Segerakan Penubuhan Suruhanjaya Bebas

 Oleh Tengku Sri Paduka Raja (Tengku Ibrahim Ismail)

 

 BANYAK angkara dan sebab telah diperkatakan berkait dengan kekalahan Umno/BN di
 Terengganu dalam pilihan raya umum yang lepas. Tidak kurang juga anggapan negatif yang
 dilemparkan oleh akhbar-akhbar tempatan pro Umno/BN terhadap Barisan Alternatif (BA) yang
 telah berjaya menubuhkan kerajaan di Terengganu. Rakyat Terengganu sudah membuat pilihan.
 Sama ada kita suka atau tidak, semua pihak mestilah menghormati keputusan rakyat.

 Kerajaan BA Terengganu berkuasa tidak sampai pun sebulan. Marilah kita memberi peluang
 kepada kerajaan baru ini untuk menyesuaikan diri mentadbir negeri bertuah ini.

 Janganlah ada mana-mana pihak yang mengkritik secara melulu dan memandang rendah akan
 kebolehan kerajaan baru ini.

 Saya yakin dan percaya kerajaan BA Terengganu dapat menjalankan tanggungjawab mereka
 dengan baik memandangkan barisan ahli-ahli EXCO terdiri daripada mereka yang berpengalaman
 dan berkelulusan tinggi.

 Dewan Undangan Negeri Terengganu (DUN) telah selesai bersidang pada 24 Disember 1999. YB
 Saiful Bahri (PAS-Paka) telah membuat gesaan supaya kerajaan membentuk sebuah Suruhanjaya
 Bebas bagi menyiasat penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin Umno/BN yang memerintah
 sebelum ini.

 Saya menyokong saranan tersebut oleh kerana banyak perkara telah ditimbulkan terdahulu yang
 melibatkan kepincangan dan salah guna kuasa yang dilakukan oleh kerajaan lalu.

 Kerugian yang dikatakan menimpa Perbadanan Menteri Besar (PMB) berjumlah melebihi RM 110
 juta ringgit adalah satu tragedi yang amat malang. Enakmen PMB telah memberi kuasa mutlak
 kepada DWM selaku Menteri Besar membelanjakan 5% daripada hasil pendapatan petroleum
 untuk dilaburkan ke dalam projek-projek di mana keuntungan yang diperolehi, kononnya mengikut
 DWM bagi kegunaan dan faedah generasi akan datang.

 Dalam laporan tahunan Ketua Audit Negara yang dibentang di DUN Terengganu, beliau telah
 beberapa kali mendedahkan "kesukaran" kedudukan PMB dari segi pentadbiran dan perancangan
 pelaburannya yang tidak mengikut atur-cara perniagaan.

 Pihak pembangkang pada waktu itu berkali-kali menuntut penjelasan, tetapi malang tidak dijawab
 bukan sahaja oleh DWM tetapi juga oleh ahli-ahli EXCO yang lain. Agaknya kes ini dianggap
 remeh-temeh dan satu episod yang tidak mustahak diberi layanan.

 Kehilangan RM110 juta itu amat besar kerugiannya. Hari ini PMB sudah "dikuburkan" dan tidak
 lagi beroperasi. Rakyat Terengganu perlu tahu secara terperinci ke mana dan di mana wang rakyat
 itu telah dibelanjakan.

 Jika ada salah guna kuasa dan penyelewengan maka mereka yang bersalah, khususnya DWM
 sendiri, hendaklah dibawa ke muka pengadilan. Tidak adil dan berdosa jika mereka yang
 memusnahkan khazanah rakyat dibiarkan begitu sahaja, seperti yang berlaku dalam skandal
 Perwaja Terengganu. Atau seperti kes-kes yang dilaporkan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim yang
 melibatkan Menteri-Menteri Kabinet.

 Pihak polis dan BPR mesti dibenarkan membuat siasatan tanpa gangguan daripada mana-mana
 pihak. Sama ada mereka bersalah atau tidak bersalah, hanya mahkamah yang berhak
 menentukannya.

 Tiada siapa yang mempunyai kekebalan atau kuasa untuk melindung mana-mana pihak, khususnya
 mereka yang memegang kuasa daripada penyiasatan. Rakyat mahukan ketelusan dan keadilan.

 Saranan YBM Tengku Putera (BN-Telemong), kononnya penubuhan Suruhanjaya Bebas ini
 merupakan prasangka dan tuduhan melulu yang amat ketara terhadap Kerajaan negeri sebelum ini
 tidak boleh diterima akal sama sekali.

 Kerugian yang tersebut di atas itu telah didedahkan oleh Ketua Audit Negara sendiri dan ia telah
 dibentangkan di DUN Terengganu. Ia tidak ada kena mengena dengan kenyataan YAB Tuan Guru
 Menteri Besar untuk bekerjasama dengan Kerajaan Pusat.

 Salah guna kuasa dan penyelewengan jika berlaku tetap merupakan suatru kesalahan dan tindakan
 sewajarnya mesti diambil. Pihak BPR juga harus diberi peranan untuk membuat siasatan dan jika
 sabit kesalahan maka BPR bertanggungjawab mengambil tindakan sewajarnya.

 Satu lagi kes yang harus diberi penumpuan untuk disiasat ialah kes kerugian yang menimpa
 Gunawan Iron & Steel Sdn. Bhd. (Gunawan). Syarikat ini juga telah "berkubur" kerana kerugian
 yang besar.

 Syarikat Gunawan dikatakan mengalami kerugian sebanyak RM750 juta dan mempunyai pinjaman
 Bank berjumlah RM500 juta.

 Kerajaan Negeri yang lalu, di bawah Permodalan Terengganu Bhd (PTB), mempunyai saham
 berjumlah RM73 juta dalam syarikat ini, atau 22% daripada saham berbayar Gunawan.

 Apa yang mengejutkan, ahli-ahli Lembaga Pengarah Gunawan ini terdiri daripada mereka yang
 cetek pengalaman dalam bidang perusahaan besi waja.

 Saya difahamkan ada pegawai tertentu diberi gaji sebanyak RM38,000 sebulan, walhal Gunawan
 mengalami kerugian berjumlah beratus-ratus juta ringgit.

 Suruhanjaya Bebas yang wajar ditubuhkan ini bertanggungjawab menyiasat secara terperinci
 kepincangan pentadbiran syarikat ini. Gunawan 'parah' kerana darahnya dihisap oleh mereka yang
 tidak bertanggungjawab dan mempunyai kepentingan peribadi.

 Kerajaan Negeri yang lalu telah juga disaman oleh Syarikat Yee Seng Plantation Sdn. Bhd.
 sebanyak RM5,000,000,000.00 (5 billion ringgit) berhubung dengan pengambilan-balik tanah
 mereka luas 8,232 hektar (20,333 ekar) di Kerteh, Terengganu.

 Yee Seng telah memfailkan samannya di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 23 Ogos
 1997, dengan mendakwa pihak Menteri Besar dan Kerajaan Negeri sebagai defendan, telah
 membuat janji palsu dan cuai mematuhi perjanjian yang telah dimeterai di antara kedua-dua pihak
 di hadapan Yang Arif Dato' Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

 Jika Yee Seng berjaya dalam dakwaan kes ini, maka kerajaan BA terpaksa membayar saman
 ganti rugi itu angkara kesalahan yang dibuat oleh kerajaan lalu.

 Wang 5 bilion ringgit yang dituntut itu adalah bersamaan dengan 10 tahun jumlah hasil royalti
 minyak yang diperolehi oleh Kerajaan Negeri daripada Petronas.

 Satu lagi kes yang perlu dan mustahak disiasat berkait dengan pemberian kawasan balak kepada
 kilang-kilang papan yang tidak mengikut undang-undang.

 Beberapa minggu sebelum dewan dibubarkan, Pejabat Hutan Negeri dikatakan telah
 mengeluarkan lebih kurang 10 surat kelulusan balak bagi kilang-kilang papan di Terengganu tanpa
 kelulusan EXCO dan tanpa disertakan pelan kawasan-kawasan yang diluluskan itu.

 Saya dimaklumkan bahawa sejumlah wang telah didermakan kepada parti politik tertentu untuk
 mendapatkan surat-surat kelulusan ini. Kelulusan ini diberi tidak mengikut sistem tender dan diberi
 atas dasar "derma" kepada parti politik tertentu sebagai perbelanjaan pilihan raya umum lalu.

 Saya juga difahamkan bahawa wang berjumlah antara setengah ke satu juta telah diberikan oleh
 kilang-kilang papan ini.

 Pihak BPR hendaklah membuat siasatan kerana dakwaan ini, jika benar, amat merugikan khazanah
 negeri yang sepatutnya mendapat premium yang tinggi jika kawasan-kawasan hutan tersebut
 ditender secara terbuka.

 Perkara yang amat saya bimbang ialah pendedahan ketua pembangkang YB Dato' Fadzil Noor
 yang mendakwa para pelabur asing yang berminat melabur di Kelantan dihalang membuat
 demikian, mungkin disengajakan oleh kepentingan politik di Kementerian Perdagangan
 Antarabangsa dan Perindustrian.

 Jika perkara ini betul berlaku ianya adalah satu tragedi yang amat malang bagi rakyat Kelantan dan
 Terengganu, kerana Terengganu juga mempunyai Kerajaan PAS/BA seperti Kelantan.

 Perkara ini tidak sepatutnya berlaku di negara yang mempraktikkan demokrasi. Jika ia
 benar-benar berlaku, maka ia adalah satu bentuk penindasan dan kezaliman yang amat kejam yang
 ditujukan kepada rakyat Kelantan yang mempunyai penduduk berjumlah 1.4 juta dan rakyat
 Terengganu yang mempunyai penduduk hampir 1 juta orang.

 Kedua-dua negeri ini mempunyai penduduk Melayu hampir 98%. Terengganu dan Kelantan
 mahukan pelaburan untuk negeri masing-masing.

 Dengan adanya pelaburan tersebut rakyat Terengganu khususnya orang-orang Melayu dapat
 mencari dan diberi kerja di kilang-kilang syarikat yang berminat bertapak di kedua-dua negeri ini.

 Saya mohon dan berseru agar pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa berlaku adil
 terhadap kedua-dua negeri pantai timur ini. Janganlah rakyat didenda kerana mereka memilih
 kerajaan BA dalam pilihan raya umum yang lampau.

 YB Menteri Kementerian berkenaan hendaklah memberi penjelasan ekoran dakwaan yang dibuat
 oleh ketua pembangkang Dewan Rakyat itu.

 Dalam pada itu, rakyat Terengganu harus bersatu dan melupakan perselisihan pendapat yang
 berlaku sebelum pilihan raya umum yang lalu. Sempena Syawal yang bertuah ini, kita perlu
 mengambil kesempatan untuk berbaik-baik, bermaaf-maafan di antara penyokong Umno/BN dan
 penyokong Barisan Alternatif. Ingatlah sebagai umat Islam, kita hendaklah bersatu untuk
 menempuhi abad ke-21 ini.