Make your own free website on Tripod.com
 


ROYALTI : KAMI TETAP BERSAMA TOK GURU

 
 

Tangani kerenah Pusat secara berhikmah

KUALA TERENGGANU, - Segala kerenah dan mehnah daripada kerajaan Pusat terhadap pentadbiran di negeri ini seharusnya ditangani bersama dengab cara yang berakhlak dan berhikmah.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang melahirkan keyakinan para pegawai tadbir negeri masih mampu untuk melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan berkesan bersandarkan kepada kemahiran pentadbiran dan kekayaan pengalaman yang dimiliki.

Tegasnya, walau apa yang terjadi kepada kepimpinan politik, kerajaan negeri masih boleh diurus oleh para pegawai tadbir dengan jayanya sekalipun wujud pelbagai tekanan dan halangan daripada Pusat yang memberi impak kepada sistem pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau berkata, untuk membolehkan para pegawai tadbir menjalankan urusannya dengan lebih cekap dan lancar, koordinasi antara anggota-anggotanya adalah perlu.

"Alhamdulillah, setelah setahun pemerintahan kerajaan baru, saya berterima kasih dan berbangga dengan kerjasama dan bantuan yang diberikan oleh pegawai-pegawai tadbir khususnya kepada saya," ujarnya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pegawai-pegawai Tadbir Negeri 2000/2001 di sebuah hotel di sini, petang semalam.

Tambahnya, kerajaan negeri kini telah merubah kaedah pengurusan pentadbiran awam yang berasaskan elemen amar maaruf nahi munkar.

Menurutnya, selain memperkenalkan insentif-insentif yang telah dilaksanakan, program-program motivasi seperti usrah, tazkirah dan lain-lain dilaksanakan bagi meningkatkan lagi jati diri para pegawai tadbir dan kakitangan kerajaan negeri.

Beliau berkata, itulah hala tuju pentadbiran yang dipandu oleh kerajaan negeri selari dengan tema pembangunan kerajaan negeri iaitu Membangun Menurut Islam.

"Oleh yang demikian, saya amat terhutang budi kepada pegawai-pegawai tadbir yang menolong melancar dan menjayakan perjalanan tugas saya," ujarnya.

Katanya, tanpa nasihat dan panduan mereka, beliau tidak yakin akan mengetahui selok belok pentadbiran di mana tanpa pengetahuan itu, penguatkuasaan dasar-dasar parti kerajaan negeri tidak mungkin dapat dilaksanakan dan seterusnya menjadi kenyataan.
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Please click and visit this sponsor to support HarakahDaily.com

Home | Web TV | Malay Section | English Section | Columnist | Contact Us
HarakahDaily.Com - Copyright Reserved ©2000