Dilema Ketengah dan royalti minyak
Oleh ZULKIFLI SULONG

SETELAH meraba ke sana-sini, kerajaan Pusat semakin jelas kelihatan belangnya dalam isu royalti minyak kepada kerajaan negeri Terengganu. Dua orang menterinya, iaitu Azmi Khalid dan Rais Yatim telah mengumumkan, Ketengah akan dijadikan sebagai salah satu agen utama kerajaan Pusat dalam menyalurkan royalti minyak kepada negeri Terengganu.

Menurut Azmi, Ketengah mempunyai jentera yang baik dalam menyalurkan royalti minyak itu kepada Terengganu. Rais pula berkata, JKKK yang dilantik oleh Pusat di Terengganu, walaupun dengan adanya JSR yang dilantik oleh kerajaan negeri, akan menjadi agen kerajaan dalam menyalurkan wang itu di kawasan lain.

Ketika dipersoalkan kemampuan JKKK, Rais berkata, badan-badan lain yang menjadi jentera Pusat di Terengganu adalah cukup untuk menjadi penyalur royalti itu kepada rakyat Terengganu.

Persoalannya sekarang adalah, wajarkah Ketengah mewakili majoriti rakyat Terengganu dalam menyalurkan hasil yang dengan jelas menjadi hak rakyat negeri Terengganu itu. Kita lihat sedikit sejarah penubuhan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) ini.

Ketengah ditubuhkan pada awal tahun 1970an untuk menjadi agen bagi memajukan kawasan tengah negeri Terengganu yang dikira masih mundur. Ia adalah sebuah agensi kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Sebelum kerajaan negeri Terengganu diambilalih oleh PAS, Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad adalah pengerusinya. Mengikut aktanya, Ketengah hendaklah melantik tiga dari ahli Lembaganya berdasarkan cadangan kerajaan negeri Terengganu. Maka ketika itu, tiga wakil kerajaan negeri adalah Dato' Ismail Sulong (Timbalan SUK Pembangunan), Dato' Mazlan Hashim (Pegawai Kewangan Negeri ketika itu) dan Dato' Ibrahim Awang (Exco kerajaan negeri).

Tetapi selepas kerajaan negeri diambil alih oleh PAS, pengerusi Ketengah bukan lagi menteri besar Terengganu. Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Idris Jusoh telah dilantik sebagai pengerusinya. Mungkin kalau Pengerusi Umno negeri bukan Timbalan Perdana Menteri, Abdullah Ahmah Badawi akan menjadi pengerusi Ketengah.

Sehingga kini, tiga wakil kerajaan negeri yang dihantar oleh kerajaan negeri Terengganu untuk dilantik oleh Ketengah dalam Lembaganya masih tidak dilayan oleh Ketengah. Tinggallah wakil lamanya iatu Mazlan Hashim yang kini sudah dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Terengganu, terus kekal dalam Lembaganya. Semua ini berlaku walaupun perlantikannya adalah wajib sebagaimana yang dikehendaki oleh Akta Ketengah itu sendiri.

Pendek kata, Ketengah sekarang bolehlah dikatakan sebagai tempat Umno menjalankan kegiatannya di negeri itu. Dengan pejabat Pengerusi Ketengah seolah-olah menjadi pejabat Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Terengganu.

Bukan setakat Idris sahaja yang dilantik ke situ bahkan bekas Setiausaha Akhbar Menteri Besar Terengganu, Roslan Abdul Rahman juga kini bekerja di Ketengah. Dengar ceritanya, beliaulah kini pembuat ucapan yang utama di Ketengah walaupun sebagai Pegawai Seranta sahaja. Mungkin ada baiknya, kerana dengan itu ringanlah tugas Pegawai Perhubungan Awam Ketengah sendiri yang terlebih Umno itu.

Tetapi, itu bukanlah perkara yang penting sangat. Yang terlebih penting adalah langkah Ketengah memberhentikan segala projek pembangunannya di kawasan Ketengah. Ia seolah-olah bertujuan untuk memberitahu rakyat Terengganu khas di kawasan Ketengah, sejak PAS memerintah apakah pembangunan yang dia buat. Cakap sahaja pandai, tetapi satu apapun tidak dilakukannya.

Yang dilakukan oleh Ketengah sejak Idris menjadi pengerusinya adalah projek-projek politik - membeli semula hati rakyat Terengganu selepas mereka diketepikan sebelum ini. Misalnya memberikan komputer untuk sekolah-sekolah di kawasan Ketengah. Untuk memberinya, maka Ketengah pun anjurlah program besar-besaran untuk membolehkan Idris dan lain-lain pemimpin Umno memberikan ucapan di majlis tersebut.

Di samping itu, program ceramah yang wajib hadir diadakan dengan kerap oleh Ketengah untuk kakitangan mereka sehingga ia memuakkan kakitangan Ketengah sendiri.

Saya difahamkan, sesetengah kakitangan Ketengah terasa, mereka diperbodohkan oleh Ustaz Safei Daud dan beberapa Ustaz Umno yang seumpamannya dalam majlis sebegitu.

Dengan ungkapan seperti "Kita akan pastikan Terengganu milik kita semula," seolah-olah penceramah ini menganggap semua kakitangan Ketengah adalah mesti ahli Umno. Inilah sikap dan pendirian pemimpin Umno dalam melayani para pegawai kerajaan yang bertugas dengan agensi di bawah kerajaan Pusat.

Sebenarnya, apa yang Idris lakukan di Ketengah hanya akan mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh Dato' Anwar Musa di Kesedar sebelum ini. Dengan mempunyai peruntukan yang lebih besar dari royalti minyak ini, kita yakin inilah masanya yang ditunggu oleh pemimpin Umno yang telah ditolak oleh rakyat ini. Masa yang akan membuktikan perkara ini.