Make your own free website on Tripod.com

ROYALTI  :  KAMI BERSAMA TOK GURU

Melakar Umpan Di Halaman Lunas

(MGG: An Electoral Line In The Lunas Sand)
Setelah diaibkan oleh kemerosotan sokongan pengundi Melayu di pemilu 1999 dulu, Barisan Nasional kini merasa tidak selesa setiap kali berlakunya pilihanraya kecil. Tiga kali ia sudah digugat dengan kerisauan itu. Satu kerusi parlimen dan dua kerusi dewan undangan negeri telah mencetuskan keresahan itu yang disebabkan kematian, kesemuanya. Dua pilihanraya kecil telah dicetuskan oleh MIC - satu kerusi dewan negeri di Teluk Kemang dan satu kerusi parlimen di Lunas. UMNO pula telah menghadapi masalah yang sama di kerusi dewan negeri di Sanggang.

Satu ketika dulu setiap pilihanraya kecil memang ditunggu oleh Barisan Nasional kerana itulah ketikanya mereka berseronok melihatkan parti pembangkang mencungap-cungap. Kini, ia perlu menang dengan segala usaha yang ada untuk menentukan kuasa politik tidak berpindah ketuanannya. Seperti kelazimannya wang tidak merupakan satu masalah. Yang penting ialah menentukan orang Melayu tidak menarik diri dan Lunas terus dikekalkan sebagai kubu MIC dan Barisan Nasional.
Jumlah undi di Lunas ialah 26,746 semuanya. Pengundi Melayu menyumbang sebanyak 43.4 persen, Cina 37 persen dan India 19.6 persen. Pegundi India masih lagi setia kepada calon kaum mereka tidak kiralah siapa dia. Tetapi sesiapa pun yang akan bertanding itu akan menghadapi masalah. Pengundi Melayu memang sudah berpecah seperti yang berlaku pada bulan November yang lalu. Gerakan dan MCA masih lagi belum dapat menyelesaikan siapa yang bertanggungjawab untuk meraih undi kaum Cina di kawasan Lunas itu.
Kematian Dr. Joe Fernandez yang menjadi penyebab pilihanraya kecil ini telah menyerlahkan keretakan yang tidak mungkin dapat ditampal dalam jangkamasa lapan hari serentak dengan kerja-kerja kempen dilakukan. Hari penamaan calon ialah pada November 21, sedangkan hari pengundian ialah pada November 29 (jumlah numerology ialah angka dua, lagi...!!! - penterjemah). Pada awalnya terdapat perbezaan dalam pilihan MIC negeri dengan MIC pusat. Inilah yang menyebabkan Exco Kedah, Dato Saravanan merasa tidak senang kalau-kalau dia terpaksa memberi ruang kepada orang lain yang mahukan jawatan yang disandangnya itu.

Besar kemungkinan, Mr. S Anthonysamay, 59, terpilih sebagai calon Barisan Nasional. Beliau merupakan sahabat baik presiden MIC. Beliau dijangka menghadapi tentangan hebat daripada pihak pembangkang, walaupun belum ada ketentuan siapa yang akan menentangnya nanti. Pada masa yang lalu, DAP telah meletakkan seorang calon India di situ.

Taktik seperti ini mungkin tidak akan berjaya kini. Satu ketika dulu, UMNO menentukan kemenangan di situ kerana adanya sokongan padu orang Melayu. Tetapi kini, orang Melayu yang sanggup menyokong UMNO, PAS ataupun Keadilan tidak akan sanggup menyokong seorang calon bukan Melayu, waima calon Melayu yang bertanding di bawah panji-panji DAP.

Di Teluk Kemang dulu, orang Melayu sanggup bertukar angin menyokong calon Melayu parti pembangkang. Inilah yang dilakukan oleh sekitar 70 peratus pengundi Melayu dan 80% pengundi pos. Tetapi pada kali ini tiga kaum majoriti ini berpecah-belah untuk menyulitkan Barisan Nasional melakarkan umpan di halaman Lunas.

Pihak pembangkang telah memilih Saifudin Nasution Ismail sebagai calonya. Satu ketika dulu beliau merupakan ahli majlis tertinggi UMNO, kini dia sudah lama melompat bersama Keadilan. Kalau dia datang sebagai calon PAS dia mungkin menumpulkan selera pengundi Cina yang sekitara 37 persen itu. Ini akan merumitkan kemenangan. DAP mungkin akan muncul sebagai perosak undi masyarakat Cina, dengan menonjolkan seorang calon Cina. Kemunculan Saifuddin adalah persis kemunculan Ruslan Kassim di Teluk Kemang. Ia bukannya ditonjolkan sebagai calon yang sengkek tetapi sebagai calon yang berupaya meraih kemenangan.

Dengan ini, calon Barisan Nasional itu akan mengahadapi jalan yang sukar kerana calon bukan Melayu perlu mendapatkan sokongan orang Melayu untuk menang. Sekaligus ia menggugat dasar kerukunan multi-kaum yang dilakar lama dulu yang banyak bergantung kepada kesetiaan terhadap perjanjian lama.

Kalau Barisan Nasional tumpas kali ini di Lunas, ia akan kehilangan majoriti dua per tiga di Kedah. Besar kemungkinannya ia perlu melakar sesuatu untuk mengekalkan kuasa dan terus memerintah secara berkesan.

Apakah agaknya isu hangat yang akan diperdebatkan dalam pilihanraya kecil ini? Timbalan Perdana Menteri, Abdullah Badawi telah memberi amaran agara isu agama tidak dihangatkan. Lunas bukannya terkenal dengan suasana kesewelan beragama. Tetapi ada desas-desus yang mengaitkan kisah murtad dengan mendiang wakil rakyat yang mati itu. Cara kematiannya yang dikatakan disebabkan pembunuh upahan, menyebabkan MIC dan Barisan Nasional berada dalam keadaan tertekan.

Namun, suasana dan desas-desus itu tidak semestinya melonjakkan masalah keagamaan. Apakah perlunya perkara itu ditonjolkan, sedangkan pihak pembangkang mempunyai banyak lagi isu hangat yang lebih panas untuk diperdebatkan. Kisah royalti minyak Terengganu, episod rampasan Putraja menjadi hak kerajaan persekutuan, kemelut janji-janji politik yang dihamburkan kepada para pengundi tetapi masih tidak tertunai lagi itu, sudah pasti merupakan isu yang lebih menarik lagi daripada isu keagamaan. Setiap kali munculnya pilihanraya kecil, kerajaan yang memerintah memang pantas dengan agenda khasnya yang sepatutnya tidak boleh dikemukakan sebagai bahan memancing undi. Tetapi itulah yang dilakukan; seperti janji memberikan rumah kos rendah dan penyambungan tempoh pajakan tanah dan sebagainya.

Di Teluk Kemang dulu, para penternak khinzir yang dihenyak teruk oleh wabak yang memusnahkan ternakan mereka telah dijanjikan pampasan ke atas kerugian yang tertanggung seandainya calon Barisan Nasional memenangi pilihan raya kecil itu. Walaupun menang, majoritinya telah menurun sebanyak 70% dalam jangka lima tahun. Janji-janji manis semacam itu boleh tertunai kalau para pengundi memangkah kertas undi mengikut ragam pihak kerajaan. Tetapi kalau sesuatu kaum majoriti itu mengundi mengikut kesedaran batin yang mampu menolak sebarang ugutan, keadaan tentu tidak menjadi serupa.

Di Lunas, keupayaan orang Melayu menyokong UMNO memang semakin meluntur setiap hari dan mereka memang menantiikan satu dalil yang munasabah untuk berpihak kepada pembangkang. Kaum Cina memang sedang menggelabah. MCA dan juga Gerakan hanya akan masuk campur kalau mereka yakin dengan kuasa mempengaruhi orang Cina. Kerana itulah Barisan Nasional cuba memperbaiki keadaan dengan menentukan satu tempoh berkempen yang pendek. Taktik ini bukannya sesuatu yang mudah.

Di sebalik itu pula, organisasi pihak pembangkang nampak lebih tersusun lagi. PAS telah awal-awal lagi membuat persiapan sebaik sahaja pilihanraya kecil itu menampakkan fajarnya. Inilah yang menyulitkan pihak Barisan Nasional. Kesan pilihanraya kecil ini akan membuktikan seandainya calon Barisan Nasional itu datangnya daripada orang bukan Melayu dan dia tidak pula mampu meraih sokongan pengundi Melayu, kekalahannya itu akan membawa padah kepada Barisan Nasional juga.

Nampakknya sejarah akan dilakar semula. Ini merupakan sesuatu yang tidak boleh dielakkan selagi UMNO terus berkhayal dengan kuasanya.
 
 

-MGG Pillai-