Turunkan kadar kemiskinan

Kuala Terengganu: Jabatan Kebajikan Masyarakat diminta menurunkan kadar kemiskinan Terengganu dengan memberi penekanan kepada program jaya diri supaya imej ‘Negeri Kaya Rakyat Miskin’ dihapuskan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan dan Alam Sekitar Negeri, Haji Wan Abdul Muttalib Embong, berkata Kerajaan tidak mahu graf kadar kemiskinan semakin bertambah setiap tahun tetapi usaha positif perlu dibuat ke arah menghapuskannya.

Katanya kerajaan tidak mahu penerima bantuan terus diberi bantuan kebajikan tetapi perubahan masih tidak berlaku.

Beliau berkata demikian dalam satu majlis di sini baru-baru ini.

Kerajaan juga melahirkan rasa dukacita kerana ada golongan masyarakat berada, menggalakkan ibu bapa mereka memohon bantuan kebajikan sedangkan mereka mampu menyara hidup warga tua itu.

"Ada warga tua memakai gelang emas sehingga sekerat lengan tetapi masih menerima bantuan kebajikan. Ini suatu perkara yang tidak kena," katanya.

Mereka berkenaan harus diberi kesedaran dan jika mereka tidak mahu bertanggungjawab kepada warga tua, letakkan ibu bapa di rumah orang tua untuk jabatan bertanggungjawab sepenuhnya kepada golongan itu.

Beliau juga mengharapkan supaya tiada sebarang campur tangan politik dalam urusan kebajikan.

"Urusan politik serah kepada orang politik manakala pegawai hendaklah melaksanakan tugas apa yang diarah oleh kerajaan,"tegasnya.

Mengikut perangkaan tahun 1999, golongan penerima bantaun am berjumlah 16,016 orang di Terengganu.
 
 

Sumbangan: Urusetia  Penerangan Kerajaan Negeri Terengganu.