ABDULLAH PENGERUSI BADAN PERHUBUNGAN
   UMNO TERENGGANU
 
 PULAU PINANG, 26 Dis -- Timbalan Perdana Menteri
 Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengesahkan bahawa
 beliau dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri
 Terengganu.

 Katanya, pelantikan beliau itu diputuskan oleh Majlis Tertinggi
 Umno pada mesyuarat yang diadakan baru-baru ini.

 "Itu keputusan Majlis Tertinggi. Timbalan Pengerusi Badan
 Perhubungan Umno, belum dilantik lagi," katanya kepada pemberita
 selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno
 Pulau Pinang di sini hari ini.

 Abdullah yang juga Naib Presiden Umno berkata demikian ketika
 diminta mengulas laporan akhbar mengenai kenyataan Bekas
 Menteri Besar Terengganu Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad yang
 membayangkan bahawa beliau tidak lagi memegang jawatan itu.

 Abdullah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau
 Pinang menggantikan Wan Mokhtar, yang sebelum ini memegang
 jawatan menteri besar selama 25 tahun, beliau tewas pada pilihan
 raya umum 29 Nov lepas.

 Pada pilihan raya umum ke-10 itu, Barisan Nasional (BN) hanya
 memenangi empat daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri
 (DUN) Terengganu yang ditandingi, iaitu Kemasik, Ajil, Telemung
 dan Seberang Takir, manakala tewas kesemua lapan kerusi
 Parlimen.

 Mengenai perkembangan Umno Pulau Pinang, Abdullah berkata,
 Badan Perhubungan Umno Negeri akan bekerja
 bersungguh-sungguh pada tahun 2000 untuk memastikan
 kedudukan Umno semakin kukuh di negeri itu.

 Katanya, walaupun Umno memenangi 10 daripada 12 kerusi DUN
 dan tiga daripada empat kerusi Parlimen yang ditandinginya di
 Pulau Pinang pada pilihan raya lepas, usaha untuk mengukuhkan
 kedudukan dan kegiatan parti perlu dipertingkatkan.

 Beliau berkata, kesemua bahagian Umno negeri sedang menyiapkan
 laporan masing-masing mengenai pilihan raya lepas dan akan
 membentangkannya pada mesyuarat Badan Perhubungan Umno
 Negeri pada mesyuarat yang akan diadakan selepas Hari Raya
 nanti.