Make your own free website on Tripod.com
PAS sedia bermuzakarah - Mursyidul Am

JELI, 26 Sept  - Muryidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan lagi PAS sedia bermuzakarah dengan mana-mana pihak pada bila-bila masa sahaja, asalkan berpaksi al Quran dan Hadis.

Katanya, PAS sudah lama menghantar surat kepada Umno untuk bermuzakarah, namun tidak pernah mendapat respon positif dari parti itu.

"Bermuzakarah adalah untuk ingat mengingati di antara umat Islam bagi menyelesaikan setiap masalah yang timbul dan bukannya mencari kemenangan," katanya pada ceramah di Chegal Bedil di sini, malam tadi.

Hadir sama di majlis itu, Yang Dipertua PAS Jeli, Ustaz Abdullah Ya'kob; Adun Pergau, Ustaz Razak Abdullah dan Adun Kemahang, Mejar (B) Mohd Anizam Abdul Rahman.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, PAS sudah lama bersedia untuk bermuzakarah, namun pihak yang mencabar PAS tidak berminat merealisasikannya.

Sebelum ini, isu muzakarah dan debat sering ditimbulkan oleh Umno, namun apabila pihak yang dicabar berminat untuk mengadakan, parti itu mencari alasan lain pula mengelaknya.

Pernah suatu ketika dahulu, Umno menggunakan kuasa Yang Dipertuan Agong untuk membatalkan debat yang dijadual berlangsung di antara parti itu dan PAS, di saat-saat akhir.

Minggu ini, isu berkenaan timbul kembali apabila Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan yang baru dilantik Dato' Dr Ismail Ibrahim dikatakan mahu mengundang ulamak PAS menyertai muzakarah untuk membincangkan pelbagai isu kontroversi termasuk isu kafir mengkafir.

Beliau juga berkata, Umno atau Barisan Nasional (BN) begitu takut untuk berdepan dengan PAS dan Barisan Alternatif (BA) sehingga menyekat permit ceramah.

"Umno begitu takut kepada PAS dan BA berdasarkan kepada ceramah yang dianjurkan oleh parti-parti terbabit cuba dihalangnya.

"Sedangkan BN mempunyai pelbagai media termasuk televisyen dan akhbar harian untuk membawa mesej parti tersebut, namun mereka masih lagi takut berdepan dengan ceramah-ceramah BA," katanya.
 

Sumber dari : Harakahdaily