HADI AKUI TERDAPAT PENYOKONG PAS
 BERTINDAK SENDIRI
 
 KUALA TERENGGANU, 8 Mac -- -- Menteri
 Besar, Haji Abdul Hadi Awang hari ini berkata
 terdapat segelintir penyokong Pas yang bertindak
 sendiri untuk mengambil alih pentadbiran surau dan
 balai raya di negeri ini.

 "Terdapat penyokong Pas yang bertindak sendirian
 termasuk cuba mengambil alih balai-balai raya dan
 masjid serta memecat ketua-ketua kampung,"
 katanya ketika menjawab soalan pada pertemuan
 dengan kakitangan kerajaan peringkat daerah Kuala
 Terengganu di sini petang ini.

 Beliau berkata kerajaan negeri berjanji untuk
 menangani perkara itu secara adil dan mengekalkan
 imam, bilal serta ketua-ketua kampung yang boleh
 bekerja.

 Abdul Hadi turut meminta penyokong parti itu supaya
 bersabar dan bertindak mengikut peraturan kerana
 menjadi tanggungjawab semua pihak untuk
 mewujudkan keamanan dan keharmonian.

 Pemecatan Imam dan bilal serta tindakan penyokong
 Pas tidak membenarkan penggunaan balai raya untuk
 kelas tadika Kemas dilaporkan berlaku apabila Pas
 mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri
 selepas memenangi pilihan raya November lepas.

 Ketika menjawab pertanyaan berhubung pemilikan
 tanah, Abdul Hadi berkata kerajaan memberi jaminan
 akan mengatasi masalah pemilikan tanah oleh rakyat
 di negeri ini terutamanya bagi mendirikan rumah
 kediaman dan menjalankan aktiviti pertanian.

 Beliau berkata arahan telah dikeluarkan kepada
 pegawai berkenaan supaya mengkaji keperluan tanah
 untuk rakyat di seluruh negeri ini sebelum sebarang
 keputusan diambil mengenainya.

 "Yang menjadi masalah kepada kita, walaupun
 keputusan belum dibuat, rakyat dah mula meneroka
 membuka tanah kerajaan tanpa kebenaran," katanya.
 

 Abdul Hadi turut memberi jaminan akan membuka
 semula permohonan tanah kepada rakyat apabila
 tiba masanya dan meminta mereka bersabar dan
 memberi masa kepada kerajaan negeri untuk
 menguruskan perkara itu.

 Beliau berkata kerajaan negeri sedang merangka
 pelan penyusunan semula bagi kawasan kediaman
 rakyat agar ia turut menyediakan kemudahan lain
 termasuk industri, pertanian dan pendidikan yang
 turut memberikan peluang pekerjaan kepada mereka.