Make your own free website on Tripod.com
 


ROYALTI  :  KAMI BERSAMA TOK GURU
 

LUNAS: Gelanggang Kecil Untuk Hajat Besar  

Ketika pilihanraya kecil Teluk  Kemang dilancarkan, saya ada menulis satu ramalan bahawa menjelang akhir 2000 akan berlaku tiga pilihanraya kecil yang akan terus menggugat Barisan Nasional dan sekaligus akan menghenyak UMNO. Ramalan ini sudah pun menunjukkan taringnya dan UMNO akan tergugat lagi, lebih teruk dan lebih menekan daripada apa yang mampu dijangkakan.
Pilihanraya kecil Lunas adalah untuk kerusi kosong Dewan Undangan Negeri (DUN Lunas) tetapi orang yang dikemukakan oleh Barisan Alternatif untuk menyanggah calon BN adalah seorang insan yang berkaliber dan mempunyai kewibawaan dan pandangan untuk mewakili rakyat Lunas secara berpada. Cuma, peluangnya itu amat bergantung kepada semangat persaudaraan  orang Melayu, kefahaman pengundi Cina dan kesedaran pengundi India. Saifuddin Nasution Ismail bukan ditonjolkan sebagai calon Barisan Alternatif untuk bersaja-saja. Dia ditonjolkan ke depan untuk satu gelanggang politik yang terhad dan kecil tetapi dengan tujuan  menyahut satu hajat rakyat yang bukan kepalang besarnya.

Pada masa yang  lalu, pilihanraya kecil adalah satu pesta rakyat di mana BN  mampu 'meraih undi' rakyat untuk mengembalikan kerusi kepada kuasa BN semula. Kerana itu Samy Vellu sanggup bersuara celupar dan bertanya orang Melayu (seperti yang berlaku di Sanggang dan Teluk Kemang) "Apaa.......orang Melayu ingat Quran boleh bikin jambatan....? boleh bikin lebuhraya.......?" Seluruh pemimpin Melayu dalam UMNO dan juga dalam kerajaan mampu terenyum sahaja dengan soalan itu. Hampir seluruh pengundi UMNO mampu melupakan semua soalan yang kurang ajar seperti itu dan pergi memangkah calon BN sekali lagi di hari mengundi. Gelagat sebilangan pengundi Melayu di setiap pencalonan di mana wakil MIC dipertandingkan, menunjukkan betapa kesetiaan kepada UMNO mampu membantu calon MIC menjadi wakil rakyat dengan mudah.

Begitu juga apabila Ling Liong Sik dan Lim Kheng Gaik memberitahu  orang Melayu bahawa "Hanya Barisan Nasional yang mampu menaikkan taraf ekonomi Melayu....janganlah orang Melayu lupakan kenyataan itu...!!!" orang Melayu pun tersenyum juga dan terus memangkah calon BN di hari mengundi tanpa memikirkan siapakah sebenarnya yang dipangkah untuk menjadi wakil rakyat mereka.
 

Pilihanraya Kecil Yang Diperlekehkan Mahathir.

Sejarah telah menunjukkan Mahathir jarang sekali sanggup turun padang menemui rakyat tempatan untuk pilihanraya kecil. Kenapa? Kerana pilihanraya kecil adalah satu fenomena yang tidak penting baginya. Cukup setakat  membiarkan wakil peribadi dan juga timbalan presiden BN mewakilinya. Cukup dengan keceluparan Samy Vellu untuk menyoal orang Melayu akan kekuatan Al Quran berulang kali. Kempen politik untuk kerusi pilihanraya kecil adalah tidak penting untuk Wira Dunia Ketiga dan Presiden UMNO sampai mati.

Inilah yang dibincangkan setiap kali berlakunya pilihanraya kecil. Rakyat tidak perlu menunggu ketibaan Wira Dunia Ketiga itu kerana dia mempunyai tugas yang lebih besar lagi seperti meneliti rencana memperkayakan Wilayah Selatan-Selatan yang dikatakan  "amat memerlukan kepintarannya." Pergi jahanam kepada pilihanraya kecil.... seperti pergi jahanam kepada rakyat yang sedang menggigil kerana dilanda bencana banjir.

Satu ketika dulu Mahathir akan hanya pergi berucap untuk berkempen kalau jumlah manusia yang datang mendengar ucapannya itu mencecah puluhan ribu. Jika tidak, dia tidak menjengukkan mukanya untuk berucap di situ. Tetapi, sedarkah rakyat Malaysia  bahawa selama ini kemunculan puluhan ribu rakyat untuk mendengar ucapan Mahathir itu adalah satu taktik politik yang dirangka dengan licin oleh satu insan yang sudah lama pergi menemui
Allah swt?

Kita akan buka rahsia peti cerita sekali lagi akan hal ini agar rakyat marhaen yang akan mengundi di Lunas tidak akan berkecil hati seperti rakyat marhaen di Teluk Kemang dan Sanggang satu ketika dulu. Di waktu itu kehadiran Mahathir dijanjikan sebagai agenda terakhir sebelum pengundian, tetapi apabila tiba masanya alasan lain yang lebih menyeronokkan telah ditonjolkan. Rakyat akur seperti akurnya mereka memangkah calon BN sekali lagi.

Satu ketika dulu kita dapat melihat  puluhan ribu rakyat hadir untuk menyambut ketibaan Mahathir bin Mohammad. Kehadiran mereka itu bertepatan dengan kewibawaan seorang diktator tua yang dikatakan "amat perihatin dengan penderitaan rakyat". Sebenarnya satu ketika dulu ada sebuah syarikat pengiklanan yang kita beri nama di sini dengan nama Bluemingdel Advertisers (nama syarikat sebenar adalah seakan sama bunyinya). Syarikat ini ditugaskan untuk menguruskan segala perihal pengiklanan dan  promosi satu penjualan kereta yang berjenama dan terkenal di negara ini.  Itu adalah tugasnya yang rasmi. Tetapi, tugasnya yang tidak rasmi tetapi sungguh bermakna ialah menentukan setiap kali Mahathir muncul di khalayak ramai akan ada puluhan ribu manusia membanjiri pentas di mana Mahathir akan berucap.

Ini bererti, puluhan bas dan kenderaan khas disediakan untuk mengangkut manusia membanjiri sesuatu kempen dan majlis yang dihadiri oleh Mahathir. Di samping itu kecanggihan kelengkapan elektronik disediakan untuk menyokong kelengkapan seranta awam yang digunakan. Mesin canggih elektronik itu akan memberikan kuasa gema dan getaran kepada tepukan  manusia dan suara laungan yang mengampu dan melolongkan nama Mahathir. Kesan bunyi yang sungguh mengancam itu menjadi satu alat memukau masyarakat  sehinggakan ia mampu memutar minda dan menghambat perasaan.  Inilah taktik yang dilakukan sehinggakan rakyat pada keseluruhannya menjadi terpesona dengan kelengkapan sokongan yang ada. Kecanggihan kelengkapan termoden ini bukannya boleh disediakan secara percuma. Semuanya ini mempunyai kosnya kerana ini adalah teknologi seranta yang tercanggih dan diimpot daripada negara luar.

Walaupun strategi  menonjolkan kewibawaan Mahathir itu dilakukan oleh seorang Melayu melalui sebuah syarikt iklan kepunyaannya, kerja teknikal sebenar dilakukan oleh sebuah syarikat kepunyaan orang asing yang bernama Bozzo Productions (sekali lagi namanya yang sebenar dilindungi, walaupun bunyi sebutan hampir sama). Tuan-punya Bozzo Production bernama L. Bozzo  memang pintar dengan peralatan elektronik.  Di Malaysia ini beliau disokong oleh seorang anak Malaysia yang bernama Malkeet Singh (nama di ubah sedikit). Jadinya, usahawan terkenal Melayu itu telah berjaya membawa masuk Bozzo untuk mengatur strategi yang baik setiap kali Mahathir berucap di khalayak ramai.

Usaha mengangkut satu kumpulan manusia yang pintar memberikan sokongan palsu, bukannya satu teknik yang baru. Ia telah bermula lama dulu lagi. Di Amerika, kita dapat melihat ribuan manusia membanjiri pentas utama setiap kali seseorang tokoh politik berucap. Besar kemungkinannya hampir sembilan puluh peratus mansuia yang berada di situ adalah penonton dan penyokong yang diimport khas. Satu ketika dulu, taktik begini telah digunakan untuk projek awalan Elvis Presley dan juga The Beatles. Pihak penganjur temasya persembahan mereka telah menggunakan pengaruh penonton terlatih untuk meransang perasaan golongan muda sehingga mereka mencapai tahap histeria mengikuti rentak lagu dan irama muzik yang dimainkan. Kesannya memang menakjubkan, kerana jualan rekod para penyanyi itu pun naik melambung tinggi. Rencana menjual tiket konset mereka pun dapat dilancarkan setahun lebih awal lagi sebelum konset sebenar diadakan. Di dalam dunia pengiklanan ada orang Amerika yang menggunakan nama 'Teaser Hypnotism' dalam menggambarkann taktik memukau minda dengan cara ini.

Kecanggihan elektronik untuk tujuan ini telah digunakan sejak beberapa tahun yang lalu oleh jentera kempen UMNO untuk melonjakkan 'aura' Mahathir. Inilah  usaha palsu untuk menaikkan nama dan ketokohan seorang diktator tua. Bayangkan, setiap kali Mahathir bercakap mengenai sesuatu isu, ada sekelompok manusia bertepuk sebagai menyambut isu yang dicetuskannya itu. Kecanggihan elektronik telah memberikan gema dan laungan dan getaran kepada tepukan segelintir manusia itu sehingga menggandakan keadaan yang sebenar.  Kesannya mencuit perasaan sehingga menaikkan bulu roma di tengkuk kita. Apabila ucapan itu diberikan ruang lintas langsung dalam siaran TV dan radio, gema yang dilakukan oleh elektronik itu sudah tentu membuatkan ketrampilan Mahathir menjadi sesuatu yang mempersonakan. Oleh kerana semua gandaan itu dilakukan oleh komputer dan peralatan IT, orang yang tidak memahami jurusan itu tentu mudah terpesona dengan gema yang muncul daripada corong pembesar suara.

Mahathir hanya perlu membuka mulutnya dan berucap apa sahaja yang dia suka. Ada sahaja pasukan khas yang akan memperakukannya dan ada sahaja bunyi tepukan tangan untuk pengiringinya. Gema dan mainan elektronik akan membesarkan semua itu sehingga sesiapa yang menyaksikan dan mendengarnya akan terpaku kerana terpesona. Sedangkan yang sebenarnya mereka terpaku kerana tertipu.

Kini, teknik membesar-besarkan bunyi dan gema yang kecil sudah merupakan suatu teknik yang lumrah. Kalau kita lihat beberapa program TV dan radio kita dapati banyak program yang menggunakan teknik "canned applause" di mana tepukan dan hilai ketawa yang didengar dalam sesuatu rencana itu adalah mainan tep rekorder semata-mata. Malahan kalau kita masuk auditorium yang besar-besar memang ada papan tanda  yang memberi panduan kepada penonton untuk bertepuk tangan secara bersama. Teknik ini memberikan kesan kepada setiap rencana yang dirakamkan itu. Sekali gus ia memberi galakan kepada  para penonton program itu turut ketawa ketika melihatnya di TV.
 

Teknologi Canggih Memutar Minda

Semua orang Melayu (tidak kiralah apa ideologi politik mereka) tentu teringatkan bagaimana canggihnya pelancaran sambutan ulangtahun  UMNO ke-50 dulu. Ketika itu pancaran laser telah digunakan dengan iringan irama yang sungguh mempersonakan. Semua itu adalah bikinan Bozo Productions dengan Malkeet Singh sebagai peneraju utama. Dengan pendedahan cerita ini tentu ramai ahli Majlis Tertinggi UMNO ketika itu masih ingat lagi bagaimana hampir semua mereka itu telah memperlekehkan Malkeet Singh kerana  menonjolkan seorang pakar IT berbangsa Australia untuk kerja-kerja di negara ini. Mereka memarahinya dan memperlekehkannya kerana sepatutnya kerja-kerja itu dibuat oleh anak Malaysia. Malangnya mereka tidak sedar bahawa ketika itu kerja-kerja memutarbelitkan minda orang Melayu telah lama ditangani oleh seorang rakyat Australia sehinggakan pengikut UMNO mudah terpukau dengan segala tindak-tanduknya untuk mengelirukan orang Melayu. Apa yang jadi kepada Bozzo selepas pelancaran majlis ulangtahun ke-50 UMNO itu akan kita sambung di lain masa pula. Biarlah kita bincangkan Lunas dulu.
 

Tertekannya Pucuk Pimpinan BN Sekarang Ini.

Keadaan politik Barisan Nasional sedang goyah. Kereputan parti yang jelas berlaku kepada UMNO sebenarnya sedang menghantui setiap parti komponen BN, terutama di Semenanjung ini secara lebih menyerlah lagi.  Kelemahan ini tidak dapat dibantu oleh kecanggihan IT lagi kerana rakyat di negara ini sudah semakin celik IT. Sudah semakin ramai anak Malaysia yang pintar seperti Bozo dan juga Malkeet Singh. Itu sebabnya apabila pilihanraya kecil terpaksa dilaksanakan di Lunas, pucuk pimpinan BN menjadi gelabah.

Sebagai satu tindakan awalan untuk melemahkan semangat juang parti Barisan Alternatif (BA), satu rencana untuk mengkucar-kacirkan keadaan telah dilakukan oleh BN agar rakyat menjadi keliru apa sebenarnya yang berlaku.  Inilah pertama kali kita lihat betapa pucuk pimpinan BN begitu menggelabah sehingga mereka terpaksa merestui mainan politik yang kotor sekotornya. Bayangkan sendiri kalau Bernama boleh dibabitkan untuk menyiarkan berita palsu memburukkan kewibawaan parti BA, apakah lagi yang boleh diharapkan dalam penyibaran berita sahih daripada semua agensi media massa negara ini yang diterajui oleh kerajaan?

Di sinilah letaknya jawapan kenapa Mahathir dan para pengampunya bergiat cergas mahu mengharamkan hampir semua penerbitan yang dipelopori oleh penyokong BA. Itulah sebabnya Harakah dikenakan sekatan agar dijual hanya di markas PAS dan bilangan edarannya dikurangkan kepada hanya dua keluaran setiap bulan. Ini juga sebabnya Mahathir tidak menyetujui agar permit dibenarkan untuk rakyat berhimpun secara aman. Perkataan 'aman' itu pun mesti ditukar menjadi huru-hara, semata-mata kerana si diktator tua mahu keadaan huru-hara menyelubungi negara agar memudahkannya melaksanakan undang-undang dharurat sepenuhnya.

Paklah (sebagai timbalan perdana menteri dan menteri hal ehwal dalam negara) telah memberi amaran agar parti pembangkang tidak menyentuh isu perkauman dan keagamaan. Tetapi, Apakah Paklah ingat orang Melayu mampu berdiam diri kalau agama Islam sudah diperlekehkan? Tegahan siapa yang lebih besar di antara tegahan Paklah dan Mahathir ataupun tegahan Allah SWT?

Pembaca laman reformasi tentu masih ingat lagi akan rencana memurtadkan penduduk Melayu di daerah Kulim sejak 1998 lagi. Tentu para pembaca masih ingat bagaimana nama Joe Fernandez telah disebut dengan jelas ketika itu. Kini, Joe Fernandez tidak bernyawa lagi, tetapi apakah ini bererti tuduhan mengenai  pembabitannya memurtadkan anak-anak muda Islam boleh terhenti dengan kematiannya itu? Bolehkan masyarakat India beragama Hindu memaafkan Joe Fernandez kerana kegiatannya memesongkan mereka untuk meninggalkan agama anutan mereka itu? Apakah para pengundi di Lunas memangkah kertas undi dulu, untuk menjadikannya wakil rakyat  dengan tujuan untuk membebaskan aktivitinya sebagai seorang pengembang agama Kristian?

Saya ingin mengingatkan bangsa saya yang berama Islam, kegiatan Joe Fernandez selama ini sebagai pengembang agama Kristian dengan tujuan mengkucar-kacirkan pegangan agama Islam orang Melayu, adalah satu dosa yang tidak mudah dilupakan. Ironisnya apakah risikan negara yang begitu cekap, tidak dapat menghidu dan mengesan aktibiti ini? Kenapakah perkara ini boleh berlaku di Kedah dengan mudah? Kenapakah perkara seperti ini tidak sampai ke pengetahuan Dato Hamid Othman, menteri yang bertanggungjawab mengenai syiar Islam di negara ini? Kalau pergerakan Al Arqam boleh dihidu dengan mudah dan pucuk pimpinan pergerakan itu boleh ditangkap dan kemudiannya diperbetulkan aqidah mereka, apakah sudah jadi dengan anak-anak  Melayu yang dimurtadkan dengan pampasan RM50 setiap minggu itu?

Menyedari masalah yang terpaksa dihadapi itu, Barisan Nasional terpaksa menggunakan taktik kotor untuk memutarkan minda para pengundi di Lunas. Taktik yang digunakan ialah dengan memperlekehkan parti komponen BA. Ketika pilihanraya Teluk Kemang dulu kita tahu berjuta RM telah diperuntukkan untuk mendapatkan sokongan pengundi untuk memangkah calon Barisan Nasional yang didatangkan daripada MIC. Kesannya, wang tidak dapat membeli hati pengundi Melayu terutama sekali undi angkatan tentera. Calon MIC menang dengan undi yang dikatakan didatangkan daripada tempat lain. Ruslan Kassim kalah tipis kerana kesuntukan masa untuk melakukan kempen yang lebih berkesan lagi.

Kemenangan MIC di Teluk Kemang dan segala taktik kotor yang telah digunakan sudah dijadikan satu contoh dan iktibar oleh Barisan Nasional kali ini di Lunas. Tempoh berkempen hanya sekitar satu minggu. Dengan keadaan cuaca yang sentiasa hujan, pekerja BA terpaksa menumpukan usaha dengan berkempen daripada rumah ke rumah dan sebarang usaha untuk mengadakan ceramah di malam hari tentu sekali tidak akan membawa kesan. Apabila kempen dari rumah ke rumah dilakukan ia memerlukan kos yang tinggi dan tenaga kerja yang lebih ramai lagi. Sekali lagi usaha ini tidak memihak kepada BA dengan mudahnya.

Apabila kempen daripada rumah ke rumah itu dilaksanakan Barisan Nasional mempunyai banyak kelebihan lagi kerana tenaga kerja yang didatangkan daripada ladang memang mudah dibayar pampasannya. Waktu hujan dikira tidak ada pekerjaan yang boleh dilakukan. Pekerja ladang yang digaji dengan perkiraan kadar harian, tentu akan bersedia membantu BN untuk mendapatkan pampasan yang lebih besar lagi. Di pihak BA pula, tenaga sokongan hanya mungkin tertumpu di hari hujung minggu melainkan para sukarelawan yang datang sanggup mengambil cuti daripada tugas rasmi mereka. Sekali lagi ini akan memudaratkan ramai manusia kerana cuti tahunan sudah hampir pupus. Kalau ada yang berbaki ia perlu disimpan untuk sambungan cuti raya.

Kemunculan puasa dan cuti raya akan menyulitkan mereka yang mempunyai ahli keluarga yang besar untuk berbelanja membantu calon BA di Lunas. Lagipun, cuti sekolah memerlukan belanja yang lebih daripada biasa. Bagaimana pula dengan keperluan berbelanja memberi buku  untuk tahun persekolahan yang baru? Semua ini  adalah satu cabaran yang besar bagi pilihanraya kecil.

Akan tetapi, semua cabaran itu bukannya perkara yang baru dalam arena percaturan politik di negara ini. Pihak kerajaan pimpinan Mahathir memang amat pakar dalam perkara ini. Kerana itu setiap kali dilakukan perancangan untuk pilihanraya kecil, segala taktik kotor telah diambil kira untuk menyulitkan sesiapa yang sanggup menentang calon kerajaan yang memerintah.

Menyedari segala kerumitan dan halangan yang perlu di atasi oleh BA dan Saifuddin Nasution, semua pejuang reformasi harus sedar, setiap cabaran itu memerlukan ketabahan dan kesabaran. Hanya dengan kesabaran kita mampu berfikir dengan waras.  Kalau dilihat kepada suasana politik di Lunas kini, Barisan Nasional akan mudah menang. Bayangkanlah sendiri kalau DAP yang sudah bersedia membuka pejabat baru di Lunas dan bersedia dengan calonnya yang sudah pun menyiapkan baju dan pakaian para petugasnya untuk menjadi calon menentang BN, terpaksa menutup  pejabat dan menarik balik segala sepanduk dan bendera yang siap terpasang. Kalau dibaca berita akhbar setiap hari segala laporan memperlekehkan BA dan menjijikkan pucuk pimpinan BA sehinggakan  ada berita pengunduran berpuluh ahli parti Keadilan dan DAP yang dilaporkan.

Inilah yang dikatakan mainan kotor politik kerana segala berita pengunduran itu adalah dirancang dan dilaksanakan dengan berbelanja besar untuk memutar minda rakyat  Inilah yang dikatakan perancangan manusia yang tersusun rapi.
 

Manusia Merancang Allah Merancang Juga

Manusia merancang, Allah merancang juga tetapi kuasa veto perancangan manusia itu ada pada kuasa Allah sahaja. Kematian Joe Fernandez dan sebab musababnya yang dikatakan sebagai membalas dendam itu adalah satu gambaran yang jelas betapa Lunas adalah satu gelanggang pilihanraya kecil. Di sebalik pilihanraya kecil itu ada tersirat satu hajat besar rakyat yang cintakan kedamaian. Walaupun Lunas merupakan satu gelanggang yang amat sukar kepada BA kali ini, kerana perancangan rapi yang diatur lebih awal untuk menumpaskan pihak pembangkang, besar kemungkinannya Lunas akan jatuh ke tangan Barisan Alternatif.

Suasana politik di negara ini sudah menunjukkan betapa rakyat negara ini lebih mementingkan keamanan. Gelagat Mahathir dan pucuk kepimpinan parti tidak memberikan keyakinan bahawa negara akan aman seperti yang diimpikan. Lunas adalah merupakan satu gelanggang kecil pada penglihatan rakyat, tetapi sebenarnya ia merupakan satu arena perjuangan yang besar untuk mempercepatkan perjuangan rakyat marhaen. Kalau Lunas dimenangi oleh BA bererti kuasa suara dua pertiga di DUN Kedah akan berkecai. Sekaligus ia akan menggugat bukan sahaja Barisan Nasional tetapi sidiktator tua.

Keadaan banjir di utara telah dijadikan sebagai satu alasan untuk memendekkan tempoh berkempen. Sebenarnya ia dijadikan satu senjata untuk melembabkan semangat juang para penyokong BA di seluruh negara. Tetapi, siapakah yang dapat menyangkakan sudah ramai penyokong BA yang sudah mengambil cuti tahunan mereka semata-mata untuk membantu kempen rumah ke rumah di Lunas? Semangat juang ini memang tidak diduga dan diambil kira secara serius oleh para perencana strategi Barisan Nasional di Lunas.

Seorang teman yang sanggup berkubu di Lunas ada memberitahu betapa keputusan pilihanraya kecil di Lunas ini akan memeranjatkan banyak pihak. Terlalu banyak isu yang besar-besar yang dijadikan senjata oleh BA untuk mengajak rakyat melakukan perubahan untuk sekali ini. "Pengundi Lunas bukannya bodoh.......!!!! Mereka sedar akan peranan mereka dan besar kemungkinan ada yang akan  terkejut dan memerlukan bantuan perubatan kerana kesulitan bernafas, tidak lama lagi."

Rakyat sudah sedar bahawa apa yang berlaku di Lunas adalah satu perancanaan Allah untuk menyedarkan rakyat yang sekian lama membuta-tuli menyokong calon MIC sebagai wakil rakyat. Kalau kita bincangkan perkara ini di Port Dickson, ramai orang Cina dan Melayu yang mengeloh kerana tidak pernah berjumpa dengan Solleynathan yang menang di Teluk Kemang dulu.  Perkara ini mesti diambil kira oleh orang Lunas. Mereka harus mengambil iktibar kepada apa yang berlaku di Sanggang dan di Teluk Kemang. Di Sanggang, segala janji-janji yang diluahkan ketika pilihanraya kecil dulu, masih belum tertunai lagi. Kini, tengkujuh datang melanda, ramai orang kampung yang hidup sengsara dan di manakah wakil rakyat yang mereka pilih dulu? Bagaimana pula dengan segala rancangan untuk memajukan kampung di pinggir Sungai Pahang seperti yang dijanjikan itu? Khabarnya segala tapak projek yang diasaskan ketika kempen pilihanraya kecil itu sudah pun punah dilarikan banjir dan air besar. Keadaan ini diburukkan lagi apabila kerajaan Pahang sendiri tidak mempunyai wang untuk mengeluarkan perbelanjaan. Perbalahan yang membuatkan Adnan Yakob mengugut untuk meletakkan jawatan adalah satu berita buruk untuk orang Pahang terutama sekali orang Sanggang.

Begitulah juga halnya dengan Teluk Kemang. Ramai pengundi Melayu yang mengeluh kerana janji-janji manis yang dihamburkan dulu masih tidak tertunai. Bagaimanakah perkara ini boleh ditunaikan kerana kerajaan negeri Sembilan pun kesempitan wang untuk meneruskan projek pembangunan di negeri itu. Negri Sembilan bukannya satu negeri yang besar tetapi cuba hitung berapa raja (undang) yang perlu dibiayai berdasarkan hasil cukai yang dikutip daripada rakyat? Kerana itu kadar cukai pintu di Port Dickson adalah lebih tinggi daripada kadar di bandar yang lebih besar lagi di Semenanjung. Ini juga sebabnya ramai pembeli kondo daripada seberang laut yang sudah mula menjualnya dengan harga yang lebih rendah daripada harga beli dulu.
 

Hajat Yang Besar

Kepincangan yang berlaku di kawasan Teluk Kemang dan Sanggang akan berlaku  juga di Lunas sebaik sahaja pilihanraya kecil ini selesai dan kalau kerusi Lunas itu dimenangi oleh Barisan Nasional. Tetapi, pilihanraya kecil di Lunas akan diikuti oleh beberapa pilihanraya kecil di kawasan utara itu. Suasana politik yang berlaku di negara ini sekarang telah mendorong rakyat marhaen semakin  berani untuk menegakkan keadilan dan mendapatkan apa yang dikira hak rakyat daripada kerajaan Barisan Nasional.

Sebenarnya, Mahathir tidak menjangkakan Joe Fernandez akan mati hingga memungkinkan satu pilihanraya kecil di Negeri Kedah. Kalau dia sedar akan kemungkinan perkara ini berlaku dia tidak akan mengikut rentak hasutan Rais Yatim mengenai royalti minyak di Terengganu. Dia sanggup mengikut rentak hasutan itu kerana memikirkan betapa Barisan Nasional berjaya 'menarik balik arahan mengamalkan bahasa baku di sekolah-sekolah.' Hasutan dan pengaruh Rais Yatim mengena kali itu. Tetapi, kali ini hasutan beliau untuk menidakkan yang hak kepada Rakyat Terengganu sudah pun membuatkan ramai pemimpin dan ahli UMNO yang sudah bersedia membakar jembatan mereka dengan parti itu.

Segala putar belit yang dilakukan oleh Bernama dan semua akhbar perdana mengenai kekecohan BA di Lunas adalah satu hasutan dan fitnah. Perbuatan jijik ini terpaksa dilakukan oleh BN sebagai usaha terakhir (last resort) untuk memutar minda para pengundi
di Lunas.

Malangnya pucuk pimpinan BN sendiri tidak sedar bahawa sebilangan besar pemimpin Barisan Nasional amat mengharapkan calon BN  kalah kali ini. Mereka mengharapkan keputusan yang berpihak kepada BA. Inilah jalan yang paling baik untuk mempercepatkan pengunduran Mahathir daripada arena politik. Hasrat ini juga merupakan satu hajat besar rakyat negara ini yang mahukan kedamaian dan keadilan. Kekalahan BN di Lunas adalah langkah terbaik dan merupakan kunci besar untuk  mendorong si diktator tua  mengikuti jejak langkah sahabat baiknya yang satu ketika dulu menjadi diktator di Peru. Alberto Fujimuri kini sudah pun mengambil keputusan untuk menetap di Jepun. Besarkah kemungkinannya sahabat baiknya di Malaysia akan mengikut sama? Di sinilah letaknya tugas setiap pengundi di Lunas nanti.
 

-Marhaintua-
24.11.2000