Umno atur strategi untuk saingi pengaruh
      Mimbar' PAS
 PERANG politik agama kian membara antara Umno dengan Parti Islam (PAS)  untuk meraih sokongan penduduk majoriti Melayu di Malaysia.   Kempen perang saraf kali ini melibatkan isu fatwa.
                     Kerajaan campuran Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi oleh Umno  minggu lalu mengugut untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap PAS  jika parti pembangkang itu terus mengeluarkan fatwa yang menjanjikan
 ganjaran syurga bagi penyokongnya dan neraka tempatnya bagi              penentang.  Alasan BN dan Umno ialah fatwa sedemikian menjejas akidah dan menyalahi  undang-undang agama negeri yang tertakluk di bawah kuasa Sultan atau Raja. 

                      Datuk Dr Abdul Hamid Othman, Menteri Bertangggungjawab bagi Ehwal   Agama, memberi amaran bahawa tindakan tegas akan terpaksa diambil jika  siasatan mendapati fatwa PAS bercanggah dengan ajaran Islam. 
                      "Kita ada bukti dan banyak lagi sedang dikumpul sebelum mengambil   tindakan," ujarnya. 
  Bagaimanapun, Yang Dipertua PAS, Haji Fadzil Noor, menafikan partinya
 mengeluarkan fatwa. 
   Sebaliknya, beliau menasihatkan Umno agar tidak membuat kesimpulan
   mudah bahawa setiap kenyataan pemimpin PAS berupa fatwa. 

                      "Kita tidak lakukan sebarang kesalahan... Malah pemimpin Umno yang acap kali menyalahguna Islam dalam banyak kenyataan mereka," tegasnya. 
   Perkembangan terbaru itu menyusuli pendedahan Perdana Menteri, Datuk
 Seri Dr Mahathir Mohamad, bahawa Umno sedia membuktikan fatwa yang
  dikeluarkan oleh PAS adalah anti-Islam. 
           Sewaktu pilihan raya umum Malaysia dalam November lalu, PAS telah
 menncatat pencapaian cemerlang untuk muncul sebagai parti pembangkang
 utama.  Ia telah berjaya mengikis sokongan besar Umno di kalangan pengundi  Melayu di negeri-negeri utara dan pantai timur Semenanjung untuk kekal  berkuasa di Kelantan dan menawan Terengganu. 
       Sesetengah pemimpin Umno sendiri mengakui bahawa parti mereka perlu
 menyemak strategi untuk memenangi semula sokongan Melayu dari PAS. 
 Sebelum ini, Dr Mahathir sering menuduh PAS sengaja memesong ajaran
  Islam untuk kepentingan politik. 
             Antaranya ialah menggunakan tadika untuk menyemai sentimen membenci  pemimpin kerajaan.    Menguasai semula masjid daripada pengaruh PAS dan mencegah kempen    membenci kerajaan yang dilancarkan oleh ulama tertentu kini disenarai  sebagai agenda utama kerajaan. 

                      Umno dipercayai tiada banyak pilihan, kecuali terpaksa berbuat demikian. PAS meraih manfaat terbesar angkara pemecatan dan penahanan mantan  Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dianggap oleh   majoriti orang Melayu sebagai tindakan keterlaluan oleh Umno. 
      Hinggakan sesetengah masjid sekitar Kuala Lumpur dilaporkan kerap
  menyampaikan khutbah Jumaat mengutuk pelbagai penyelewengan
   pemimpin Umno, termasuk menggelar Dr Mahathir 'Mahafiraun'.                   Kini, beberapa kerajaan negeri berura-ura mengetatkan peraturan bagi
 perlantikan jawatankuasa masjid dan memecat imam-imam yang disyaki
  menggunakan kedudukan mereka untuk tujuan politik. 
                      Kebanyakan masjid di Malaysia dibina dan dibiayai oleh kerajaan negeri dan  dimestikan menyampaikan khutbah Jumaat yang disiapkan oleh jabatan     agama masing-masing. 
                      Bukan perkara baru mengaitkan masjid dengan politik. 
 'Politik mimbar' kini mula mendedahkan jurang perbezaan nyata antara
 Umno dengan PAS berkaitan Islam. 
 Keadaan ini pernah tegang dalam 1996 selepas Dr Mahathir mengecam
  hebat golongan ulama kerana tafsiran sempit mereka mengenai Islam. 
 Apa yang baru kali ini ialah isu tersebut semakin menggugat teras
 sokongan Umno di kalangan orang Melayu. 
                      Sejak kebelakangan ini, kewibawaan agama pemimpin Umno mendapat perhatian rapi.    Menteri Luar, Datuk Syed Hamid Albar, yang juga anggota Majlis Tertinggi  Umno, meletakkan sebahagian kesalahan ke atas parti itu sendiri bagi meningkatnya profil PAS di masjid-masjid. 
               Menurutnya, sesetengah ahli politik Umno kurang mendekati kegiatan
   masjid dan masyarakat akar umbi Melayu.      Sedangkan PAS pula rajin menganjur pelbagai program Islam mulai dari peringkat tadika. 

                      Konsep PAS ialah masjid bukan sekadar tempat ibadah, bahkan pusat     pembangunan ummah -- untuk dididik tentang keadilan, kezaliman dan    pemerintahan mulia. 
           Ramai anggota Umno dikatakan mahu pemimpin dan isteri masing-masing     lebih berwajah Islam untuk menghambat hati masyarakat tradisional  Melayu. 
   Dr Mahathir sekian lama cuba memisahkan agama daripada politik dengan
menggesa masyarakat Melayu agar lebih memberatkan inti ajaran Islam,
bukan betapa lebatnya janggut atau rapinya purdah sebagai
 melambangkan keislaman. 
                     Namun, beberapa pemimpin Umno berpendapat garis pemisah Islam-politik        mungkin perlu dielak jika parti itu ingin menegakkan kembali pengaruhnya di     masjid.   Umno tidak mampu tewas dalam pertarungan tersebut. .  Kegagalan bermakna PAS berupaya menguatkan tanggapan di kalangan orang Melayu bahawa parti itu adalah Islam dan Islam adalah PAS. 
Senario seumpama pasti melemahkan lagi Umno dan berpotensi mengubah
imbangan kuasa menjelang pilihan raya umum Malaysia lima tahun lagi iaitu
 dalam tahun 2004. 
 

Dipetik dari CYBERITA

 

TERENGGANU DARUL IMAN®