Kerajaan tidak halang guna kemudahan
 

                 KUALA TERENGGANU,  - Kerajaan PAS Terengganu tidak
                 pernah mengeluarkan arahan bagi menghalang pertubuhan bukan kerajaan
                 (NGO) atau badan sukarela daripada menggunakan bangunan awam,
                 termasuk balai raya dan pusat sivik untuk menjalankan kegiatan mereka.

                 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam
                 dan Komunikasi negeri, Encik Yahaya Ali, berkata badan berkenaan boleh
                 menggunakan kemudahan tersebut jika mendapat persetujuan
                 Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) yang diberi tanggungjawab menjaga
                 bangunan awam di kawasan mereka.

                 "Kerajaan negeri (yang diterajui PAS) tidak mahu bangunan awam dijadikan
                 pusat kegiatan parti tertentu saja seperti amalan kerajaan sebelum ini.

                 "Sebaliknya kita mahu bangunan tersebut dijadikan sebagai pusat pelbagai
                 guna, termasuk menjalankan pelbagai kegiatan yang boleh memberi
                 kepentingan kepada penduduk tempatan," katanya kepada Harakah ketika
                 ditemui di pejabatnya.

                 Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan pihak tertentu
                 kononnya ada badan sukarela yang dilarang daripada menggunakan balai
                 raya untuk mengadakan kegiatan mereka.

                 Menurut beliau, JSR yang dianggotai wakil pelbagai pihak di sesebuah
                 kawasan diminta menimbangkan permohonan NGO dan badan sukarela
                 untuk menggunakan bangunan awam, secara adil dan saksama.

                 "Oleh itu, tidak timbul masalah kita menyekat pihak tertentu daripada
                 menggunakan bangunan awam di kawasan mereka," tambahnya.