Royalti minyak: Wajah sebenar Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Hrkh)- Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu menyifatkan Perdana Menteri hanya menjadi juara keadilan di peringkat antarabangsa tetapi menjadi penindas di negara sendiri. 

Mengulas tindakan Kerajaan Pusat membatalkan bayaran royalti minyak lima peratus kepada kerajaan negeri Terengganu, Mohamad Sabu berkata, inilah wajah sebenar Dr Mahathir.

"Dia boleh menjadi juara keadilan di dunia luar tetapi menjadi musuh kepada rakyat sendiri. Di Malaysia, dia bertindak jauh lebih teruk dari seorang JKKK di kampung-kampung," kata beliau. 

Sebab itulah, katanya, nama Mahathir sangat baik di dunia luar terutama di kalangan dunia ketiga tetapi dibenci oleh rakyatnya sendiri.

Bagi Mohamad Sabu yang juga anggota Parlimen Kuala Kedah, langkah ini bertujuan untuk memberikan projek kepada pemimpin Umno Terengganu yang sudah tidak ada wang selepas tidak mempunyai sebarang jawatan dalam kerajaan. 

"Sekarang ini, nak minum kedai kopi pun mereka tidak ada duit," kata Mohamad Sabu kepada Harakah.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Mahfuz Omar berkata, tindakan Pusat itu seolah-olah mengisytiharkan perang BN terhadap kerajaan negeri Terengganu. 

Bagi beliau, tindakan tersebut sangat tidak demokratik dan sebahagian usaha untuk merampas semula negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.