HADI, MUSTAFA ANGKAT SUMPAH ANGGOTA DEWAN
 RAKYAT SELASA INI
 
 KUALA TERENGGANU, 12 Feb  -- Menteri Besar, Haji
 Abdul Hadi Awang dan exco kanan kerajaan PAS Terengganu,
 Mustafa Ali akan mengangkat sumpah sebagai anggota Parlimen
 pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula Isnin ini.

 Hadi yang juga Timbalan Presiden PAS adalah anggota Parlimen
 Marang dan Mustafa, naib Presiden parti itu pula merupakan
 anggota Parlimen Dungun.

 Mustafa yang ditemui di rumahnya hari ini berkata, beliau dan Hadi
 akan mengangkat sumpah sebagai anggota Parlimen Selasa ini di
 hadapan Speaker Dewan Rakyat Tun Mohamed Zahir Ismail.

 Hadi dan Mustafa merupakan dua anggota Parlimen yang belum
 mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat semasa majlis
 itu diadakan pada mesyuarat pertama penggal ke-10 persidangan
 Dewan Rakyat 20 Dis lepas.

 Mustafa berkata, mereka tidak dapat mengangkat sumpah pada
 masa itu kerana terpaksa menghadiri mesyuarat pertama penggal
 ke-10 persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu selama
 tiga hari yang turut membentangkan belanjawan 2000.

 Hadi yang juga Persuruhjaya PAS Terengganu memenangi kerusi
 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang dan dilantik sebagai
 Menteri Besar Terengganu selepas parti itu berjaya memperolehi
 28 daripada 32 kerusi DUN Terengganu pada pilihan raya umum, 29
 Nov lepas.

 Mustafa, Setiausaha PAS negeri yang juga memenangi kerusi DUN
 Pengkalan Berangan pada pilihan raya itu pula dilantik sebagai
 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum,
 Perindustrian dan Sumber Manusia negeri.