TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM
"BERSAMA MENGISI KEMENANGAN"
tinta_hijau@hotmail.com

TINDAKAN KOMEDI UMNO LAWAN BISA RAKYAT
Komentar TARMIZI MOHD JAM

Sejak Umno menjadi parti minority Melayu di negara ini, kelihatan langkahnya makin sumbang berpencak silat. Entah haluan apa yang dicari, Umno kelihatan hilang arah untuk memulihkan pengaruhnya. Menyalahkan pembangkang, terus menjadi agenda dominan bagi mengatasi masalah dalaman yang kian sukar dihapuskan dalam parti kebangsaan Melayu itu.

Beberapa komentar saya, turut tertanya-tanya apakah kelesuan dan kemandoman Umno yang sudah memasuki era menopaus ini, ada ubatnya bagi mengembalikan tenaganya yang kian lesap. Mungkinkah pil  “Tongkat Ali” atau jus “Manjakani” upaya mendatangkan kekuatan baru parti itu. Bagaimana pula, jika Umno sudah mati pucuk…(?) Senarionya, Umno berada dalam simpang-siur permainan politik Sang Presiden, Mahathir Mohamad. Banyak insiden ngeri, dikaitkan dengan tokoh ini hingga benar-benar terjadi Umno yang sudah mati pada eranya, hidup balik dengan tubuh yang serupa. Tapi, tidak lama. Kini, Umno yang hidup balik itu, seakan-akan diserang “angin ahmar” hingga terasa lumpuh sebelah badannya…

PAS khususnya, telahpun mengulangi kemenangan besar dalam pilihanraya umum lalu. Malah lebih besar dari kemenangan 1969, yang penuh sejarah itu. Kebimbangan Mahathir dan para pemimpin Umno cukup jelas bila melihat kecenderungan rakyat mulai menolak Umno. Apa sahaja aktiviti anjuran Umno, masyarakat bagaikan hilang keyakinan penuh terhadap jenama parti itu. Mereka bukan sahaja mendiamkan diri untuk tidak menyertai program anjuran parti itu, malah yang lebih drastic, ada yang memboikot terus, sekalipun mereka dulunya adalah hulubalang Umno.

Selepas pilihanraya umum lalu, ceramah-ceramah PAS ternyata mulai berkurangan. Ini tidak bererti, kurangnya sambutan masyarakat terhadap program paling popular parti-parti pembangkang itu, tetapi sukarnya untuk mana-mana parti mendapatkan permit mengadakan ceramah. Langkah kerajaan mengetatkan pemberian permit ceramah ini, adalah sebahagian tindakan politik untuk “menekan” parti-parti pembangkang yang mula dominan dan menguasai massa. Tindakan ini begitu  tidak adil malah bertentangan dengan ajaran demokrasi yang Umno fahami sendiri.

Pemberian sesuatu permit ceramah oleh pihak polis adalah bergantung kepada banyak faktor. Keutamaan diberikan kepada soal keselamatan.  Jika mereka merasakan keselamatan negara atau sesuatu tempat itu mencurigakan, maka larangan berceramah akan disusuli dengan tindakan tidak mengeluarkan permit ceramah. Namun begitu, secara borongnya, ceramah-ceramah pembangkang hari ini, sudah tidak diendahkan lagi. Permohonan permit ceramah juga, seolah-olah tidak dilayan. Terlalu banyak syarat dan alasan dikenakan untuk pembangkang mengadakan ceramah. Walhal, itulah sahaja media berkesan BA untuk memaklumkan kepada penyokong, ahli-ahli dan orang awam berkenaan pendirian parti masing-masing terhadap sesuatu isu.

Di Parlimen Parit, Perak sebagai contoh terkini, permit ceramah sudah tidak dikeluarkan lagi oleh Pejabat Polis Daerah. Sebaliknya permohonan permit yang telah diajukan kepada Pejabat Polis Daerah, akan dilanjutkan ke Pejabat Polis Negeri . Birokrasi ini amat menyulitkan dan keputusannya, memperlihatkan terdapatnya usaha menghalang atau mengurangkan kerancakan pembangkang untuk menganjurkan program seumpama ini. Natijah dari trend baru ini, maka hampir setiap minggu BA akan menggunakan Markaz Tarbiyyah PAS Pusat untuk mengadakan majlis-majlis ceramah demikian, kerana premis ini tidak memerlukan permit.

Namun begitu, tidak banyak pihak dalam PAS yang tahu, terutama diperingkat kawasan-kawasan untuk menggunakan premis sendiri seperti markaz-markaz parti sebagai tempat menganjurkan ceramah tanpa memerlukan permit. Ia dibuat secara tertutup tetapi terbuka di dalam markaz. Sekurang-kurangnya, kaedah ini membolehkan maklumat parti disampaikan oleh para pimpinan kita di semua peringkat TANPA menghentikan stamina ahli dan penyokong atas alas an tidak mendapat permit.

Kini sehari dua ini, timbul pula larangan meletak pelekat dan logo politik pada badan kenderaan awam. Sebulan lalu, Menteri Pembangunan Usahawan, Nazri Tan Sri Aziz telah memberi amaran kepada para pemandu teksi awam di seluruh negara agar tidak menjadikan kenderaan itu tempat untuk mempengaruhi pengguna membenci kerajaan. Larangan meletakkan pelekat dan logo pada badan teksi juga turut ditekankan, malah mereka dilarang memasang kaset ucapan tokoh-tokoh parti pembangkang dalam teksi. Tentulah kaset Mohd Sabu, Ezam Mohd Noor, Mahfuz Omar, Ismail Kamus, Akil Ar-Rawa, Fadhil Noor, Nik Aziz dan Tok Guru Haji Hadi.

Langkah Nazri ini mencerminkan kebimbangan yang amat sangat pihak Umno terhadap kecenderungan rakyat. Mana-mana “kepentingan” yang berkait rapat antara rakyat dan kerajaan yang dapat digunakan, akan menjadi sasaran pemimpin Umno untuk menyekat gelombang anti kerajaan yang makin berleluasa. Dulu Nazri terfikir, hanya untuk sekatan teksi semata-mata. Tetapi, “pergantungan” rakyat terlalu kecil pada kerjaya pemanduan teksi bagi mengenakan “ugutan” yang berupa amaran itu. Dengan menyeret semua jenis kenderaan awam, maka sejumlah besar pemegang permit dan pemandu akan terkena “ugutan” itu bagi memenuhi selera politik Umno.

Ini termasuklah kenderaan seperti bas awam, bas, van kilang, bas sekolah dan pelbagai kenderaan awam lain, akan dipantau oleh “orang-orang Nazri” untuk tindakan susulan. “Saya juga ingin mengingatkan bahawa kita mempunyai “orang-orang” untuk mengambil nombor teksi dan memantau kegiatan mereka,” kata beliau. Menurut Nazri, mana-mana pemandu kenderaan awam yang ingin melekatkan iklan atau logo tertentu, mereka mestilah mendapatkan kebenaran dari dari kementerian terlebih dahulu.

Ulasan Nazri terlalu dangkal terhadap isu pelekat dan logo parti pembangkang pada badan kenderaan awam. Katanya, teksi adalah suatu perkhidmatan kenderaan awam yang tidak sepatutnya mengacau pengguna dengan pelekat politik. Nazri sebenarnya hilang arah untuk mencari alas an yang lebih relevan. Tentu sekali, jika trend kenderaan awam negara ini menabur pelekat dan logo Umno, Nazri tidak akan melantun-lantun bercakap perkara remeh yang memalukan sebuah parti terkuat yang menang menguasai kerajaan lebih 2/3 majoriti.

Bukankah ini bukti jelas betapa Mahathir mulai gentar dalam mempertahankan kuasanya. Lebih parah lagi, apabila idea Pak Lah untuk menghantar pasukan polis dan pegawai agama JAKIM ke masjid-masjid seluruh Kuala Lumpur, menimbulkan satu lagi tindakan komedi Umno dalam usaha mereka membanteras pengaruh pembangkang khususnya PAS. Setelah mereka meng-gam-kan ustaz-ustaz PAS dari mengajar di masjid-masjid dan jabatan-jabatan kerajaan, kini tindakan meletakkan polis dan pegawai agama memantau aktiviti masjid dilihat positif oleh Umno, kerana berjaya “melesukan” pengaruh PAS tanpa disedari akibat tindakan bodoh itu, turut “melesukan” masjid.

Semuanya ini berpunca dari kebimbangan politik bukannya atas dasar untuk membangunkan masjid. Sekalipun pak-pak menteri, ketika merasmikan masjid menukilkan ungkapan bijak, “kununnya” masjid tempat ibadat, tempat pertemuan, tempat perbincangan, tempat menimba ilmu, tempat muzakarah, tempat maklumat dan sebagainya; rupa-rupanya, semua ungkapan itu palsu dan plastik semata.

Umno menuduh PAS memperalatkan masjid untuk politik. Tanpa disedari, Umno sendiri berebut-rebut untuk menguasai Jawatankuasa Masjid, menjalankan aktiviti parti di masjid, berulangkali YB-YB Umno berucap di masjid, malah perasmi masjidpun menggunakan orang Umno yang bergelar pemimpin. Mengapa tidak keluarkan arahan, perasmian masjid hanya boleh dilakukan oleh orang-orang besar Jabatan dan Majlis Agama Islam Negeri atau Pusat Islam sahaja? Mereka bukan orang politik secara sah!

Tuduhan liar ini, samalah seperti Aziz Shamsudin mengaitkan pembangkang sebagai punca gengterisme di sekolah beberapa bulan lalu. Kejadian membakar sekolah, mendera pelajar, ugut, kegiatan gengster, membakar rumah guru dan mengirimkan peluru kepada guru, telah dianggap oleh Timbalan Menteri Pendidikan itu sebagai “ajaran” pembangkang yang selama ini menanamkan rasa benci kepada kerajaan.

Tuduhan itu dibuat dalam keadaan pembangkang dilarang keras masuk  ke sekolah-sekolah dalam negara ini. Malah terdapat surat pekeliling dan arahan lisan kepada sekolah-sekolah melarang mana-mana wakil rakyat pembangkang di kawasan yang mereka menang, merasmikan mesyuarat PIBG sekolah masing-masing. Di Terengganu sebagai contoh, sekolah-sekolah dilarang dari menjemput wakil-wakil rakyat dan anggota Exco Kerajaan Negeri dari merasmikan mesyuarat PIBG sekolah. Ini membuktikan betapa ketatkan kerajaan khususnya Umno mengawal pengaruh pembangkang di sekolah-sekolah.

Tuduhan Aziz Shamsudin itu, yang turut diakui oleh Mahathir tidak lebih dari rasa kebimbangan Umno terhadap sokongan rakyat yang kian melebar kepada parti-parti pembangkang. Sekaligus, penguasaan Umno terhadap sekolah mulai tercabar dan dirasakan sudah goyang dan goyah. Umnolah yang telah mempolitikkan sekolah untuk kepentingan mereka. Sama seperti mereka mempolitikkan masjid dan surau. Padahal, pengerusi masjid kalangan Umno itu, tidak pernah menjengukkan muka ke masjid sepanjang lima waktu solat sehari semalam.

Bukankah Umno yang beriya-iya benar untuk menyingkirkan mana-mana AJK Masjid atau AJK PIBG yang didapati menyokong parti pembangkang? Inilah kerja Umno selama ini. Apabila mereka sedar segala instrumen massa sudah mulai dikuasai oleh rakyat yang pro-reformasi maka tindakan ketidaktentuanhala ini mulai muncul sebagai signal mengelabah mereka terhadap fenomena baru yang melanda politik negara kita.

Sebab itulah, Naib Presiden Umno, Najib Tun Razak mengingatkan para perwakilan dan ahli-ahli Umno supaya terus menguasai masjid, surau, persatuan belia, termasuk juga PIBG di kawasan masing-masing, bagi tujuan mempastikan Umno dominan. Dan inilah langkah yang telah diperkenalkan oleh Sanusi Junid di Kedah, apabila peruntukan diluluskan untuk masjid membina satu perpustakaan mini dan satu gelanggang badminton/sepak takraw dalam kawasan masjid. Untuk apa?

Saya mengutip beberapa langkah drastic kerajaan ini sebagai perlambangan rasa takut dan gentar Mahathir terhadap kebangkitan rakyat. Sekalipun isunya remeh dan tindakanya agak komedi, tetapi inilah hakikatnya.

Bermula sekatan dan larangan berceramah, tuduhan dan strategi tuding jari terhadap pembangkang yang berterusan, hinggalah kepada penguasaan masjid dan pengharaman ustaz-ustaz PAS dari mengajar (kesalahannya hanya tidak serasi dengan Umno) nampaknya telah meningkatkan lagi kesedaran rakyat terhadap “kegoyangan” Umno. Jika masalah sticker yang kecil pun dipersoalkan oleh seorang menteri, maka tanda-tanda “kegelisahan” Umno untuk tumbang kian menular. Inilah sebenarnya kebimbangan, ketakutan, kegerunan, keraguan, kemusykilan PM, Mahathir dalam mengharung gelombang kebangkitan rakyat, yang pastinya akan menggugat dan menggigit  KUASA yang sedang dipertahan.

Soalnya, mampukan tindakan komedi Umno itu menentang bisa rakyat?