MUKTAMAR PAS KALI KE 46
 

KUALA LUMPUR -- Seminggu selepas Umno mengadakan Perhimpunan Agungnya yang ke-54, kini Parti Islam SeMalaysia (PAS) pula bercadang hendak mengadakan muktamar atau perhimpunan besar-besaran yang dijangka dihadiri 200,000 orang minggu depan, menurut laporan semalam. 
Setiausaha Agung parti itu, Encik Nasharuddin Mat Isa, berkata PAS akan mengadakan muktamar selama empat hari di Terengganu mulai 1 Jun ini, demikian akhbar Sunday Star dan New Sunday Times melaporkan. 

Encik Nasharuddin berkata, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, dan Menteri Besar Terengganu, Ustaz Abdul Hadi Awang, dijangka turut memberi ucapan. 

Semasa perhimpunan agung Umno minggu lalu, Dr Mahathir dan pemimpin Umno yang lain menyatakan PAS cuba menggunakan Islam sebagai alat untuk memecahbelahkan umat Islam. 

PAS sebaliknya menuduh kerajaan pusat meninggalkan ajaran Islam yang sebenar dalam mengejar pemodenan. 

Ia menuduh Dr Mahathir menggunakan kuasanya untuk mendakwa para penentang beliau dan pemimpin pembangkang. 

Menurut Encik Nasharuddin, muktamar PAS itu akan membincangkan pindaan kepada perlembagaan parti dan membangkitkan pelbagai isu, termasuk usul Umno minggu lalu hendak memaksa PAS menggugurkan perkataan 'Islam' daripada digunakan sebagai nama partinya. 

"Kami dimaklumkan bahawa usul serupa itu dibangkitkan oleh anggota Umno semasa perhimpunan agung mereka baru-baru ini. 

"Kami memandang berat niat mereka itu," kata Haji Abdul Hadi Awang, ditukil sebagai berkata oleh akhbar New Straits Times semalam. 

Encik Nasharuddin berkata muktamar tersebut yang akan dilangsungkan di Stadium Tertutup Darul Iman, akan dirasmikan oleh Presiden PAS, Datuk Haji Fadzil Noor. 

Para diplomat dari beberapa negara asing termasuk Amerika, Perancis, Singapura, Bangladesh dan Iran, dilaporkan telah mengesahkan kehadiran masing-masing. -- AP, NST.