Make your own free website on Tripod.com
HARGA MINYAK - ALASAN DAIM LEMAH

          Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin menyeru supaya rakyat jangan bimbang dengan kenaikan harga
          minyak yang dicadangkan oleh Kerajaan, kerana mengikut jangkaannya harga minyak antarabangsa akan
          turun tahun depan. Yang menjadi soal ialah: adakah apabila harga minyak di pasaran dunia turun, maka
          harga minyak untuk pengguna-pengguna di Malaysia akan diturunkan kembali? Kami percaya ini tidak
          akan berlaku.

          Kami tidak faham mengapa, apabila harga minyak di pasaran dunia berkali-kali jatuh sehingga lebih
          separuh daripada harga yang agak tinggi sekarang, tidak pernah ada langkah untuk menurunkan harga
          minyak untuk pengguna-pengguna di negeri ini. Mengapakah apabila harga di pasaran dunia naik tinggi,
          itu dijadikan alasan untuk menaikkan harga di pasaran tempatan pula?

          Daim berkata minyak dalam negeri akan dinaikkan untuk mengurangkan subsidi yang terpaksa dibayar
          oleh kerajaan. Mengapakah Daim membuat heboh tentang subsidi minyak ini, pada hal ia membantu
          meringankan beban ke atas ramai rakyat dan membantu mengawal kenaikan harga barang? Selama ini
          kerajaan mengeluarkan berbilion-bilion untuk menyelamatkan beberapa kerat tokoh korporat besar yang
          menghadapi masalah kewangan.

          Lihat saja, sebagai contoh, bagaimana wang PETRONAS digunakan untuk menyelamatkan syarikat Mirzan
          Mahathir dan wang Danaharta digunakan untuk menyelamatkan syarikat Tan Seri Halim Saad. Bukankah
          ini seperti subsidi juga kepada mereka? Sejumlah lebih daripada RM4.2 bilion digunakan untuk
          menyelamatkan mereka. Jumlah ini lebih daripada RM3.2 bilion untuk membayar subsidi petrol tahun ini.
          Daim dan para pemimpin BN yang lain mesti menunjukkan perspektif yang seimbang.

          Satu lagi perkara penting, yang telah berulang kali kami sebutkan ialah mengenai nilai bersih PETRONAS.
          Jumlah nilai bersih PETRONAS, berasaskan penghasilan minyak sejak tahun 1975, dianggarkan melebihi
          RM250 bilion. Akan tetapi, mengikut angka rasmi, nilai bersih itu pada masa ini hanya sebanyak RM45.6
          bilion saja? Ke manakah lesapnya baki lebih kurang RM200 bilion itu? Berapa banyak dibelanjakan untuk
          projek-projek mega? Berapa banyak untuk menyelamatkan kroni-kroni. Adakah apa-apa yang
          dibelanjakan sebagai subsidi minyak? Kami meminta Daim menjelaskan perkara ini.

          Akhir sekali, Daim menyatakan bahawa orang asing dari negara tetangga mendapat untung daripada
          subsidi ini apabila mereka membeli minyak daripada stesen-stesen di negeri ini. Perkara ini mudah saja
          dikawal, jikalau diadakan peraturan untuk menyekat pembelian minyak oleh orang asing ini. Kerajaan
          Singapura boleh menghadkan banyak mana minyak yang boleh dibeli oleh rakyatnya dari Johor Bahru.
          Mengapakah kita tidak boleh menghadkan kuantiti minyak yang boleh dibeli oleh rakyat Thai, misalannya,
          dari stesen-stesen minyak di negeri-negeri yang bersempadan dengan Thailand? Daim mesti berhenti
          memberi alasan-alasan lemah.

          Dr Syed Husin Ali
          Presiden PRM
          25hb September 2000