Make your own free website on Tripod.com

 
 
 

 

 
TEKS UCAPAN AHLI PARLIMEN KEMAMAN DALAM PARLIMEN PADA 29/02/2000

Tuan Yang Di-Pertua, 

   Saya bangun hari ini didewan yang mulia ini untuk membahaskan pembentangan belanjawan negara yang dibentangkan oleh
Menteri Kewangan Jumaat lepas. Pembentangan ini dibuat dimasa negara digembar-gemburkan  akan membangun kearah
ekonomi yang berteknologi tinggi dan canggih. 

Walaubagaimanapun dalam negara membangun kearah ekonomi yang berteknologi tinggi dan canggih, negara dikejutkan
dengan penolakan majoriti orang melayu kepada kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional dalam pilihanraya ke 10 yang
baru lalu. 

Reaksi pertama Perdana Menteri terhadap fenomena ini boleh difahami dari tulisan beliau dalam akhbar Jepun Mainichi
Shimbun dalam ruangan bulanan beliau " "dengan izin" "World Analysis". Beliau menyalahkan orang melayu diatas kekalahan 4
orang menteri UMNO dan menuduh orang melayu tidak berterima kasih dan bersyukur kepada kerajaan walaupun mereka
merupakan kumpulan yang paling banyak menerima menafaat dari dasar kerajaan melalui Dasar Pembangunan Nasional yang
merupakan dasar utama kerajaan yang mempengaruhi semua polisi2 sampingan dalam Belanjawan Negara. 

Dalam ruangan pojok "The Other Thots" dalam akhbar The New Sunday Times pula Ketua Pengarang  The New Straits
Times mencadangkan supaya orang melayu tidak layak lagi menerima menafaat dari 'dengan izin ' "affirmative action" dalam
pelaksanaan Dasar Pembangunan Nasional kerana mereka tidak lagi berterima kasih dan bersyukur kepada kerajaan dan
desakan mereka supaya kerajaan lebih telus dan bertanggungjawab menunjukkan mereka mahu dasar ini ditamatkan. 

Pimpinan UMNO dan Barisan Nasional mengakui bahawa majoriti orang melayu menolak parti mereka tetapi enggan
menerima hakikat ini atas sebab-sebab yang mereka lebih mengetahui. 

Tuan Yang diPertua 

APAKAH PENOLAKAN UMNO DAN BARISAN NASlONAL OLEH ORANG² MELAYU MEMBAWA ERTI
BAHAWA ORANG MELAYU JUGA MENOLAK DASAR PEMBANGUNAN NASIONAL? 

JAWAPANNYA "TIDAK" SAMA SEKALI. 

Saya hairan didalam pembentangan belanjawan kali ini tidak sedikit pun disentuh mengenai Dasar Pembangunan Nasional
yang merupakan dasar utama kerajaan yang mempengaruhi semua polisi2 sampingan dalam belanjawan negara. Apakah ini
kerana kegagalan kerajaan dalam pelaksanaan Dasar Pembangunan Nasional??? 

Tuan Yang Dipertua, 

Sebenarnya masyarakat Melayu pada keseluruhannya menerima dan menyokong Dasar Pembangunan Nasional. Apa yang
mereka tidak setuju dan terima ialah pelaksanaan dan pentadbiran dasar ini yang sejak kebelakangan ini disalahgunakan dan
dimanipulasi oleh sekumpulan orang yang "berkepentingan" dalam UMNO untuk kepentingan peribadi mereka. Mereka
memanupulasi secara sistematik akan dasar - dasar ini dengan  mengagihkan projek-projek kepada kroni - kroni mereka
sama ada orang Melayu atau bukan Melayu  hasil  sumbangan rakyat di negara ini. 

Orang² Melayu  yang lain hanya merasai tempias atau keraknya sahaja sedangkan sumbangan mereka melampaui apa yang
diterima oleh mereka selama ini. Orang melayu mendesak supaya pengagihan kekayaan negara dilakukan secara adil dan
saksama. Penyelewengan dari dasar ini menyebabkan "mereka" yang menerima manafaat terbanyak terdiri dari mereka yang
tidak pernah menjadi penyumbang utama kepada dasar ini . 

Izinkan saya untuk membuat satu illustrasi. 

Didalam jawapan yang diberi oleh Menteri diJabatan Perdana Menteri kepada soalan saya pada 24hb. Februari  2000,
Negeri Terengganu memperolehi Royalti Minyak dan Gas sebanyak RM. 6.4 Billion semenjak 1975 hingga akhir 1998. Ini
adalah 5% daripada hasil petroleum dan gas yang dikeluarkan dari perut bumi Negeri Terengganu. Dari angka ini bolehlah
dikira bahawa Negeri Terengganu telah mengeluarkan hasil sebanyak  RM 128 billion.  Kos pengeluaran pula ialah lebih
kurang RM 30 billion dan pendapatan yang diberi kepada rakan kongsi carigali Petronas iaitu EPMI ialah lebih kurang RM 20
billion. Ini bermakna Negeri Terengganu telah menyumbang sebanyak RM 78 billion kepada negara. Bayangkan simpanan
minyak dan gas Negeri Terengganu yang akan bertahan selama 15 tahun lagi untuk petroleum dan 30 tahun untuk gas, maka
sumbangan bersih Negeri Terengganu dalam pendapatan melebihi RM 150 billion. Ini tidak dikira lagi 'multiplier effect"
daripada sumbangan Negeri Terengganu ini. 

Tuan Yang Dipertua, 

Negeri Terengganu telah banyak  membuat pengorbanan dan sumbangan kepada pembangunan negara. Maka tibalah
masanya kerajaan Pusat menyedari akan hakikat ini dan mengakui hutangnya kepada Negeri Terengganu. Saya minta
kerajaan pusat lebih prihatin   kepada pembangunan Negeri Terengganu dan mengambil langkah-langkah yang positif dalam
membangunkan Negeri Terengganu. 

Oleh kerana Kemaman merupakan pusat pengendalian operasi carigali dan pemprosesan petroleum dan gas dan mempunyai
potensi yang  besar untuk dimajukan lagi maka saya pohon agar Pelabuhan Kemaman ditingkatkan keupayaannya dan
diluluskan permohonannya untuk dikorporatkan. Ini memberi ruang untuk  "memaximize" potensi penggunaannya. 

Daerah Kemaman yang  memenuhi malah melebihi semua syarat untuk dinaikan taraf dari Majlis Daerah kepada Majlis
Perbandaran seharusnya diberi perhatian yang serious diatas permohonannya untuk dinaikkan taraf ke Majlis Perbandaran. Ini
memberi ruang yang baik untuk memesatkan lagi pembangunan Daerah Kemaman yang merupakan "industrial centre of the
East Coast". 

Tuan Yang Dipertua 

Dikawasan Kemaman ini kita dengar banyak projek-projek berharga berbillion-billion ringgit semenjak tahun 1975 lagi.
Tetapi sehingga hari ini tidak banyak syarikat-syarikat tempatan apatah lagi bumiputera yang mendapat menafaat atau faedah
dari projek-projek ini. Pakar-pakar dibawa dari luar dan bahan-bahan binaan diimport dari luar juga. Malah buruh-buruh
kasar pun diimport juga kerana buruh-buruh tempatan tidak layak atau tidak berupaya menjalankan kerja-kerja yang
kononnya 'sophisticated' atau canggih ini.   Selalunya apabila kita tanya Petronas atau syarikat-syarikat asing yang
menggendalikan projek-projek ini mereka menjawab bahawa syarikat-syarikat tempatan tidak mempunyai kepakaran,
'schedule very tight and so local company cannot cope-up with the schedule'. Setelah lebih suku abad jawapan-jawapan yang
sama juga diberikan. Sekiranya tindakan yang drastik tidak diambil saya takut pengaliran wang keluar negara keluar seperti
keluarnya minyak dari perut bumi Terengganu ini. 

Saya cadangkan satu badan khas ditubuhkan dengan kadar segera untuk memantau penglibatan syarikat-syarikat tempatan
dan bumiputera dalam industri petroleum dan gas ini sebelum ianya terlambat. Pegawai-pegawai Petronas yang sepatutnya
memantau penglibatan bumiputera akhir-akhir ini pun bersuara seperti syarikat-syarikat asing juga. Mereka tidak berupaya
untuk 'enforce' penglibatan bumiputera atau tempatan kerana mereka pun takut projek mereka tergendala konon. 

Pembangunan IKS didalam industri petroleum dan gas ini patut diutamakan kerana banyak ruang boleh diusahakan untuk
memajukan IKS . 

Disini saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri diatas jawapan kepada soalan
tambahan saya yang memberi ruang kepada kerajaan Terengganu untuk melibatkan diri dalam pelaburan didalam kilang-kilang
petro-kimia, penapisan minyak dan gas seperti Ethelene, poly-Ethelene, penapisan petroleum dan sebagainya yang dibina di
negeri Terengganu. Sekurang-kurangnya kerajaan negeri Terengganu di beri "the first right of refusal' dengan izin untuk
melabur didalam kilang-kilang yang menggunakan hasil dari perut buminya untuk dinikmati oleh generasi akan datang.
Harapan saya ialah tawaran ini bukan hanya 'lip service" sahaja. 

Tuan Yang di Pertua, 

Yang menyedihkan kami rakyat negeri Terengganu hari ini ialah pelaburan kerajaan Negeri Terengganu yang dilakukan oleh
kerajaan dahulu didalam kilang Perwaja yang mengalami kerugian yang besar akibat penyelewengan dalam pengurusan kilang
tersebut. Disini saya ingin bertanya apa sudah jadi kepada penyiasatan yang dilakukan terhadap pengurusan Perwaja selama
ini? Mengapa masih belum ada dakwaan terhadap mereka yang menyeleweng sedangkan dakwaan yang begitu pantas
dilakukan terhadap pemimpin-pemimpin parti Pembangkang seperti Karpal Singh, Ezam Mohd Noor , Marina Yusof dan
Zulkifli Sulong apabila laporan di lakukan oleh pimpinan kerajaan. Tidakkah ini merupakan pendakwaan terpilih atau
(selective prosecution) ? 

Baru-baru ini Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah menyatakan lebih 1000 kes rasuah dan penyelewengan tidak dapat
diselesaikan kerana saksi takut memberi keterangan dimahkamah. Maka apakah fenomena ini disebabkan tindakan kerajaan
yang mengambil tindakan kepada mereka yang membuat laporan penyelewengan? Atau mereka tidak yakin tindakan akan
diambil kepada mereka yang rapat dengan kepimpinan negara walaupun terbukti penyelewengan dilakukan.? 

Kerajaan hendaklah lebih telus dan bertanggungjawab dalam tindakan mereka untuk menyelesaikan masaalah penyakit rasuah
ini yang semakin meruncing dan menjadi barah dalam masyarakat. Badan Pencegah Rasuah hendaklah diberi kebebasan
dalam tindakan mereka dan hendaklah melaporkan kepada parlimen dan membebaskan mereka dari dipengaruhi oleh
mana-mana pihak. 

Tuan Yang di Pertua, 

Industri Petroleum dikawal oleh akta Pembangunan Petroleum (Petroluem Devolepment Act) , Perdana Menteri adalah
menteri yang  bertanggungjawab dalam memastikan pelaburan optimum dibuat dari hasil  industri minyak dan gas ini. Perdana
Menteri² sebelum ini telah menggunakan kuasa mereka secara bijaksana dalam menggalakkan pembangunan industri untuk
negara, tetapi apa yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri kita sekarang? Beliau sendiri di dalam perhimpunan agung
UMNO yang lalu mengakui bahawa hasil industri minyak dan gas  sumbangan rakyat Terengganu telah digunakan untuk
menyelamatkan syarikat anaknya hampir dua bilion ringgit dan berbilion lagi telah dibelanjakan untuk membeli sebuah lagi
syarikat supaya aset syarikat anak anaknya dapat dipindahkan ke syarikat ini. 

Dengan ini saya mengatakan  bahawa 'pemanafaat terbesar' Dasar Pembangunan Nasional (national devolepment polisi) ialah
Perdana Menteri sendiri, satu perbuatan sekiranya ia dilakukan di negara demokrasi yang lain akan menyebabkan Perdana
Menteri terpaksa meletak jawatan kerana telah menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri sendiri.Tetapi sekarang beliau
menuduh  orang orang melayu tidak lagi berterima kasih atau bersyukur kepada UMNO, maka segala sumbangan dan
pengorbanan rakyat Terengganu tidak harus digunakan untuk pembangunan ekonomi orang melayu. Ini bermakna wang itu
lebih baik diagihkan untuk tujuan yang lain. Apakah ini yang dikehendaki oleh Perdana Menteri kita sekarang ? 

Izinkan saya untuk menerangkan satu lagi perkara iaitu: 

Kerajaan telah melaksanakan beberapa projek mega dengan menggunakan tabung kewangan dari industri minyak dan gas
seperti Menara Berkembar Petronas, Putrajaya dan litar formula one. Siapakah yang sebenarnya yang  mendapat memanfaat
dari projek projek ini ? Sekiranya satu analisis dibuat ke atas kontrak kontrak yang dianugerahkan, maka ia  menunjukkan
bahawa sebahagian besar kontrak itu dianugerahkan kepada 'benefactor Umno' dan anak anak mereka itu. Ini merupakan
satu hakikat yang tidak dapat disangkal sama sekali bahawa implimentasi projek projek mega telah digunakan sebagai satu
kaedah untuk menyalur keuntungan dari Petronas kepada 'benefactor UMNO'. Wujud beberapa situasi yang lain dimana
projek yang dibiayai oleh kerajaan dengan menggunakan  Belanjawan Pembangunan telah dipindahkan kepada 'benefactor'
UMNO disebalik topeng penswastaan di mana manafaatnya dinikmati oleh segelintir sahaja orang melayu dan majoritinya
tersisih sama sekali. 

Kita bukan menentang penswastaan tetapi penswastaan mestilah memenafaatkan masyarakat terbanyak dan pengagihannya
mestilah telus dan akauntable. Pengguna dan pekerja mestilah diberi peluang untuk menceburi sama dalam projek
penswastaan. Ada setengah-setengah perkhidmatan tidak patut diswastakan seperti perkhidmatan kesihatan dan
sebagainya.Penyelewengan dalam pengagihan projek penswastaan ini akan membebankan rakyat seperti mana berlaku
terhadap IWK dimana kerajaan terpaksa menanggung kerugian dan membayar pula dalam pengambilan semula IWK.
Mengapa duit rakyat mesti digunakan dalam operasi  menyelamatkan IWK yang jelas dari mula lagi penswastaannya
dipersoalkan? 

Disini saya cadangkan supaya satu badan siasatan khas ditubuhkan untuk menilai kewajaran pembayaran yang dikenakan
dalam pengambilan balik IWK dan menyiasat sama ada penyelewengan berlaku dalam penswastaan agensi ini dan dalam
pengambilan balik IWK. Tindakan tegas mesti diambil sekiranya ada penyelewengan kerana ini melibatkan wang rakyat dan
kemudahan asas rakyat. 

Seperkara lagi yang perlu diterangkan  ialah; 

Penanam padi merupakan penyumbang kepada 60% keperluan beras negara.Semua setuju sumbangan mereka kepada
negara tidak ternilai tetapi mereka belum menerima apa-apa faedah atas sumbangan mereka.Harga siling padi tidak berubah
semenjak beberapa tahun yang lampau dan apabila Bernas diswastakan tidak seorang pun petani  mendapat manafaat dari
usaha ini, malah yang mendapat manafaatnya ialah kroni kroni Umno.Tidak memeranjatkan sekiranya mereka   menolak
kerajaan sekarang kerana pelaksanaan Dasar Pembangunan Nasional tidak mengambil kira kepentingan dan sumbangan
mereka. 

Satu hari nanti, segala penyalahgunaan kuasa yang  melampau yang dilakukan oleh kerajaan sekarang akan terbongkar
juga.InsyaAllah 

Seperkara lagi yang ingin saya terangkan ialah; 

Ekonomi Malaysia seperti yang kita lihat sekarang ialah kerana kerelaan orang melayu untuk berkorban demi negara. Mereka
menentang keganasan komunis tetapi disamping itu memberi kerakyatan kepada orang cina walaupun perang belum berakhir.
Mereka membenarkan polisi cukai intigrasi nasional (Tax Policy of National Ingtegration) yang membenar orang cina mengikut
adat resam tradisi mereka, kepercayaan keagamaan , bahasa ibunda mereka dan ini pada hakikatnya mengizinkan masyarakat
yang berasingan dan tersendirian. 

Tidak ada satu pun negara di Asia Tenggara yang melaksanakan polisi cukai seumpama itu dan dalam semua keadaan seperti
di Indonesia dan Thailand sebuah polisi penerapan negara telah dilaksanakan bersungguh sungguh yang kemudian
menyebabkan kehilangan identiti budaya. Seperti yang telah saya sebut hari ini , orang melayu telah membenarkan sumbangan
mereka digunakan oleh kaum kaum lain supaya mereka boleh menguntungkan negara. Tetapi bila tiba masa pengagihan
semula sumbangan orang cina melalui kejayaan syarikat swasta, sumbangan ini disonglap oleh sekumpulan kecil 'benefactor'
UMNO dan ini merampas hak majoriti orang orang melayu. 

Perlaksanaan polisi sebegitu rupa tidak menyumbang kepada integrasi nasional. Bahkan ia membiarkan satu komuniti di
bawah belas kasihan sekumpulan kecil manusia yang mengugat survival mereka sebagai satu identiti kaum dan budaya dengan
mengugut mereka untuk menerima polisi polisi yang menindas dan tidak adil kepada majoriti orng melayu. Inilah keputusan
pilihanraya yang lalu dimana majoriti orang cina memandang perlu untuk mendukung satu rejim politik yang ditolak secara
berleluasa oleh orang melayu. 

Kaum cina mesti sedar bahawa kesinambungan kemakmuran mereka di negara ini bergantung kepada apa yang dikehendaki
oleh majoriti orang melayu dan bukannya apa yang dikehendaki segelintir pemimpin lama dalam sebuah parti yang tidak lagi
mewakili orang melayu seperti yang telah terbukti dalam pilihan raya yang lepas. 

Tibalah masanya pemimpin UMNO sedar bahawa mereka tidak boleh memperkotak katikkan lagi orang melayu dan mereka
tidak akan selamanya menutup mata dari kesalahan yang dilakukan oleh pemimpin mereka dan  tunduk kepada ugutan dan
ancaman untuk merampas hak dan keistimewaan mereka sedangkan semua itu adalah hasil dari sumbangan mereka sendiri
kepada negara. Saya memperkatakan bahawa orang melayu telah bersedia untuk berjuang demi hak  keistimewaan mereka
seperti mana yang termaktub dalam Dasar Pembangunan  Nasional. 

Sekirannya jawapan UMNO  ialah untuk mengugut orang melayu dengan merampas hak dan keistimewaan mereka maka
biarlah saya menyebutkannya di sini bahawa saya tidak akan tunduk kepada ugutan dan para perwakilan Barisan Alternatif
tetap bersedia meneruskan perjuangan bagi memastikan dasar Pembangunan Nasional akan di laksanakan untuk kepentingan
majoriti rakyat. 

Kami akan menentang cubaan berniat jahat untuk mengkorapsikan polisi supaya segelintir krono-kroni UMNO dapat meraih
keuntungan dari polisi tersebut. Polisi pembangunan nasional mesti menguntungkan semua orang melayu. 

Tuan Yang Dipertua 

Sekarang ekonomi digembar-gemburkan sudah pulih dan berkembang.  Perkembangan ini sebahagian besarnya dipergiatkan
oleh sektor elektronik dan elektikal yang sebahagian besarnya dikuasai oleh syarikat-syarikat asing terutamanya  syarikat
syarikat multinasional  dari Amerika Syarikat yang disokong oleh pelaburan tempatan.  Negara bertanggungjawab di atas 
pembentukan ekonomi  yang berteknologi canggih dan tanpa kehadiran mereka kita mampu membentuk sebuah ekonomi
moden tetapi  tidak berteknologi canggih. Di sebalik sumbangan mereka, kerajaan terus menerus menuduh mereka
mempunyai agenda untuk menguasai ekonomi negara.Tetapi hakikatnya mereka telah pun menguasai sektor elektronik dan
elektrikal  dan sekiranya kerajaan bersedia untuk kehilangan mereka, kerajaan patut mengambil sikap yang lebih proaktif
dalam mengenal pasti sumbangan mereka dalam pembangunan  ekonomi  berteknologi canggih. 

Sebuah ekonomi yang berteknologi canggih tidak akan berkembang tanpa mengambil kira hak asasi  manusia. Telah kerap
kali di beritahu bahawa Malaysia mempunyai rekod tidak baik dalam  hak asasi kemanusiaan. Terbaru ialah tindakan kerajaan
dalam pendakwaan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Sdr. Anwar Ibrahim. Menurut laporan yang dikekuarkan oleh
Jabatan Negara Amerika Syarikat Malaysia dituduh melakukan 'pendakwaan terpilih' didalam pendakwaan terhadap Sdr.
Anwar Ibrahim dan bermotifkan politik. Sdr. Anwar Ibrahim juga didakwa tidak mendapat pengadilan yang sewajarnya dan
ini merosakkan imej Malaysia dalam pembangunan sebuah ekonomi berteknologi Tinggi.  Malaysia  enggan  menandatangani
'UN Charter of Human Rights' kerana khuatir ini akan menjuruskan kearah penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri
(ISA)  yang banyak disalahgunakan demi kepentingan kuasa kerajaan yang memerintah sekarang. Undang-undang draconian
yang lain seperti OSA, Akta Mesin dan Cetak dan sebagainya disalahgunakan dan ini memburukkan lagi imej negara dalam
mempromosikan sebagai tempat yang "viable' dalam pelaburan industry yang berteknologi tinggi. 

Sekiranya keadaan menindas berterusan ia akan memusnahkan tunjang moral dan etika negara dan akan memaksa syarikat
multinasional untuk memindahkan industri mereka ke negara lain yang mempunyai sikap yang lebih proaktif terhadap hak hak
asasi kemanusiaan.  Telah terdapat usaha  untuk menggandingkan pelaburan asing dengan hak hak kemanusiaan sebagai
prasyarat untuk membenarkan syarikat sesebuah negara melabur di negara asing seperti Malaysia. 

Berhubung dengan ini, saya mengecam tindakan kerajaan yang menghalang hak rakyatnya  mendedahkan penyelewengan
dalam kerajaan melalui proses pendakwaan terpilih (selective prosecution).  Sekiranya kerajaan tidak menukar polisi ini, maka
cita cita Malaysia untuk membina dasar ekonomi yang berteknologi canggih tidak akan tercapai kerana pelabur pelabur asing
tidak akan melabur dan lari ke tempat lain. 

Tuan Yang Dipertua, 

Penggunaan media massa milik kerajaan seperti RTM dan sebagainya untuk mengaibkan, menfitnah, memalukan individu dan
pemimpin-pemimpin parti pembangkang adalah  jelas merupakan penyalahgunaan duit rakyat yang menanggung operasi
media-media ini. Apakah rakyat redha dengan perbuatan berdosa yang dilakukan oleh kerajaan??? Media-media ini dibiayai
oleh wang rakyat dan tidak seharusnya digunakan untuk perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum agama seperti
memfitnah dan mengaibkan individu dan parti pembangkang dan pemimpin-pemimpin mereka. Apa yang menyedihkan lagi
ialah media ini juga digunakan untuk menuduh individu tertentu dan pemimpin-pemimpin parti pembangkang memfitnah
mereka . Apa nak jadi kepada negara kita ini. Mereka yang memfitnah mendakwa difitnah oleh mereka yang difitnah. Kalau
dulu kita biasa dengan perkataan 'double-agen" atau 'double-standard" sekarang di Malaysia ini ada satu istilah baru
dijelmakan oleh perbuatan pemimpin-pemimpin kerajaan, iaitu 'double-fitnah'. 

Kenyataan kenyataan saya ini hanyalah sekadar bertujuan untuk memastikan kestabilan dan kesinambungan pembangunan
ekonomi Malaysia.  Adalah perlu bagi kerajaan menyedari bahawa  angin perubahan bertiup kencang di negara ini yang
memaksa kita memikir kembali strategi yang kita laksanakan selama ini. Dasar dasar kerajaan termasuklah perundangan
sekiranya  tidak berubah, maka pada pandangan saya ekonomi dan negara ini akan terjerumus ke arah keruntuhan akibat 
penyalahgunaan kuasa dan penodaan perundangan yang berterusan. Barisan Alternatif akan Insyaallah meneruskan agenda
untuk mewujudkan pengagihan kekayaan ekonomi yang adil dan saksama dan akan meneruskan polisinya untuk mendukung
'the affirmative action program' dalam Dasar Pembangunan Nasional (National Development Policy). 

  Akhir kata falsafah belanjawan ini bukan hendaknya mementingkan golongan usahawan dan pembangunan physikal sahaja
tetapi juga hendaklah mementingkan juga pembangunan insan supaya rakyat Malaysia dapat menikmati hidup yang selesa dan
harmoni. Pendidikan, kesihatan , quality alam sekitar mestilah dipentingkan juga dalam perbelanjaan negara. 

Sekian . Terima Kasih. 

SDR. ABDUL  RAHMAN BIN YUSOF 
  
  

TERENGGANU DARUL IMAN®