TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN BERSAMA ISLAM
"BERSAMA MENGISI KEMENANGAN"
tinta_hijau@hotmail.com

Kenyataan akhbar Ketua Dewan Muslimah PAS Pusat menjawab cabaran Naib Ketua Wanita Umno

Muslimat PAS sedia berdebat dengan Shahrizat

SAYA menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang telah dilemparkan oleh Naib Ketua Wanita Umno Kebangsaan, Dato' Shahrizat Abd Jalil seperti yang telah disiarkan oleh sebuah akhbar harian berbahasa Melayu pada 29 Julai lalu kononnya beliau taksub pada pemimpin. Dalam akhbar berkenaan, Dato' shahrizat telah menuduh Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, sebagai taksub pada pimpinan PAS yang lain, khususnya dalam isu tidak membenarkan wanita menyertai tilawah al-Quran.

Adalah tidak timbul soal takut atau taksub pada pimimpin, apa lagi PAS tidak pernah mengeluarkan fatwa yang menyatakan suara wanita itu haram dalam semua segi. 'Cuma apa yang jelas PAS yang menjadikan Islam sebagai paradigma tertinggi meletakkan suara wanita yang digunakan untuk menyanyi, menghibur atau menarik perhatian peminat itu sebagai haram, berdasarkan kepada matlamatnya atau niatnya. Berdasarkan kepada kaedah-kaedah usul fiqh juga niat yang baik tidak sekali-kali menghalalkan cara yang ternyata salah.

Pemberian markah dalam tilawah al-Quran akan melihat kepada kecantikan dan kemantapan suara qari atau qariahnya. Apabila suara wanita menjadi ukuran maka, secara tidak langsung ianya tidak berbeza dengan penyanyi-penyanyi wanita yang memperdagangkan suaranya untuk tujuan menang atau menaikkan pemarkahan, dan bukan lagi semata-mata untuk menyampaikan ajaran yang terkandung dalam setiap ayat al-Quran yang dibacakan itu.

Pembacaan al-Quran dikhalayak ramai merupakan suatu usaha terpuji, tetapi bukanlah untuk tujuan pertandingan. Tilawah al-Quran telah lama dianjurkan di negara kita, bagaimanapun, adakah kita lihat menerusi usaha ini penghayatan terhadap al-Quran dapat dipertingkatkan?. Al Quran tidak lebih hanya dijadikan bahan pertandingan dan juga untuk tujuan urusan-urusan rasmi bagi satu-satu acara kebangsaan seperti doa dan seumpamanya.

Sehubungan itu, Dewan Muslimat PAS Pusat, menyokong penuh keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu dalam soal ini. PAS di bawah kepimpinan ulamak yang cukup praktikal dalam ilmunya, bukan setakat tahu berbicara dan mengeluarkan fatwa, tetapi tidak miskin di sudut pengamalan dan pelaksanaan.

Bukan seperti mana ulamak-ulamak Umno yang berkepentingan sehingga kenyataan pemimpin mereka yang jelas menghina hukum Islam, tidak pernah mereka persoalkan, apatah lagi menegurnya. Kita dapat melihat corak dan gaya kepimpinan PAS di bawah para ulamak seperti Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat telah berjaya membawa contoh dalam praktikal kepimpinan dan pemerintahannya sepertimana yang telah diwariskan oleh baginda Rasulullah Saw dan para khulafa ar-rashidin.

Oleh sebab itulah, kita yakin kepada kepimpinan PAS berbeza dengan kepimpinan Umno yang amat jauh daripada suri teladan pemerintahan yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah saw. Paling ketara ialah kewajipan penutupan aurat di kalangan wanita Islam. Apa jadi pada wanita Umno yang majoritinya tidak menutup aurat sebagaimana yang disyariatkan, sedangkan telah jelas ianya telah digazetkan dalam al-Quran bahawa aurat wanita itu adalah sepertimana aruat mereka dalam sembahyang, iaitu hanya muka dan tapak tangan sahaja.

Mengapa wanita-wanita Umno boleh menutup aurat depan Kaabah ketika mengerjakan haji atau umrah, tetapi kemudiannya di luar kawasan tersebut mereka boleh bertindak sebaliknya. Mereka (wanita Umno) boleh berbohong pada manusia yang jahil akan hukum Allah, tetapi tidak bagi mereka yang celik dan berakal. Usah berbicara pada perkara-perkara furu' (cabang) dan khilaf, seandainya isu ini sahaja yang cukup besar dan utama, tetapi telah mampu menunjukkan sejauhmana ilmu dan iman yang tersemat di dada wanita Umno.

Jangan berani bicara tentang hukum kalau diri sendiri dangkal bahkan jahil dengan hukum dan kaedah-kaedah fiqh. Shahrizat sekali lagi diingatkan agar lebih peka dengan masalah remaja dan belia-belia di kawasannya (Bangsar), yang terbukti rosak akhlaknya berdasarkan kepada peristiwa memalukan yang terjadi semasa perayaan menjelang alaf abab ke-21. Pada waktu itu anak-anak muda ghairah berpesta maksiat, minum arak, bersekedudukan dan macam-macam lagi yang ternyata menyemai perilaku jahiliah yang sebenarnya.

Saya juga mencabar Shahrizat agar menjelaskan makna sebenar jahiliah yang tergazet dalam al-Quran, sunnah dan sirah Islam di bawah kepimpinan Rasulullah Saw berserta sahabat. Jangan biadab dan celupar menggunakan perkataan jahiliah kalau diri sendiri jahil dalam memahaminya. Shahrizat juga dicabar untuk menunjukkan bukti bahawa PAS membawa wanita ke arah jahiliah. Saya juga sanggup untuk menerima cabaran debat dengan Shahrizat berkenaan isu ini.

Bagi mencapai hasrat ini, saya meminta Shahrizat mengatur jadual 'Debat Wanita Umno dengan Muslimat PAS' dan muslimat PAS akan turun berdepan, dengan syarat ianya dibuat secara terbuka dan bukannya tertutup. Masa itu kita akan jelaskan mana ketikanya suara menjadi aurat dan mana ketikanya suara wanita menjadi harus dan wajib dalam mempertahankan aqidah tauhid.

Kelantangan dan keberanian Muslimat PAS sudah terserlah melalui Muktamar PAS Ke-46 dan tidak timbul lagi isu taksub dan takut. Yang taksub dan takut ialah Wanita Umno, lihat sahaja ketika mana keputusan Zaharah Sulaiman satu masa dahulu telah dengan mudah diubah oleh Presiden Umno yang sepatutnya membiarkan permasalahan wanita diselesaikan oleh kaum wanita.

Campurtangan ini jelas menunjukkan Umno tidak mengiktiraf keputusan pimpinan tertinggi wanita, manakala Wanita Umno yang lainnya sepi seribu bahasa membiarkan presidennya mengambil alih sementara kuasa Ketua Wanita Umno. Itulah taksub sebenarnya. Berkenaan tuduhan kononnya PAS mempunyai agenda besar, iaitu menguburkan semangat wanita daripada terus maju, ianya adalah satu tuduhan yang langsung tidak mempunyai asas.

Salah sebuah kerajaan negeri yang dikuasi PAS, iaitu Kelantan merupakan sebuah negeri yang mana peranan wanita dalam segenap bidang termasuk pengukuhan ekonomi negeri dan rumahtangga cukup menonjol bahkan diberi pengiktirafan peranan yang cukup penting. Ternyata Shahrizat tidak mempunyai modal untuk menghentam PAS khususnya muslimatnya. Lebih mengelisahkan beliau ialah apabila terbukti generasi muda, majoritinya cenderung untuk memilih bahkan telah pun bersama perjuangan PAS.

Inilah sebenarnya menakutkan mereka. Generasi muda hari ini telah bersama PAS, khususnya DMPP. Dewan Muslimat telah berjaya mentarbiah anak-anak ini ke arah kebenaran, keharmonian dan ketenangan hidup serta menjadikan mereka insan-insan yang berakhlak dengan syaksiah Islam. Tiada yang dapat menghalang iman dan Islam daripada sebati dengan jiwa mereka. PAS juga tidak pernah memaksa mereka. Mereka itu adalah insan cerdik yang suci jiwanya dan mampu membezakan yang mana kaca dan yang mana permata.

Oleh itu, mereka bersama PAS walaupun tidak mengisi borang PAS. Jiwa mereka memang mahukan Islam. Inilah yang benar-benar merisaukan seluruh jentera Umno sehingga mereka saban waktu tidak pernah senang dan tenang. Apatah lagi apabila generasi muda Islam ini tidak mampu dijualbeli dengan wang ringgit dan kekayaan yang melimpah ruah atau pangkat yang ditawarkan kepada mereka. Umno tidak akan mampu membohongi mereka, Insya Allah.

Shahrizat sebenarnya kecewa kerana semasa menerajui jawatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, beliau gagal melahirkan generasi muda yang benar-benar berguna pada negara, apatah lagi yang berakhlak mulia. Mereka hanya mampu melahirkan generasi muda yang lebih bermasaalah. Berjuta-juta wang negara juga telah dibelanjakan melalui projek Rakan Muda, tetapi yang jelas hasilnya tiada, bahkan merugikan, kegagalan ini diakui sendiri oleh Perdana Menteri. Keghairahan Shahrizat dalam menagih sokongan telah mendesaknya untuk mengeluarkan pelbagai kenyataan yang sebenarnya untuk beliau dan Wanita Umno.

DMPP turut menggesa Shahrizat yang juga memegang teraju Hawa agar lebih peka dengan permasalahan yang lebih relevan untuknya. Wanita Umno wajib malu kerana kepimpinan merekalah juga yang antaranya telah melahirkan wanita-wanita yang rendah akhlaknya sepertimana Ning Baizura yang telah tanpa rasa segan dan malu untuk menyatakan sesuatu yang begitu tertentangan dengan Islam dan ciri-ciri budaya ketimuran Malaysia.
Sekian, Terima Kasih.
 

Hormat daripada,
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat,
YB Senator Hajjah Jamilah Ibrahim.