TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM

MUNGKINKAH PAS DALANG AL-MA’UNAH?
Komen TARMIZI MOHD JAM

Apabila isu serban merah putih, berjanggut dan berjubah mewarnai latar belakang targedi perompakan senjata di Gerik minggu lalu, banyak pihak sudah mengagak kumpulan Al-Ma’unah ini akan dengan mudah dikaitkan dengan PAS, sebagai musuh Umno dalam arus perdana politik negara Malaysia. Mengaitkan dengan PAS, adalah langkah popular Mahathir Mohamad untuk memulihkan semula pengaruh Umno yang kian luntur dilekati oleh orang-orang Melayu.

Mahathir amat mengharapkan agar Pas dan pihak lain tidak cuba menghalalkan perbuatan kejam dan penyelewengan yang dilakukan oleh kumpulan Al-Ma’unah “atas alasan apapun”. Harapan Mahathir itu, membuka perdebatan baru dalam polemik yang menyelubungi drama tembak-menembak di Bukit Jendelik, Sauk. Kenyataan Mahathir yang lebih condong untuk mengajak rakyat “menyalahkan” PAS berkenaan apa yang tercetus di Sauk itu, tidak mungkin akan meredakan perbahasan mengenainya sekalipun mahkamah telah menghukum para pesalah berkenaan.

Mahathir sebenarnya lebih berminat, agar rakyat mengaitkan isu ini dengan PAS. Agenda media juga, kelihatan ke arah itu. Mungkin ada perancangan untuk memerangkap PAS atas isu ini. Namun, begitu, sikap berhati-hati pemimpin PAS menangani isu sensitive ini, patut dipuji.

Harapan Mahathir itu, tersembunyi dan terbungkus seribu ajakan dan perangkap agar PAS melatah dan melenting dalam isu ini. Hakikatnya, seluruh rakyat mengecam perbuatan kumpulan itu yang menyiksa dan membunuh dengan kejam dua orang anggota pasukan keselamatan. Namun begitu, Mahathir terus menempah polemik baru antara dirinya dan PAS, apabila beliau dalam kenyataannya menyifatkan pihaknya percaya, terdapat usaha di kalangan pihak tertentu terutamanya PAS yang akan cuba menghalalkan perbuatan kejam kumpulan itu atas alasan mereka cuba menegakkan sebuah negara Islam.

Dakwa Mahathir lagi, kerajaan meyangka PAS akan cuba menghalalkan kumpulan itu seperti mana ia menghalalkan pembunuhan empat anggota polis dalam Peristiwa Memali dahulu. Sekali lagi, dakwaan Mahathir ini boleh dibaca mengandungi motif “jahat” dalam targedi Sauk itu. Apakah drama komidi di Sauk itu bertujuan untuk merobek-robek PAS dan apakah juga, targedi ini dapat membantu Umno untuk memulakan mesyuarat bagaimana untuk mengharamkan nama Islam yang terdapat pada PAS.

Mahathir masih membungkus cerita sebenar dari Tragedi Memali yang berlaku kira-kira 15 tahun dahulu. Sehingga ke hari ini, perbicaraan mengenai tragedy hitam ini masih belum tamat. Namun begitu, rakyat tahu, peluru siapakah yang telah membaham beberapa orang anggota keselamatan dalam kepungan terhadap As-Syahid Ibrahim Libya dan para pengikutnya. Soalnya, mengapa pihak kerajaan takut untuk menghadapkan kes ini di mahkamah secara berani, sebaliknya sentiasa “menangguh-nagguhkan” sahaja dari terus dibicarakan?
Mengaitkan anggota kumpulan Al-Ma’unah yang menjadi ahli PAS, tidak cukup kuat untuk menyeret Pas terbabit sebagai dalang yang gagah dalam episod perompakan senjata itu. Hakikatnya, isu perompakan senjata sudah tamat. Tetapi isu baru, yang tercetus dari perompakan senjata itu, menimbulkan tandatanya, apakah kaitannya dengan kenyataan Mahathir yang tiba-tiba “menghantar kad undangan” untuk bertempur dalam isu baru ini dengan PAS, sebagai sebuah parti yang amat dicemburui Mahathir sejak akhir-akhir ini.

Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor telah menegaskan pembangkang tidak berhajat untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional denga mengangkat senjata. Sebaliknya, tambah beliau, pembangkang masih menaruh harapan kepada sisitem pilihanraya. Kenyataan Ketua Pembangkang itu, adalah jelas dan signal kepada para penyokong mereka agar meneruskan perjuangan melalui laman demokrasi, selagi kerajaan membuka ruang yang luas terhadap demokrasi.

Datuk Fadzil sendiri menyifatkan tuduhan Mahathir sebagai melulu apabila mengaitkan perompakan senjata itu dengan muslihat politik atau motif politik ala pembangkang. Ia ternyata tidak berasas sama sekali. Pakatan pembangkang, katanya, tidak melaksanakan pendekatan sebegitu untuk menjatuhkan BN yang sememangnya sudah ibarat “telur dihujung tanduk”, kerana ia akan merugikan pengaruh pembangkang menjelang pilihanraya umum ke 11 nanti.

Sikap tidak melenting pemimpin PAS, sebenarnya sudah cukup menyusahkan Mahathir. Laporan TV3 dalam Buletin Utama (Jam 8.00 malam) memaparkan secara khusus mengenai ajaran  sesat Kumpulan Al-Ma’unah dan cuba mengaitkan dengan PAS, adalah bukti terbaru, wujudnya agenda tersirat dari insiden yang meletus dan meletup di Sauk itu. Gambar video pemimpin PAS dan suasana Muktamar Tahunan PAS di Terengganu, acapakali diulang-ulang secara bertalu-talu bagi memberikan “iklan” percuma yang “kununnya” ajaran kumpulan itu atau cita-cita kumpulan itu, adalah sama dengan apa yang diperjuangkan oleh PAS. Oleh yang demikian, kesimpulan dari laporan TV3 itu, jauhilah PAS untuk terus berada dalam politik aman dan damai di negara ini.

“Buat apa kami mencetuskan pergaduhan dengan BN dengan menculik atau mencuri senjata tentera kerana menerusi pilihanraya sudah cukup menunjukkan kecenderungan BN akan tewas ekoran tindakan rakyat menolak kepimpinan negara dalam pilihanraya umum ke 10 yang lalu,” tegas Datuk Fadzil. Apa yang jelas, kenyataan Mahathir untuk mengaitkan PAS dalam kejadian di Sauk itu, tidak mendapat respon dari para pemimpin PAS. Mahathir tidak mungkin upaya membangkitkan kemarahan rakyat terhadap PAS. Usahanya untuk memecahkan hubungan atau pakatan pembangkang, khususnya dengan DAP, akan menemui jalan mati. Pembohongan Mahathir, bukan lagi menjadi rahsia tetapi amat mangli dibicarakan orang.

Apakah strategi Mahathir untuk menumpaskan pembangkang pada masa depan? Tahun 2004 masih panjang, Mahathir tidak akan berdiam dan membungkus dirinya. Tragedi Sauk adalah percubaan awal Mahathir untuk menguji sensitivity umat Islam terhadap golongan seumpama PAS. Kita berharap, Tragedi memali kedua tidak dipasungkan lagi kepada Pas dan para penyokongnya.