Kenyataan akhbar Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Kit Siang di Petaling Jaya pada 25 Ogos 2000

10 Perkara Baik Yang Dilakukan PAS Akan Dihapuskan Dengan Satu Cadangan Yang Tidak Pasti Akan Dijalankan Melalui Media Perdana Barisan Nasional (BN) Yang Tidak Saksama

Setiausaha Agung Gerakan, Chia Kwang Chye harus belajar daripada ajaran tunjuk perasaan Pemuda UMNO di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dengan bersikap rasional dan bertanggungjawab dalam mengendalikan perbezaan politik dan tidak menggunakan taktik yang tidak berprinsip dan tidak bertanggungjawab.
Dalam temu janji Kwang Wah Yit Poh dengan beliau pada hari Rabu, beliau telah memberitahu setengah daripada kebenaran.
Tentunya Chia berhak untuk memberi pandangan bahawa Barisan Alternatif (BA) "ditetapkan gagal sejak mula lagi" tetapi beliau tidak berhak membohong untuk menyokong pendapatnya.
Contohnya, Chia menuduh bahawa cukai kharaj yang dikenakan oleh kerajaan negeri PAS Terengganu merupakan pemulihan sejenis cukai yang dikenakan ke atas orang bukan Islam selepas "Perang Jihad Islam" demi "membenarkan kekuasaan Islam terhadap agama lain dan diskriminasi terhadap agama lain" dan memisahkan Malaysia kepada "orang yang menawan dan orang tawanan".
Tuduhan-tuduhan ini adalah serius, dan bermaksud bahawa PAS mendiskriminasi agama lain, ingin menukar rakyat Malaysia daripada "bumiputera dan bukan bumiputera" kepada "orang yang menawan dan orang tawanan" dan Islam merupakan "agama yang suka berperang" dalam rujukannya kepada "Perang Jihad Islam", serta merujuk PAS sebagai parti Islam yang ekstrem dan tidak bertolak ansur.
Pemimpin-pemimpin BN telah menyerang pemimpin-pemimpin PAS sebagai "mullah gila" yang ekstrem, fanatik dan menggunakan keganasan, tetapi dalam minggu lepas, bukan pemimpin-pemimpin PAS yang bercakap tentang "pertumpahan darah" dan mengancam untuk membakar Dewan Perhimpunan Cina Selangor, pemimpin-pemimpin Pemuda UMNO yang berbuat demikian!
Pernyataan Chia bahawa Islam ialah agama yang suka berperang harus ditangani kerana ini berkaitan dengan tanggapan PAS terhadap orang bukan Islam.
Islam diberi imej sebagai agama yang tidak bertolak ansur, fanatik dan ganas, "ajarannya bahawa jika seseorang tidak rela untuk menukar agama, mereka harus dihapuskan" sedangkan kajian Islam menunjukkan pandangan sedemikian adalah tidak benar.
Walau bagaimanapun, soalan ini harus diberi kepada pemimpin-pemimpin PAS dan Islam untuk dijawab.
Yang saya bimbang ialah kebenaran dan kemunafikan yang telah disebarkan sebagai sebahagian daripada kempen BN dan Gerakan untuk menggambarkan PAS dan menjejaskan nama baik DAP kerana bekerjasama dengan PAS dalam BA.
Apabila Chia berkata bahawa kerajaan negeri Terengganu PAS telah memperkenalkan dan melaksanakan kharaj, beliau bercakap bohong kerana cukai kharaj tidak dilaksanakan di Terengganu.
Jika Chia ialah seorang pemimpin politik yang jujur, beliau harus meminta maaf atas tuduhan yang tidak berasas ini.
Apabila kerajaan negeri Terengganu PAS mengumumkan bahawa ia sedang mempertimbang cadangan cukai kharaj, DAP membantah kerana cadangan itu menimbulkan banyak persoalan dan mempunyai kesan yang besar, seperti persoalan kekuasaan Islam dan milikan tanah, penindasan hak atau tidak menghormati hak dan kesensitifan kaum, agama lain dan parti-parti politik dalam BA.
Dalam mesyuarat pemimpin DAP dengan Mentri Besar Terengganu, Haji Hadi Awang dan ahli-ahli exco negeri di Kuala Terengganu pada 15 Disember 1999, Hadi bersetuju bahawa cukai kharaj yang sedang dicadangkan tidak akan dikenakan ke atas orang bukan Islam jika ini bertentangan dengan hasrat mereka dan kerajaan akan berunding dengan komuniti bukan Islam dan Majlis Perundingan Pemimpin-pemimpin BA tentang isu ini.
Chia harus memuji Hadi dan kerajaan negeri Terengganu atas sikap mereka yang terbuka terhadap isu itu dan bukannya menyebarkan sesuatu yang tidak benar seperti cukai kharaj telah diperkenalkan dan dilaksanakan di Terengganu.
Pemimpin-pemimpin Gerakan dan BN tidak harus semata-mata membuat kritikan tetapi, mereka harus memuji kerajaan PAS atas perkara baik yang telah dilakukan.
Contohnya, mereka harus sedia memuji kerajaan negeri Terengganu atas langkah-langkah yang diambil seperti pemansuhan tol jambatan, pemansuhan cukai pintu rumah kediaman dan cukai tanah, cuti bersalin selama 3 bulan dalam perkhidmatan awam negeri, 5 hari kerja dalam seminggu, pinjaman tanpa faedah kepada kakitangan perkhidmatan awam, Mentri Besar memberi contoh yang baik dengan tidak mendiami kediaman rasmi dan tidak menerima elaun perumahan yang diberi kepada Mentri Besar, pembentukan Jawatankuasa Hisbah negeri yang diketuai Tun Salleh Abas untuk menguruskan aduan awam terhadap salah tadbir dan salah laku kerajaan negeri, lebih berpegang kepada kebolehpercayaan, ketelusan dan proses perundingan berbanding BN, kerajaan negeri memberi peruntukan kepada sekolah rendah Cina dan menerima Integrity Pact of Transparency International untuk mengurangkan tingkah laku rasuah dalam pemerolehan awam.
Dalam minggu ini, DAP dan PAS dapat berprogres untuk mengatasi perbezaan politik dan pemimpin-pemimpin PAS akan menerima proses yang lebih terbuka dan bersifat perundingan demi menyelesaikan ketidakpuasan komuniti bukan Islam yang timbul akibat daripada dasar-dasar yang dijalankan oleh kerajaan negeri Terengganu dan Kelantan PAS dalam tempoh 8 bulan yang lalu. Isu-isu itu termasuk karoake, pusat snooker, salon uniseks dan isu lesen arak bagi orang bukan Islam.
DAP bekerjasama dengan PAS bukan untuk menubuhkan negara Islam seperti yang dikatakan oleh Chia dan Gerakan, tetapi untuk memulihkan keadilan, kebebasan, demokrasi dan pentadbiran baik - PAS sedar akan pendirian DAP iaitu Malaysia akan kekal menjadi negara sekular yang demokratik.
Kemungkinan yang ditampil oleh media perdana BN pada BA dan terutamanya PAS adalah tidak adil kerana 10 perkara baik yang dilakukan oleh PAS akan dihapuskan oleh satu cadangan yang tidak pasti akan dijalankan.
Jika BA kehilangan peluang untuk memecahkan hegemoni politik BN akibat daripada pembohongan Chia dan Gerakan, maka ini merupakan sesuatu yang amat malang.