Make your own free website on Tripod.com
BERITA MALAYSIA

21 DISEMBER, 1999 18:03PM
 

   WAKIL BARISAN NASIONAL RAGU BELANJAWAN KERAJAAN
 TERENGGANU
 
    JANGAN MARAH... Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi,
 Petroleum dan Perindustrian Negeri, Mustafa Ali (berbaju Melayu), menyapa
  wakil Barisan Nasional Datuk Abu Bakar Ali di luar Dewan Undangan Negeri
  (DUN) Terengganu. Walaupun pada persidangan dewan itu mereka berdua
  yang mewakili parti masing-masing bertikam lidah semasa sesi soal-jawab,
   ia tidak pula menjejaskan hubungan antara pembangkang dan kerajaan
                          negeri.

 KUALA TERENGGANU, 21 Dis (Bernama) -- Wakil-wakil rakyat dari
 Barisan Nasional hari ini melahirkan keraguan terhadap belanjawan
 tahun 2000 yang dibentangkan kerajaan PAS hari ini.

 Mereka menganggap peruntukan yang disediakan tidak sepadan
 dengan projek yang ingin dilaksanakan dan menjangkakan kerajaan
 negeri akan mengalami kesukaran untuk melaksanakan semua
 projek dengan peruntukan yang sangat terhad.

 Ketua Pembangkang Datuk Abdul Rashid Ngah memberi contoh
 sejumlah RM7.72 juta yang diperuntukkan bagi sektor pelancongan
 sedangkan projek yang dicadangkan terlalu banyak.

 "Oleh itu kita agak ragu-ragu kemampuan kerajaan baru untuk
 melaksanakan apa yang terkandung dalam belanjawan hari ini,"
 katanya kepada pemberita selepas pembentangan Belanjawan
 Tahun 2000 Terengganu di sini.

 Abdul Rashid yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Seberang
 Takir bagaimanapun menyambut baik langkah kerajaan negeri yang
 mahu menghapuskan riba dalam usahanya melaksanakan
 pemerintahan berasaskan Islam.

 Abdul Rashid berkata kerajaan PAS bernasib baik kerana berjaya
 memerintah negeri ini dengan keadaan ekonomi yang telah pulih
 hasil usaha kerajaan BN sebelum ini.

 Sementara itu Adun Telemong, Tengku Putera Tengku Awang
 berkata belanjawan yang dibentangkan tidak banyak perubahan
 daripada apa yang telah dirancang oleh kerajaan BN sebelum ini.

 Beliau menyifatkan belanjawan itu hanya bertukar kulit sedangkan
 isinya tidak banyak berubah kecuali terdapat pengolahan dalam
 beberapa perkara.

 "Saya tidak nampak akan berlaku perubahan yang besar sebab
 peruntukan yang disediakan agak kecil sedangkan apa yang
 hendak dibuat begitu banyak," katanya.

 Tengku Putera berkata langkah kerajaan negeri untuk
 menghapuskan riba termasuk faedah pinjaman oleh kakitangan
 kerajaan negeri sebenarnya pernah dilaksanakan kerajaan yang
 lepas.

 Malah, soal penghapusan cukai hiburan dan mengharamkan jualan
 minuman keras sebenarnya telah dilaksanakan oleh BN secara
 berperingkat-peringkat sebelum ini, katanya.

 "Saya nampak ini hanyalah propaganda politik PAS untuk meraih
 sokongan rakyat kononya untuk menunaikan janji dalam
 manifestonya," katanya.

 -- BERNAMA
 

 
 

Copyright ©1999 BERNAMA. All rights reserved. This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior express permission of BERNAMA.