TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM
"BERSAMA MENGISI KEMENANGAN"
tinta_hijau@hotmail.com

Balu syuhada Memali mahu selesai secara baik

BALING 11 Ogos (Hrkh) - Beberapa orang balu syuhada' Memali meminta pihak yang bersengketa berhubung Tabung Memali supaya berdamai dan kembali hidup dalam suasana harmoni seperti dulunya kerana tindakan memperbesarkan isu ini akan menguntungkan pihak musuh yang sentiasa mencari kesempatan.

Mereka mendakwa apa gunanya berselisih faham sesama sendiri sedangkan masalah ini boleh diatasi denagn mudah apabila diwujudkan orang tengah yang bertindak sebagai penyiasat untuk menyelesaikan masalah yang timbul.

Puan Rakna Che Lit, 48, balu salah seorang syuhada ketika ditemui berkata, pendedahan dalam akhbar bukannya jalan penyelesaian yang baik kerana ianya memberikan berbagai tanggapan kepada masyarakat bahawa tabung yang diwujdkan untuk membantu balu dan keluarga Memali mempunyai agenda yang tidak sihat.

Tambah beliau yang mempunyai enam orang anak, PAS Kawasan Baling wajar menangani isu ini dengan bijak kerena ianya membabitkan sesama ahli PAS yang jika salah langkah akan memecahkan perpaduan di peringkat akar umbi khususnya di peringkat cawangan Kampung Memali.

"Pendekatan yang dibuat oleh salah seorang ahli PAS mengenai penyelewengan Tabung Memali adalah suatu perkara yang serius dan perlu diperbetulkan dengan cara baik bukannya menerusi media musuh yang sentiasa menunggu retak menanti belah di antara ahli PAS," jelasnya.

Mana-mana balu yang terlibat dengan isu ini terangnya, patut sedar dan memupuk semula ukhwah yang baik sesama sendiri.

Seorang lagi balu syuhada', Hajjah Zainab Haji Salleh 74 pula menegaskan kesemua balu kena sedar bahawa penubuhan tabung itu bukannya untuk pembiayaan bulanan sebaliknya ala kadar mengikut keperluan yang diinginkan oleh seseorang balu.

"Jika kita hendakkan kewangan lebih, maka kena cara lain iaitu berusaha mencarinya dan jangan pula mengharapkan sumber tabung berkenaan semata-mata. "Jika anak-anak hendak melanjutkan pelajaran ke luar atau dalam negari tabung ini sedia membantu tetapi untuk pembiayaan bulanan, saya sendiri kurang setuju," tegas beliau sambil meminta pihak yang bersengketa kembali bersama satukan jamaah.