembangkang