Terengganu bangunkan industri maritim
Oleh Kamarudin Mat Akib

KUALA TERENGGANU,  - Projek pembangunan bersepadu industri maritim di Pulau Duyung yang melibatkan kawasan seluas 150 hektar, dijangka membawa peluang pelaburan dan pekerjaan yang besar, jika cadangan itu dilaksanakan.

Kerajaan Terengganu telah memberi kepercayaan kepada sebuah syarikat swasta yang berpengalaman luas di bidang maritim untuk melakukan kajian awal projek tersebut.

Syarikat Mara Shipyard & Engineering (Terengganu) Sdn Bhd (MSET) dijangka mengambil masa antara satu hingga dua tahun bagi menyiapkan kajiannya berhubung cadangan tersebut.

Jika kajian mendapati projek tersebut menguntungkan, beberapa pulau di kawasan itu akan dibangunkan dalam tiga fasa, sekaligus merangsangkan pertumbuhan ekonomi negeri ini.

Menteri Besar, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, ketika ditemui di Wisma Darul Iman baru-baru ini, berkata kerajaan negeri berharap pelaksanaan projek terebut akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri begitu positif dan komited dalam membantu syarikat-syarikat dari dalam dan luar negara melabur di negeri ini.

"Kita akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada syarikat swasta menceburi apa juga bidang, terutama yang memberi peluang pekerjaan besar kepada penduduk tempatan," katanya.

Projek tersebut dianggarkan akan membawa pelaburan sejumlah RM572 juta di kawasan berkenaan dalam tempoh lima tahun.

Pada masa yang sama industri maritim akan berkembang pesat dan menyediakan pelbagai peluang pekerjaan yang besar kepada penduduk tempatan.

Ustaz Hadi berkata, pelaksanaan projek tersebut juga akan menyelesaikan beberapa masalah yang dihadapi di kawasan tersebut, termasuk masalah muara sungai cetek.

"Saya difahamkan sebuah benteng pemecah ombak akan dibina di kawasan ini bagi menghalang pembentukan beting pasir di muara sungai Terengganu," tambahnya.

sumber :  Harakahdaily