Ke arah Terengganu adil
                     ‘Ein Azmi
                     (Malaysiakini)

                     Jan 29: Jam menunjukkan pukul 9 malam, setiap kerusi ruang
                     utama Dewan Perhimpunan Cina telah dipenuhi. Rata-rata hadirin
                     majlis forum "Kerajaan Terengganu PAS - ke arah Malaysia yang
                     Adil" anjuran DAP itu berbangsa Cina – mereka yang ingin
                     mendapat gambaran sebenar pemerintahan Islam di Terengganu.

                     Tepukan gemuruh kendegaran apabila Menteri Besar Terengganu
                     Abdul Hadi Awang tampil untuk menyampaikan ucapannya.
                     Dengan nada yang tenang, Hadi memulakan ucapannya dengan
                     kalimah memuji Allah, sesuai dengan imejnya sebagai seorang
                     ulama yang disegani. Beliau mengimbas kejayaan dan kerjasama
                     yang terjalin antara PAS dan DAP serta pakatan parti
                     pembangkang umumnya.

                     "Siapa sangka PAS yang ditonjolkan sebagai parti pelampau
                     agama dan DAP pula sebagai parti perkauman Cina -- satu
                     gabungan yang bertentangan -- akhirnya menjalinkan satu
                     pakatan demi kemanusiaan dan keadilan," katanya disambut gema
                     tepukan hadirin.

                     Menurutnya, rakyat khususnya penduduk kampung mulai sedar
                     walaupun kerajaan menggunakan segala jentera yang ada,
                     khususnya media massa untuk memutarbelitkan fakta.

                     "Bayangkan kejadian seorang ibu tua yang menunggu di sebuah
                     bangsal durian [di Kelantan] dilaporkan mendiami pondok buruk
                     itu," katanya. Media massa, katanya lagi, cuba mengambarkan
                     rakyat di Kelantan, selama 10 tahun di bawah pentadbiran PAS,
                     miskin belaka padahal ibu tua itu mempunyai sebuah rumah yang
                     cukup selesa.

                     Hadi juga menggambarkan "kemarahan rakyat makin meluap-luap"
                     apabila bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Ahli
                     Parlimen DAP Lim Guan Eng menjadi mangsa politik golongan yang
                     tamak kekuasaan.

                     "PAS dan Barisan Alternatif tidak menduga akan menang besar di
                     Terengganu dan sudah tentu Mahathir juga tidak menjangkakan
                     Barisan Nasional akan kalah teruk di Terengganu," jelasnya,
                     mengulas kejayaan PAS negeri itu merampas 28 daripada 32
                     kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihanraya November
                     lalu.

                     Hadi sempat menjawab beberapa soalan daripada hadirin. Bagi
                     satu soalan mengenai hudud, Menteri Besar itu berkata, hudud
                     adalah satu bahagian yang kecil daripada hukuman dalam Islam.
                     "Kalau nak dikirakan bahagiannya ialah 0.00001 peratus sahaja,"
                     jelasnya. Tetapi menurutnya lagi, Islam mengutamakan kesan
                     psikologi pelaksanaan sesuatu hukuman.

                     Beliau berhujah menafikan undang-undang Islam, misalnya
                     hukuman memotong tangan pencuri, sebagai zalim. "Ibarat
                     seorang doktor yang terpaksa memotong kaki seorang pesakit
                     kencing manis. Adakah perbuatan doktor itu kejam?"

                     Apabila menjawab persoalan kontroversi cukai kharaj yang
                     diperkenalkan kepada bukan Islam di negeri itu, tokoh PAS itu
                     menerangkan bahawa kharaj tidak membebankan orang bukan
                     Islam sebab mereka tidak dihalang menjalankan perniagaan
                     berasaskan faedah (riba) sedangkan orang Islam sama sekali
                     tidak dibenarkan. Oleh itu, katanya, peluang peningkatan taraf
                     ekonomi kaum bukan Islam adalah lebih baik berbanding orang
                     Islam. Tujuan zakat – kharaj sebahagian daripadanya – ialah
                     membantu rakyat yang tidak berkemampuan.

                     Kharaj akan dilaksanakan setelah cukai lain (yang dikenakan oleh
                     kerajaan negeri) telah dimansuhkan. Bagaimanapun polisi ini
                     hanya dijalankan setelah mendapat persetujuan daripada
                     masyarakat bukan Islam di negeri itu, tambah Hadi.

                     Dalam forum itu juga, kerajaan Terengganu memaklumkan negeri
                     itu memulakan langkah awal membatalkan beberapa projek
                     mewah. Antaranya, pembinaan masjid yang dianggarkan RM140
                     juta dan kompleks sukan yang bernilai RM300 juta.

                     Timbalan Presiden PAS itu turut mempertikaikan laporan sebuah
                     akhbar harian yang menggambarkan perjuangan menegakkan
                     negara Islam, misalnya di Acheh, sebagai menuju ke arah
                     kemunduran dan kemusnahan. Laporan yang mengelirukan ini
                     mempengaruhi pembaca bukan Islam, katanya.

                     "Ramai orang bukan Islam mengambil model ‘negara Islam’ yang
                     tidak mengikut ajaran Islam yang sebenar, daripada prinsip
                     Al-Quran dan hadis."

                     Bagaimanapun, beliau tidak menyalahkan masyarakat bukan Islam
                     kerana kerajaan pusat tidak cuba menjelaskan untuk
                     menghapuskan kekeliruan itu. Beliau berharap masyarakat bukan
                     Islam mengambil contoh dari pembentukan negara Islam yang
                     sebenarnya, misalnya yang pernah dibangunkan dalam zaman
                     pentadbiran Umar Abdul Aziz, beberapa dekad selepas kematian
                     Nabi Muhammad.

                     Apabila ditanya bagaimana Terengganu akan ditadbir, Hadi
                     bagaimanapun menjawab, "saya tidak mahu bercakap apa yang
                     saya akan buat di Terengganu."

                     "Tunggu dan lihat. Saya berharap jika saudara semua hendak
                     mendapatkan gambaran sebenar pentadbiran negeri, tanyalah
                     kaum Tionghua yang menetap di sana, bukannya melalui
                     masyarakat bukan Islam di sini (Kuala Lumpur)," cadangnya lagi.

                     Forum itu turut dihadiri empat lagi anggota majlis mesyuarat
                     kerajaan negeri, Mustafa Ali, Harun Taib, Wan Abdul Mutalib
                     Embong dan Tun Salleh Abbas