Make your own free website on Tripod.com
 


ROYALTI : KAMI TETAP BERSAMA TOK GURU



Media Sebagai Wadah Rakyat
Oleh Hakimi Abdullah

Muqaddimah
Tulisan ini diterbitkan dalam "Buletin Malaysia", sebuah penerbitan web yang dihasilkan oleh "Bahagian Keselamatan Negara", Jabatan Perdana Menteri Malaysia. Oleh kerana ia sangat penting untuk diketahui oleh rakyat tentang peranan media arus perdana ini, berikut disiarkan tulisan tersebut - Editor.

Media selama ini, terutamanya akhbar-akhbar dan televisyen merupakan jentera dan organ penting penyebaran maklumat kerajaan. Malah, peranan yang dimainkan oleh media di Malaysia menyebabkan ia dianggap sepenuhnya menjaga dan melindungi Kerajaan.

Selain fungsi menyampaikan maklumat, media arus perdana di Malaysia seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star, New Straits Times, TV3, NTV7 dan Saluran Perdana Dan Emas di RTM, ia menjadi saluran kerajaan dalam membentuk pemikiran rakyat. Peranan tersebut dikatakan lebih ketara terutamanya semasa menjelang pilihanraya, di mana cerita-cerita atau liputan politik lebih menyerlah dan menjadi panca warna dalam pemilihan bahan berita.

Tidak menghairankan, ia menjadi saluran paling berkesan untuk kerajaan dan parti pemerintah untuk menyampaikan fahaman politik dan berkempen. Lantaran tekanan daripada corak pemberitaan dan laporannya juga telah menyebabkan pembangkang melancarkan kempen besar-besaran mereka memulaukan media-media ini, sama ada sebelum pilihanraya umum dan juga selepas pilihanraya.

Malah, kerana laporan berita danruangan kartun yang agak sinis menyebabkan pemimpin-pemimpin pembangkang melenting, dan kemuncaknya, Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang (kini Pengerusi DAP) sebelum pilihanraya lalu telah mengambil tindakan mahkamah ke atas Utusan Malaysia berhubung tuduhan akhbar itu bahawa Ketua Pembangkang di Parlimen itu tidak patriotik.

Demikian juga halnya ruangan kartun dalam NST telah mengundang akibat yang sama. Keberkesanan akhbar-akhbar arus perdana dan organisasi penyiaran tersebut telah membantu parti pemerintah terus mengekalkan kuasa. Tanpa peranan dan sumbangan yang dimainkan mungkin sukar bagi kerajaan untuk terus mengekalkan kekuasaan di sebalik tentangan kuat daripada pembangkang.

Malah pembangkang Barisan Alternatif, khususnya PAS telah menggunakan akhbar tabloidnya dengan begitu berkesan untuk berkempen dan menyerang kerajaan. Lebih hebat lagi, mereka menggunakan teknologi maklumat untuk menyaingi pengaruh media arus perdana. Kejayaan media arus perdana tidak terletak kepada edaran atau kawasan liputan siaran yang luas, tetapi terletak kepada kemampuan mereka membentuk pemikiran khalayak melalui usaha agresif dan bersepadu dalam memberikan input bagi membentuk pemikiran.

Lantaran itu, pakatan pembangkang berada dalam kedudukan tertekan apabila tindak-tanduk mereka menjadi serba tidak kena, sekali gus menyukarkan mereka untuk berdepan dengan rakyat. Namun, berakhirnya pilihanraya, media arus perdana negara ini tidak harus terikat dengan peranannya ketika menjelang pilihanraya. Ia perlu kembali kepada tugasnya sesuai dengan peranan sebagai ‘watchdog’ yang tidak bermaksud mencela keburukan atau mendedahkan aib kerajaan.

Ia juga tidak seharusnya berdiri di tengah masyarakat yang celik maklumat sebagai ‘drum-beater’ kerajaan semata-mata, sehingga terabainya kepentingan ramai. Antara persoalan yang perlu difikirkan pada era pasca pilihanraya, apakah kerajaan sudah dan akan menunaikan tanggungjawabnya sebagai pemerintah dan pentadbir; atau apakah kerajaan yang dipilih oleh rakyat menunaikan janjinya semasa pilihanraya.

Pada masa yang sama, apakah masyarakat dan rakyat sudah benar-benar bersedia menyatukan dan memberi fokus kepada dasar dan perancangan kerajaan. Ia merupakan persoalan yang perlu diutamakan dan media tidak seharusnya terus terikat kepada bahan-bahan berita politik dan sensasi yang lebih terarah kepada memburukkan pihak lain, tetapi memuji pihak yang satu lagi.

Di sini, peranan media lebih besar sebagai organ parti pemerintah, malah sebagai media yang mempunyai pengaruh yang besar perlu memberi sumbangan kepada perkembangan dan pembelaan masyarakat. Ia harus memainkan fungsinya sebagai mata kerajaan untuk menilai kembali kemampuan dan kekurangannya.

Ia tidak boleh dianggap sebagai sumber maklumat, tetapi harus menjadi denyut nadi dan suara kehidupan khalayaknya, iaitu rakyat yang telah memilih kerajaan. Media arus perdana tidak boleh semata-mata menyogok bahan-bahan yang meniup kelemahan kerajaan kerana, ia harus bersikap telus, terbuka, tegas dan memastikan setiap kelemahan yang wujud dapat dibaiki.

Tindakan melindungi kelemahan akan meletakkan kerajaan dalam kedudukan tidak proaktif terhadap kekurangan yang ada pada dirinya. Jika ini berlaku, kerajaan juga tidak akan dapat melarikan diri daripada pemerhatian rakyat memandangkan sumber maklumat kini lebih terbuka dan pelbagai. Sudah tentu rakyat yang kecewa akan melakukan tindakan atau membuat pilihan yang akan mewrugikan pihak kerajaan.

Sewajarnya, media arus perdana memainkan peranan peranan lebih aktif dalam menyampaikan keresahan nurani rakyat, tetapi perlu mengambil kira pesanan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa keharmonian dan hubungan dalam masyarakat negerai ini perlu diutama dan dipelihara.

Malah jangka masa selepas pilihanraya inilah perlu digunakan untuk membaiki hubungan antara masyarakat yang berpecah mengikut fahaman parti masing-masing menjelang dan semasa pilihanraya. Usaha dan tanggungjawab ini perlu ditegaskan lagi dengan membentuk pemikiran masyarakat supaya lebih terbuka dan senang menerima antara satu dengan lain tanpa mengira fahaman politik.

Pengamal media tidak seharusnya perlu rasa terikat pada tanggungjawab kepada kerajaan semata-mata, kerana rakyat kebanyakan masih ramai yang memerlukan saluran untuk mereka tampil ke depan kerajaan dan menyampaikan suara dan pandangan mereka. Dalam hal ini, inspirasi dan hasrat rakyat perlu diketengahkan, dan pada masa yang sama, kepentingan mereka tidak boleh diabaikan sama sekali.

Sebagai misalannya, media arus perdana perlu menjadi pengkritik yang baik dan bernas kepada segala bentuk kepincangan dan membaiki setiap kelemahan dan kekurangan dalam kerajaan. Pada masa yang sama, kerajaan atau agensinya tidak pula cepat melenting atau merasa mereka diaibkan apabila kelemahan mereka ditonjolkan oleh pihak media. Ini kerana hasrat dan tindakan media arus perdana bukan bertujuan memberi malu.

Oleh itu media tidak boleh dopersalahkan apabila mereka memaparkan sesuatu kepincangan kerana hakikatnya ia adalah demi kepentingan umum. Misalnya, peranan yang dimainkan oleh media tempatan berhubung isu perjudian haram dipusat-pusat permainan merupakan langkah baik dalam membantu negara menbendung gejala sosial, khususnya di kalangan anak-anak muda.

Tumpuan media dalam isu tersebut membuktikan tindakan memaparkan isu ini amat bertepatan. Ini disebabkan sekian lama, kegiatan seperti ini seolah-olah mendapat restu sehingga slot mesin judi berleluasa. Amat malang pula kebanyakan pengunjung pusat permainan seperti ini terdiri daripada golongan belia.

Pendedahan demi pendedahan menunjukkan slot permainan video ini merupakan barah di dalam masyarakat negara ini kerana wujudnya kilang-kilang haram yang mengeluarkan slot mesin judi ini, malah kadar rampasan yang dilakukan oleh beberapa pihak berkuasa tempatan menunjukkan ia berada pada paras yang serius.

Malah kesungguhan media dan keazaman pimpinan politik telah membentuk suatu kuasa baru kepada kerajaan untuk bertindak tegas dalam membasmi gejala tersebut, selepas ia sebenarnya telah lama berakar-umbi. Pada era teknologi maklumat, media arus perdana akan kerugian dan ketinggalan jika mengabaikan kepentingan dan perjuangan rakyat.

Sudah tentu, masyarakat akan beralih memilih media yang sentiasa mendampingi dan mendenngar persoalan kehidupan dan rintihan mereka. Suara rakyat yang disampaikan melalui media sebenarnya boleh menjadi maklum balas yang berguna memandangkan peranannya sebagai penyalur suara popular yang paling berkesan.

Sudah tentu konsep akhbar dan televisyen yang membuat tinjauan rambang berhubung sesuatu perkara atau isu merupakan cara terbaik untuk menyampaikan isi hati mereka kepada kerajaan atau pihak berwajib. Akhbar dan televisyen juga tidak seharusnya terikat dengan kepentingan komersial semata-mata dalam pemilihan bahan beritanya. Ini kerana, tidak dinafikan pengaruh dan hasrat berlumba-lumba mendapatkan iklan di dalam ruangan akhbar atau slot tayangan telah mempengaruhi keputusan dan penyaringan berita.

Tidak dapat disangkal lagi sesetengah syarikat berpengaruh yang mempunyai kepentingan perniagaan yang membabitkan hak pengguna dan orang ramai menggunakan pengaruh pelangganan ruangan iklan bagi menyekat sesuatu bahan berita daripada disiarkan. Hakikatnya, ini merupakan suatu kepincangan dan tindakan media menyiarkan sesuatu yang mungkin memperlihatkan unsur negatif tidak boleh ditafsirkan sebagai usaha memburuk-burukkan atau menjatuhkan maruah.

Ia perlu dilihat daripada sudut positif dan dilihat dalam hubungan atau ruang lingkup yang lebih luas demi kebaikan bersama. Malangnya sekatan seperti ini menyebabkan peranan media menjadi terbatas dan gagal bertindak dengan telus sebagai cermin dan wadah pemikiran dan naluri masyarakat. Dalam usaha Malaysia menjadi negara maju, peranan media tidak boleh diketepikan sama sekali, apatah lagi era teknologi maklumat telah membuka dunia tanpa batas sempadan politik dan geografi.

Ia harus bergerak progresif dan memainkan peranan yang sesuai dalam turut sama membentuk negara Malaysia yang benar-benar dinamik. Sesuai dengan kedudukan sebagai negara membangun, media di negara ini perlu bijak memainkan peranan sebagai wadah informasi kerajaan, perjuangan parti-parti politik dan nadi nurani rakyat mengikut kesuaian keadaan dan keperluan. Ia perlu memiliki idealisme, visi dan dinamismenya sendiri tanpa perlu mengikut apa yang ada di tempat lain, khususnya di Barat.