PAS ANGGAP LANGKAH BENAR KUMPULAN A AKTIF POLITIK PERKARA BIASA
 
 

KUALA TERENGGANU, 9 Feb-- Pas hari ini menyifatkan keputusan untuk membenarkan pegawai kumpulan A, termasuk guru, kembali aktif dalam politik sebagai perkara biasa yang tidak akan menjejaskan kepentingan parti itu.

Menteri Besar Terengganu, Haji Abdul Hadi Awang sebaliknya mendakwa Pas telah menerima kemasukan begitu ramai golongan profesional sejak beberapa lama dulu dan banyak memberikan sumbangan kepada parti itu.

Sehubungan itu beliau berkata keputusan itu mungkin disebabkan Umno berada dalam keadaan `terdesak' bagi memperkukuhkan kembali kedudukan parti tersebut di negara ini.

"Mungkin dia (Umno) rasa terpanggil untuk buat perubahan itu dan bagi kita (Pas), kita sudah biasa menerima golongan profesional ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusi mesyuarat mingguan exco di sini, hari ini.

Sebuah akhbar harian hari ini melaporkan pegawai kumpulan A termasuk guru akan dibenarkan kembali aktif dalam politik termasuk memegang jawatan-jawatan utama dalam parti.

Dengan memetik sumber, akhbar berkenaan melaporkan dengan penarikan larangan yang mula dikuatkuasakan sejak 1987 itu bermakna lebih 80,000 guru kategori DG1, 2 dan 3 termasuk 50,000 yang kini menganggotai Umno akan kembali aktif berpolitik.

Abdul Hadi yang juga Timbalan Presiden Pas mendakwa langkah itu mungkin disebabkan Umno kini telah ketandusan pemimpin dari kalangan profesional kerana golongan berkenaan telah banyak berpihak kepada Pas.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum dan Perindustrian negeri, Mustaffa Ali ketika ditemui berkata kerajaan Pas Terengganu tidak bercadang untuk menambah jumlah padang golf di negeri itu.

"Cukuplah dengan jumlah yang ada bagi memenuhi keperluan peminat sukan itu, kita (kerajaan) buat masa ini tak cadang untuk menambah jumlah padang yang ada," katanya.

Terengganu kini mempunyai beberapa padang golf yang mendapat kritikan Pas sewaktu pemerintahan Barisan Nasional (BN) dengan menganggap projek tersebut sebagai satu pembaziran. --