Make your own free website on Tripod.com
 
TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM
 
            PAS SAMBUT BAIK PERSETUJUAN PUSAT BINCANG SOAL
             PEMBESARAN LTSM
 
 
 
             KUALA TERENGGANU, 20 Julai  -- Kerajaan PAS
             Terengganu menyambut baik langkah Kerajaan Pusat yang
             bersetuju meneruskan rundingan berhubung projek pembesaran
             Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini.

             Menteri Besar Abdul Hadi Awang berkata, projek itu sangat penting
             bagi Kerajaan Negeri untuk menampung bilangan pengguna yang
             semakin bertambah di samping menaikkan tarafnya sebagai sebuah
             lapangan terbang antarabangsa.

             "Kami berterima kasih dengan hasrat Kerajaan Pusat untuk terus
             berbincang dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan projek itu
             akan dilaksanakan demi kepentingan rakyat," katanya semasa
             berucap pada majlis penganugerahan darjah kebesaran dan pingat
             sempena sambutan ulangtahun ke-38 Sultan Terengganu di Istana
             Maziah, di sini, Khamis.

             Projek pembesaran lapangan terbang itu terpaksa ditangguhkan
             ekoran kegagalan Kerajaan Negeri menyelesaikan masalah
             pengambilan tanah.

             Projek itu memerlukan tanah seluas 34.4 hektar bagi
             memanjangkan landasan yang mampu menampung pesawat Boeing
             747 dan bangunan terminal baru yang boleh membawa jemaah haji
             terus dari Kuala Terengganu ke Jeddah, di Arab Saudi.

             Abdul Hadi berkata, sejak PAS diberikan mandat oleh rakyat melalui
             pilihan raya umum lepas, kedatangan pelancong ke negeri itu
             semakin meningkat dan memerlukan pertambahan penerbangan.

             "Ini adalah sesuai dengan kepesatan penggunaan LPTM yang telah
             meningkat kepada 11 penerbangan sehari berbanding 4
             penerbangan sahaja sebelum ini," katanya.

             Sementara itu, beliau berkata Kerajaan Negeri akan memberi
             tumpuan utama terhadap industri berasaskan pertanian dalam
             pembangunan ekonomi di Terengganu di samping industri
             petrokimia.

             Abdul Hadi berkata Dasar Pembangunan Pertanian negeri juga
             digubal untuk meningkatkan sumber makanan, sekaligus mengelak
             penggantungan kepada makanan dari luar.

             "Oleh itu Kerajaan Negeri sedang berusaha memaksimakan
             penggunaan tanah untuk pertanian dan industri yang berkaitan,
             sekaligus menjamin kestabilan pendapatan petani," katanya.

             Abdul Hadi juga berkata, Kerajaan Negeri juga berjaya menarik
             minat ramai pelabur tempatan dan asing dalam tempoh enam bulan
             tahun ini dan ada antara mereka yang telah menyatakan
             kesanggupan untuk melabur di negeri ini, katanya.