MUZAKARAH JALAN TERBAIK

KUALA TERENGGANU, 11 Mei-- Kerajaan Pas Terengganu meminta supaya diadakan muzakarah dengan Umno bagi menangani masalah perpecahan yang dikatakan berlaku di negeri itu.

Menteri Besar, Haji Abdul Hadi Awang berkata isu perpecahan telah lama ditimbulkan tanpa mengetahui siapa sebenarnya yang betul dan siapa yang salah.

"Perpecahan dikatakan berlaku, (oleh itu) kita perlu adakan muzakarah untuk cari yang benar dan salah...dan ikut mana yang benar tak kira siapa (yang betul)," katanya semasa menggulung titah ucapan Sultan pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini Khamis.

Beliau berkata Pas telah lama meminta untuk mengadakan muzakarah dengan Umno iaitu sejak tahun 80an lagi termasuk mengadakan debat terbuka tetapi semuanya tidak pernah menjadi kenyataan.

Hadi mendakwa Umno menggunakan raja-raja Melayu untuk membatalkan debat terbuka yang dicadangkan itu dengan meminta penyimpan mohor besar Raja-Raja membuat pengumuman pembatalan itu.

Mengenai dakwaan pembangkang bahawa kerajaan negeri tidak merafak sembah kepada Sultan pada perasmian dewan Ahad lepas, beliau berkata hubungan antara kerajaan negeri dan sultan tidak sepatutnya disentuh.

"Kerajaan negeri ingin menjadi golongan yang ikhlas dan menjalinkan hubungan yang sebaiknya dengan sultan," katanya. Abdul Hadi juga berkata tindakan kerajaan negeri melantik beberapa anggota exco memegang jawatan pengerusi dalam beberapa anak syarikat kerajaan negeri bertujuan membetulkan keadaan yang ditinggalkan oleh kerajaan Barisan Nasional terdahulu.

Beliau berkata anggota exco berkenaan tidak mengambil elaun bulanan mereka dan pelantikan itu adalah untuk sementara waktu. "Bila keadaan telah pulih, jawatan berkenaan akan diserahkan kepada mereka yang layak," katanya.

Abdul Hadi bagaimanapun mengakui bahawa Pas mengambil alih sebuah kerajaan yang telah mempunyai kelengkapan prasarana tetapi mempunyai banyak perkara yang terpaksa dibersih dan diperbetulkan.

Persidangan dewan yang bermula Ahad lepas, hari ini berjalan dengan ketiadaan wakil pembangkang yang mengambil cuti kerana menghadiriperhimpunan agung Umno di Kuala Lumpur.

Persidangan dewan kemudian ditangguhkan ke satu tarikh yang belum ditetapkan.