Make your own free website on Tripod.com
 


ROYALTI : KAMI BERSAMA TOK GURU


TINDAKAN MAHKAMAH BERKAITAN ISU WANG ROYALTI AWAL TAHUN DEPAN

KUALA LUMPUR, -- PAS telah menubuhkan jawatankuasa khas undang-undang dalam usaha bersamanya dengan kerajaan Terengganu untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap kerajaan persekutuan berhubung pembayaran wang ihsan kepada negeri itu.
Setiausaha Agung PAS Nasharuddin Mat Isa berkata usaha sedang dibuat untuk mengumpulkan pakar-pakar perundangan melalui penubuhan jawatankuasa khas undang-undangi royalti minyak bagi mengendalikan tindakan itu.

"Kita ada jawatankuasa guaman dalam PAS dan kita telahpun tubuhkan jawatankuasa khas undang-undang bagi tujuan mengambil tindakan mahkamah itu," katanya kepada Bernama Selasa.

Nasharuddin, yang juga anggota Parlimen Yan, bagaimanapun berkata tarikh sebenar untuk tindakan itu belum dapat diputuskan tetapi dijangkakan awal tahun depan.

Katanya pada masa ini PAS serta kerajaan Terengganu sedang membuat penelitian terhadap pembayaran wang ihsan yang telah dibuat bagi mengenalpasti jumlah yang diberikan serta pecahannya.

Ini perlu bagi meneliti sama ada pembayaran itu merupakan sebahagian daripada bayaran royalti seperti mana yang diterima oleh kerajaan Terengganu ketika di bawah Barisan Nasional, katanya.

Semalam Menteri Besar Terengganu Abdul Hadi Awang berkata kerajaan negeri merasakan ia perlu mengambil tindakan mahkamah bagi mendapatkan pembayaran royalti minyak itu.

Abdul Hadi berkata kerajaan negeri selama ini telah cuba menyelesaikan isu itu melalui saluran pentadbiran dan politik selain mengadakan perbincangan dengan pengurusan Petronas.

Selain itu, Abdul Hadi juga dilaporkan berkata beliau telah mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad semasa persidangan Majlis Raja-Raja Ogos lalu mengenai isu yang sama.