Make your own free website on Tripod.com


KENYATAAN MEDIA

Kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Hishamuddin Tun Hussein dan Azimi Daim, Ketua
Penerangannya yang disiarkan dalam Berita Harian pada 22 Februari lalu jelas
menggambarkan ketenatan UMNO (Baru) yang sarat dengan pelbagai penyakit yang
selalunya hanya dijangkiti oleh parti tua.  Akhirnya Pergerakan Pemuda parti
yang baru berusia 13 tahun dan sepatutnya semakin gagah itu terpaksa merayu dan
mengemis simpati Pimpinan PAS untuk  menyedekahkan sedikit oksigen bagi
membolehkan mereka bernafas dalam atmosfera yang penuh dengan kemarahan serta
kebencian rakyat terhadap UMNO.

Hentikanlah cubaan terakhir untuk menyelamatkan parti yang bakal dikuburkan oleh
rakyat dengan menunding jari ke arah orang lain apabila harapan kamu untuk
melihat kejayaan perbincangan yang akan menentukan masa depan UMNO semakin
malap.  Pimpinan PAS bukan seperti Pemimpin UMNO yang boleh digoreng dengan
mudah oleh Dr. Mahathir.  Jangan palsukan fakta sebenar perbincangan
Jawatankuasa Teknikal UMNO-PAS dengan menuduh KeADILan dan Pemuda PAS sebagai
dalang yang cuba mengagalkan perbincangan tersebut. Tiga tuntutan yang
dikemukakan oleh Jawatankuasa Teknikal PAS bukanlah syarat baru sepertimana yang
digembar-gemburkan oleh media sebagai helah terbaru PAS untuk menggagalkan
perbincangan berhubung Perpaduan Nasional dan isu-isu Negara antara UMNO dan
PAS.  Sejak pertemuan pertama Jawatankuasa Teknikal UMNO-PAS pada 8 Februari
lalu, tiga tuntutan tersebut sudah dikemukakan sebagai syarat yang mesti
dipenuhi oleh UMNO sebelum pimpinan kedua-dua parti bertemu.  Hisham dan Azimi
sewajarnya sedar bahawa apabila Dr. Mahathir mengumumkan bahawa UMNO bersetuju
untuk bertemu dengan PAS pada 19 Februari 2001, ini secara tidak langsung
bermakna UMNO bersetuju untuk memenuhi 3 tuntutan itu sebelum perbincangan
dijalankan.

Tindakan menangguhkan perbincangan tersebut adalah wajar dan sudah pasti akan di
ambil oleh mana-mana pihak termasuk UMNO memandangkan syarat untuk berbincang
tidak dipenuhi hingga 18 Februari iaitu sehari sebelum tarikh pertemuan wakil
kedua-dua parti. Keputusan Jawatankuasa PAS Pusat menzahirkan kesungguhan PAS
untuk memperjuangkan nasib rakyat dan sewajarnya disokong oleh seluruh rakyat
Malaysia termasuk ahli-ahli UMNO. Tuntutan agar royalti minyak dipulangkan
adalah hak rakyat Terengganu untuk mentadbir dan membangunkan negeri tersebut
dengan mengunakan hasil buminya.  Tuntutan agar hak untuk menerbitkan Harakah
dikembalikan kepada dua kali seminggu juga adalah hak rakyat untuk bersuara dan
menyatakan pandangan yang telah dicabuli oleh Kementerian Dalam Negeri yang
diterajui oleh pemimpin UMNO.  Hak warganegara Islam Malaysia yang menyertai PAS
untuk menggunakan perkataan Islam pada nama parti mereka juga tidak sewajarnya
cuba dinafikan oleh perwakilan UMNO.   Lebih-lebih lagi PAS cukup konsisten
memperjuangkan Islam selaras dengan dasar perjuangan mereka jika dibandingkan
dengan UMNO yang sepatutnya sudah lama mengugurkan perkataan “Melayu” dari nama
parti mereka kerana sudah tidak lagi disokong apatah lagi memperjuangkan nasib
orang Melayu.

Saya yakin sebahagian besar rakyat Malaysia menyokong penuh pendirian PAS untuk
mengemukakan tiga tuntutan agar hak rakyat itu dikembalikan oleh UMNO sebelum
perbincangan dijalankan.  Tuntutan tersebut sebenarnya adalah terlalu ringan
kerana pertemuan ini adalah antara mangsa rompakkan dengan penyamun besar
negara.  Maka sewajarnya mangsa rompakan itu meminta penyamun tersebut
memulangkan haknya sebelum mereka setuju berbincang tentang pekara yang lebih
besar.

Kepada Hisham dan Azimi saya nasihatkan agar ubahlah kaedah pendekatan kerja
buat kalian untuk menyelamatkan kapal yang sedang karam itu.  Jika kalian mahu
mengembalikan sokongan orang Melayu terhadap parti uzur kalian, inilah masanya
untuk kalian bangkit memperjuangkan nasib penoreh getah, penanam kelapa sawit,
padi dan kelapa yang sengsara akibat kejatuhan harga produk keluaran mereka.
Tentanglah kenaikan harga barangan yang cukup membebankan rakyat seperti petrol,
bekalan air, kadar insuran kenderaan, tol, kos ubat-ubatan dan ratusan harga
barangan lain yang melambung secara mendadak kebelakangan ini.  Dan terakhir
sekali tolonglah kawal nafsu serakah pimpinan kalian seperti Mahathir dan Daim
yang tidak habis-habis merompak dana rakyat untuk menyelamatkan kroni dan
suku-sakat mereka.

Jika ini dapat dijadikan agenda perjuangan Pergerakan Pemuda UMNO (baru), saya
yakin tidak mustahil suatu hari nanti akan ada yang bersimpati dan menghulurkan
tangan untuk memperbaiki kebocoran kapal yang dipimpin oleh diktator tua yang
menanti ajal itu.
 
 

LOKMAN ADAM
 22 Februari 2001
Setiausaha Pemuda KeADILan
Malaysia