Royalti minyak: PAS adakan mesyuarat tergempar 

KUALA LUMPUR, 7 Sept  - Jawatankuasa PAS Pusat akan mengadakan mesyuarat tergempar Sabtu, 9 September jam 2.00 petang bagi membincangkan tindakan Kerajaan Pusat menyekat Petronas membuat bayaran royalti minyak lima peratus kepada Kerajaan Negeri Terengganu. 

Setiausaha Agung PAS, Nasharuddin Mat Isa berkata, Presiden PAS, Dato' Fadzil Nor akan mempengerusikan mesyuarat yang akan diadakan di Pejabat Agung PAS, Taman Melewar dekat sini itu. 

"Mesyuarat akan mendengar laporan dari Menteri Besar Terengganu yang juga Timbalan Presiden PAS berhubung perkara itu. Di samping itu, kita akan cuba dapatkan penjelasan dari Petronas berhubung perkara ini," kata beliau kepada Harakah. 

Ketika ditanya apakah pandangan peribadi beliau jika benar kenyataan Kementerian Kewangan itu, Nasharudin yang juga bekas pensyarah fakulti undang-undang UKM berkata, jika benar tindakan tersebut, ia jelas bertentangan dengan Rukun Negara itu sendiri. 

"Rukun Negara berkata...Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang. Dalam tindakan ini jelas kedua-duanya tidak dipatuhi," kata beliau. 

Beliau berkata, mana boleh mana-mana pihak ketiga cuba mengganggu apatah lagi membatalkan perjanjian yang dibuat oleh dua pihak lain.

Dalam kes ini, Petronas membuat perjanjian dengan Kerajaan Negeri Terengganu.

Dipetik dari : Harakahdaily