MAHATHIR & UMNO/BN SUDAH SAMPAI KE PENGHUJUNG
                JALAN!

                KEBELAKANGAN ini, bergila-gila sangat Dr. Mahathir menyalahkan
                agensi berita Barat. Maka diupahlah oleh media arus perdana
                beberapa penulis rencana untuk memuatkan cerita dan berita yang
                mengutuk agensi terbabit dan negara-negara berkenaan.

                Tulisan yang dipaparkan mencakup pelbagai aspek-aspek, termasuk
                politik, ekonomi, sistem pentadbiran, karenah sosial, dan sistem
                pengendalian undang-undang, objektif dan agenda negara tersebut
                dalam hubungan mereka dengan negara membangun.

                Disebutlah perkara-perkara seperti "globalisasi", hak asasi manusia,
                demokrasi dan kebebasan bersuara. Diperkununkanlah tafsiran
                demokrasi dan hak asasi manusia yang diperjuangkan oleh
                masyarakat dan negara-negara yang dipercacaikan. Kununnya, di
                sebalik kehebatan negara Barat itu, terdapat kesan yang meletakkan
                negara-negara membangun menjadi bertambah bergantung kepada
                negara-negara maju.

                Kita dapat merasakan, idea dan persepsi penulis-penulis rencana
                upahan itu sudah semacam basi. Rakyat negara ini sudah bosan dan
                muak mendengar. Saban hari Dr. Mahathir bercakap, cerita yang
                sama - diulang-ulang.

                Sekarang, bila membaca akhbar arus perdana, perkara yang sama
                disumbatkan ke telinga kita. Apa gunanya membaca lagi rencana
                akhbar-akhbar ini semua? Cukuplah mendegar "khutbah" Mahathir
                yang berjela-jela menghuraikan "gospel"nya.

                Bagi kita yang berpendidikan dan mengamalkan sistem sosial dan
                pengangan agama, ramai diantara kita bersikap terbuka bila
                membaca sebarang rencana mengenai Barat atau oleh Barat. Fikiran
                kita tidak semudah itu dihasut atau dipujuk membenci atau menyukai
                mana-mana sistem dan cara hidup mana-mana masyarakat dunia.

                Kita tidak peduli apa agenda mereka dan tindakan mereka. Walaupun
                kita tau agenda dan peranan media Barat bersifat antarabangsa dan
                berkemampuan menyalur hujah-hujah yang boleh merobah cara
                berfikir masyarakat negara-negara membangun seperti kita, tetapi
                kita tidak semudah itu menerima agenda mereka. Yang penting, kita
                tahu membuat pilihan. Itu penting.

                Apa kita peduli apa mereka buat dan rencanakan. Jika kerajaan yang
                mentadbir negara tidak cenderung menjadi boneka Barat, tidak ada
                apa yang harus dirisaukan.

                Malangnya, apa yang lihat sekarang adalah begini:

                Satu perbedaan dasar yang besar dan ketara antara falsafah
                pentadbiran PAS/BA dengan regim Mahathir (sinonim UMNO/BN)
                sudah begitu jelas dilihat rakyat. Kerajaan PAS/BA di Terengganu dan
                Kelantan berlandaskan Islam. Sementara regim Mahathir
                (Persekutuan) lebih mirip kepada penerapan nilai-nilai Barat
                berbagai-bagai ragam.

                Kita sudah nampak bagaimana regim Mahathir semakin
                mensekularkan Islam. Kita juga nampak bagaimana regim ini tidak
                mempedulikan budaya Timur yang penuh sopan. Regim Mahathir
                telah terang-terang mengenepikan hak asasi rakyat. Malah regim
                Mahathir semakin ghairah memperkutakkatikkan perjalanan dan
                kewibawaan undang-undang. Mahathir tidak boleh menafikan fakta
                itu lagi.

                Apa yang paling menjijikkan kita ialah: kerajaan (regim Mahathir)
                yang dilantik rakyat ini tidak berterima kasih kepada rakyat yang
                memberi amanah kepada mereka untuk menerajui kerajaan.
                Sebaliknya, rakyat pula yang dinafikan hak dan dipaksa bersyukur
                (nak termuntah - p.) kepada mereka.

                Perlukah rakyat berterima kasih kerana regim ini memecah
                undang-undang, merompak harta rakyat dan melakukan
                bermacam-macam putarbelit, rasuah dan penyelewengan dan
                pembohongan?

                Sebagai rakyat, kita punya banyak contoh dan bukti bahawanya
                regim Mahathir memang bersifat angkuh dan tidak benar-benar
                memahami kemahuan rakyat.

                Kita nampak bagaimana rakyat Terengganu dan Kelantan didustakan
                pelbagai cara oleh regim Mahathir dengan memutarbelitkan
                undang-undang dan peraturan. Jika regim Mahathir seringkali
                menyeranah media Barat dan sistem negara mereka; kita hairan
                mengapa Dr. Mahathir bermegah-bangga dengan "cakap tak
                serupa bikin". Adakah regim ini melaksanakan tanggungjawab yang
                jujur kepada rakyat sendiri?

                Kita nampak jelas bagaimana secara tiba-tiba Mahathir mentafsir
                pemberian Royalti ditukar kepada pemberi Ihsan. Tidak ada satu
                orang yang merasa hujah pemimpin UMNO/BN yang cuba
                menegakkan "benang basah" regim ini sebagai justifikasi yang logik
                dan boleh diterima.

                Kita tanya: Apakah peranan media arus perdana yang permit cetak
                mereka di tangan UMNO sudah lakukan? Kenapa akhbar HARAKAH,
                ROKET dan KeADILan dll. dicegah dari edaran, walhal mereka
                berjuang menyuarakan keperluan rakyat? Hinggakan, majalah DETIK,
                WASILAH dan EKSKLUSIF dibatalkan permit mereka. Adakah regim ini
                masih ada hujah dan alasan untuk menyeranah Barat?

                Sebenarnya rakyat tidak begitu hairan dan terpesona dengan
                serangan Dr. Mahathir semasa berucap merasmikan Konvensyen
                Antarabangsa Mengenai Peranan Media di Negara-Negara Berkecuali
                di Kuala Lumpur baru-baru ini.

                Bagi media Barat dan pemimpin mereka, serangan Dr. Mahathir itu
                tidak lebih dari "ngauman langau hijau menghurung taik" saja.
                Yang paling menggelikan hati, rakyat negara ini menganggap ucapan
                serangan Dr. Mahathir itu semakin mendedahkan bagaimana
                buruknya ragam, perangai, karenah dan dasar regim Mahathir
                melaksanakan taktik hodoh seorang pemimpin negara membangun
                seperti Malaysia yang bermati-matian melaksanakan pentadbiran ala
                DIKTATOR.

                Dan, media Barat makin nampak jelas bahawa pentadbiran regim
                Mahathir adalah sebuah regim FEUDAL yang mentadbir rakyat secara
                ?kukubesi?, tertinggal jauh dari dunia madani.

                Peserta Konvensyen itu pasti pulang ke negara masing dengan
                pemahaman yang mendalam bahawa regim Mahahtir sudah sampai
                ke penghujung sejarah parti politik yang menyokongnya (UMNO/BN).

                Mereka juga semakin yakin bahawa BARISAN ALTERNATIF dan
                kepimpinan kerajaan PAS/BA di Terengganu dan Kelantan akan
                mengambilalih pentadbiran seluruh negeri di Malaysia.

                Kalau ditanya bila? Jawabnya: Tahun 2004. Singkat saja. Terimalah
                nasibmu, wahai Dr. Mahathir dan UMNO/BN. Dendam kalian tidak
                akan kesampaian!!
 

                Amin Sapiro
                (BEKAS ahli UMNO atas Pagar Berduri)