TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM

PEMBANGKANG TENGANGA DI TEMPAT SENDIRI?
Komen TARMIZI MOHD JAM

Penjelasan Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Noh Omar bukanlah perkara penting. Ia merupakan ulangan kepada asakan minda terhadap sikap Umno yang “kununnya” tidak berat sebelah dan “berlaku adil” terhadap parti-parti pembangkang yang memenangi sesuatu kawasan pilihanraya. Ucapan yang demikian itu, sering kali dilafazkan berkali-kali dan bertalu-talu bagi menarik kepercayaan rakyat terhadap “cerita dogeng” pihak kerajaan itu.

“Kerajaan tidak pernah mengamalkan diskriminasi dalam mengagihkan peruntukan untuk pembangunan di setiap kawasan termasuk yang dikuasai pembangkang,” tegas Noh yang terkenal bermulut “celupar” yang kini menjadi “jentolak” Mahathir berdepan dengan pembangkang di Parlimen.

Noh memberitahu Parlimen “kununnya” amalan diskriminasi sebenarnya tidak wujud kerana peruntukan kerajaan tidak diberikan terus kepada wakil rakyat tetapi diberikan mengikut kawasan.  Noh juga menafikan “kununnya” pembangkang ada mendakwa peruntukan itu diagihkan melalui Ketua Umno Bahagian. Bagaimanapun, Noh mengakui bahawa Ketua Umno Bahagian boleh mengemukakan permohonan peruntukan kerajaan bagi mendapatkan projek kecil di kawasan masing-masing.

Noh mungkin menyembunyikan hakikat sebenar “diskriminasi” politik yang dipasungkan kepada YB-YB pembangkang selama ini. Sekalipun mereka dimenangkan oleh rakyat, tetapi hak mereka terus dinafikan. Menafikan hak mereka sebagai YB samalah juga, menafikan hak orang-ramai yang mengangkat mereka menjadi wakil rakyat di sesuatu kawasan. Kerja ini, jelas dilakukan oleh Umno di kawasan yang mereka kalah. Wakil rakyat pembangkang bukan sahaja dilarang menyertai Majlis Mesyuarat Tindakan Daerah, malah terpaksa “melutut” untuk mendapatkan penjelasan berkenaan kemajuan dan pembangunan di kawasan mereka.

Lebih mendukacitakan, wakil rakyat pembangkang terpaksa “merangkak” menemui Pegawai Daerah bagi mengemukakan “rungutan” orang-ramai berkenaan sesuatu isu atau permintaan untuk mendapatkan sesuatu projek pembangunan. Ini amat menyedihkan dan tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. YB pembangkang tidak ubah seperti “melukut di tepi gantang” dalam mendapatkan kerjasama dari Pejabat Daerah.

Malah yang lebih lucu lagi, surat pekeliling dikeluarkan oleh agensi-agensi kerajaan terbabit yang melarang mengundang mana-mana wakil rakyat pembangkang dari merasmikan apa-apa program termasuklah aktiviti PIBG, persatuan beliau, pertubuhan peladang dan aktiviti-aktiviti lain yang melibatkan orang-ramai. Pada masa yang sama, sekolah, PIBG dan lain-lain pertubuhan atau orang-ramai digalakkan pula meminta sumbangan derma dari wakil-wakil rakyat pembangkang ini. Ia tidak ubah, seperti satu penderaan mental yang diperkenalkan oleh Umno, bagi menyisihkan YB-YB pembangkang ini dari arus perdana masyarakat.
Seperti di Perlis, Kedah, Perak, Selangor dan Pahang, wakil rakyat pembangkang ternyata dipinggirkan dari mengikuti perkembangan kemajuan di kawasan mereka. YB-YB ini terpaksa menjalinkan hubungan “belakang tabir” dengan pegawai-pegawai kerajaan di Pejabat Daerah bagi mendapatkan maklumat berkenaan kemajuan di daerah tersebut. Itupun jika, pegawai-pegawai berkenaan, mereka yang bersimpati dengan Barisan Alternatif. Tetapi, hakikatnya, hampir ke semua pegawai adalah penyokong setia kerajaan dan ahli Umno, yang sudah tentu menyimpan pelbagai rahsia kemajuan dan pembangunan kawasan terbabit. Malah mereka juga ada “saham” dengan pemimpin Umno Bahagian dalam pengagihan projek dalam daerah berkenaan.

Kenyataan Noh yang mengesahkan, Ketua Umno Bahagian boleh juga mengemukakan permohonan untuk mendapatkan projek kecil adalah bukti penguasaan Umno di Pejabat Daerah. Hal demikian bukanlah rahsia lagi. Semua kawasan yang dimenangi pembangkang, Umno Bahagian berkenaanlah yang menguasai perjalanan pembangunan dan kemajuan di sesuatu kawasan Parlimen. Umno Bahagian itulah yang mencorakkan bangunan dan pembangunannya.

Mereka, walaupun kalah di tangan pembangkang tetapi terus mendapat layanan istimewa dari Pejabat Daerah atau kerajaan negeri. Pemimpin Umno Bahagian terus dilantik menjadi Ahli Majlis Daerah, yang banyak menentukan pelbagai projek dan pembangunan di kawasan berkenaan. Sekalipun peruntukan kerajaan disalurkan melalui Pejabat Daerah, ini tidak bermakna, pembangkang dapat mencorakkan pembangunan dan kemajuan dalam kawasan parlimen mereka.

Malah, entah tahu entahkan tidak YB pembangkang ini; berapa jumlah peruntukan yang dilonggokkan di kawasan  berkenaan. Hakikat ini, lebih sulit lagi untuk mengetahui jumlah yang dipunggah oleh Umno Bahagian dari sejumlah peruntukan tadi. Komisyen dari pelbagai projek inilah yang telah membukitkan kekayaan para pemimpin Umno Bahagian, malah Ketua-Ketua Kampung juga turut berubah kehidupannya secara mendadak. Inilah punca politik wang dalam Umno dan inilah amalan yang membuka lebar “gejala rasuah” di Pejabat Daerah.

Melalui budaya ini, Umno terus mendominasikan peruntukan itu melalui pengagihan projek yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah. Sama ada melalui tender terbuka  atau tertutup, walaupun banyak melalui “saranan” pemimpin Umno Bahagian. Beberapa peratus hasil projek berkenaan, lazimnya akan dicampakkan ke dalam kantung Umno dan amalan ini berterusan hingga ke hari ini. Mereka khuatir, penyertaan wakil-wakil rakyat pembangkang dalam Majlis Tindakan Daerah, akan menyulitkan kerja-kerja “melobi” bagi mendapatkan projek dan soal ketelusan akan menjadi isu “panas” yang akan dimainkan.

Selagi pembangkang tidak menguasai kerajaan negeri atau pusat, maka selagi itulah “diskriminasi” ini akan terus berlaku. Maka selagi itulah juga, hak rakyat dinafikan dalam bentuk yang sukar difahami oleh rakyat sendiri. Namun begitu, kalah atau menang, Umno di sesuatu kawasan parlimen atau Dun, tetap merasa “mewah” kerana tiada sekatan dan halangan dipasung ke atas mereka. Berbanding wakil rakyat pembangkang, kemenangan tidak menjanjikan apa-apa keuntungan peribadi melainkan terpaksa “mengikat perut” dalam menjalankan tugas-tigas sebagai wakil rakyat.

Masyarakat kampung terutamanya, tidak dapat dapat “menilai” dan “membezakan” antara wakil pembangkang dengan wakil kerajaan, yang menjadi wakil rakyat. Kehendak mereka, sungutan mereka, permintaan mereka, adalah sama dan serupa. Hal ini, amat menyulitkan YB-YB ini dalam menghubungkan diri dengan rakyat. Duit elaun yang diterima setiap bulan, habis digunakan kira-kira 10 hari selepas ianya diterima. Semuanya ini, untuk membantu masyarakat secara peribadi disamping membantu parti yang terbukti miskin dan dhaif.

Jadi tidak hairanlah, kalau ada YB pembangkang, yang terpaksa berhutang dan belajar berhutang  akibat menang dalam pilihanraya lalu. Akhirnya, YB pembangkang ini ternganga di kawasan sendiri!