TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM
"BERSAMA MENGISI KEMENANGAN"
tinta_hijau@hotmail.com

MENGAPA TAKUT PASTI DAN TASKI


     Satu isu yang cukup menarik perhatian rakyat Malaysia selepas isu keputusan mahkamah ke atas Anwar Ibrahim
     ialah isu pendidikan pra-sekolah.Kerajaan melalui KEMAS dan Jabatan Perpaduan telah sekian lama
     menyediakan perkhidmatan pendidikan pra-sekolah atau lebih dikenali dengan Taman Bimbingan Kanak-kanak
     yang dulu dikenali sebagai Taman Didikan kanak-kanak.

     KEMAS yang mempunyai pelajar lebih  200,000 orang diseluruh Malaysia merupakan usaha kerajaan bagi
     mendidik rakyat dengan acuannya sendiri sejak dari peringkat kanak-kanak lagi. Yuran bulanan serendah RM
     12.00 sudah pasti dapat menarik ibu-bapa yang berpendapatan rendah bagi menghantar anak mereka ke Tabika
     KEMAS.

     Tetapi semenjak kewujudan Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (TASKI) milik Angkatan Belia Islam Malaysia
     dan PASTI milik parti PAS, Tabika KEMAS semakin kurang mendapat sambutan terutama di bandar-bandar
     besar bahkan telah merebak ke kampung-kampung di seluruh Malaysia.

     Mengapa baru kini kerajaan sibuk memantau kegiatan TASKI dan PASTI. Adakah Tabika KEMAS dan Tadika
     Perpaduan sudah banyak ditutup kerana tidak lagi mendapat sambutan di kalangan masyarakat? Kerajaan
     membelanjakan berjuta-juta ringgit bagi melatih guru-gurunya bagaimana cara mendidik kanak-kanak. Sudah
     tentu penutupan Tabika KEMAS dan Tadika Perpaduan merupakan satu kerugian bagi kerajaan kerana itu
     petanda rakyat sudah tidak suka dengan cara dan sajian lama tabika-tabika di bawah kelolaannya.

     Pada bulan lalu sidang parlimen hangat membincangkan tentang kewujudan TASKI dan PASTI. Usaha yang
     sedang dilakukan sekarang ialah membekukan kelulusan pendaftaran Tadika Islam sehingga terdapat banyak
     tadika Islam yang telah beroperasi sehingga 6 atau 7 tahun tetapi masih belum mendapat kelulusan  meskipun
     syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan telah dipenuhi.

     Maklumat terkini yang telah tersebar ialah TASKI yang dahulu dibawah pentadbiran Angkatan Belia Islam kini
     terpaksa melantik sebuah syarikat bagi menyelaraskan kegiatan tadika-tadikanya. Langkah awal yang telah
     diambil oleh ABIM sebelum kerajaan menggubal undang-undang bahawa organisasi atau NGO tidak dibenarkan
     menubuhkan tadika Islam. Alasan yang tidak relevan dibentangkan oleh seorang ahli parlimen BN dari Sepang
     menyebut bahawa kerajaan perlu mengharamkan PASTI  dan TASKI kerana guru-gurunya mendidik anak murid
     bencikan kerajaan. Ini adalah satu tuduhan yang tidak berasas kerana YB tidak memberikan bukti kukuh tentang
     kejadian guru mengajar anak murid anti kerajaan.

     Sedarkah YB bahawa guru KEMAS juga ramai yang anti kerajaan kerana kerajaan mengamalkan rasuah,
     nepotisme dan kronisme.Terutama dalam menentukan buku kerja dan peralatan yang perlu dibeli oleh
     kanak-kanak dari serendah RM40.00  enam tahun yang lalu kepada lebih RM 100.00 untuk setiap kanak-kanak
     kini. Guru-guru mendapat kritikan hebat dari ibu bapa kerana ada buku kerja dan peralatan yang tidak perlu
     terpaksa dibeli kerana ia adalah arahan dari pihak atasan.

     Tadika KEMAS yang sedang berusaha sedaya upaya mempertahankan kegiatannya telah mengubah kurikulum
     bagi tujuan bersaing dengan TASKI dan PASTI yang banyak memberikan pendidikan Islam melalui cara
     berpakaian yang menutup aurat, membaca doa , nasyid dan mengaji Al-Quran. Tindakan KEMAS mengubah
     kurikulum sehingga mewajibkan kanak-kanak mempelajari bahasa arab peringkat sekolah rendah sedangkan
     kanak-kanak masih belum boleh membaca dengan baik adalah kemuncak krisis tadika KEMAS. Kanak-kanak
     juga diwajibkan menghafal surah-surah pendek  melalui program NURI yang ternyata gagal dan kerajaan
     terpaksa menanggung kerugian berjuta-juta ringgit.

     Apakah kegagalan ini yang menyebabkan kerajaan menuding jari kepada TASKI dan PASTI yang mempunyai
     rekod pencapaian kanak-kanak yang cukup membanggakan sehingga kanak-kanak dapat mengamalkan hidup
     berlandaskan Al-Quran dan Sunnah. Membaca doa bukan lagi menjadi satu kesulitan bagi kanak-kanak lepasan
     TASKI dan PASTI. Akhlak yang mulia sentiasa diterapkan kepada kanak-kanak melalui guru yang berakhlak
     dan mempunyai fikrah Islam.

     Sepatutnya kerajaan berterima kasih kepada ABIM dan PAS kerana berjaya membantu pihak kerajaan mendidik
     kanak-kanak supaya berakhlak mulia.Apakah pengharaman ini nanti membuktikan bahawa kerajaan BN
     sebenarnya takut untuk menghadapi  kebangkitan Islam di Malaysia? Mengharamkan serta membekukan
     kelulusan tadika Islam bukan jalan yang terbaik jika kerajaan masih mahu menagih sokongan rakyat yang semakin
     hari semakin berkurangan. Cukuplah kerajaan BN mencipta permusuhan dengan institusi ulama,  guru-guru,
     golongan profesional, peguam-peguan dan kini institusi pendidikan kanak-kanak pula.

     Jika kerajaan meneruskan juga hasrat mengharamkan tadika Islam, terimalah padahnya nanti kerana rakyat
     sekarang celik maklumat dan berfikiran tinggi bukan seperti rakyat zaman tahun 50an. Rakyat mahukan
     perubahan dalam sistem pendidikan. Rakyat jemu dengan dasar pendidikan BN yang lebih mementingkan
     pencapaian akademik tanpa mementingkan pencapaian akhlak dan rohani pelajar. Kita perlukan reformasi
     pendidikan.Jika KEMAS masih gagal mengendalikan tabikanya usah bermimpi untuk mengambil alih pentadbiran
     Sekolah Agama Rakyat (KAFA)

     Salman Khan Malaysia

     Laman Media Jebat 2020