'Perpaduan budu' atasi perpaduan Melayu

JELI, 26 Jan  - Penduduk di negeri-negeri lain akan mengecapi suasana seperti dinikmati rakyat Kelantan sekarang sekiranya formula 'perpaduan budu' digunapakai oleh mereka.

Penyelia Parlimen Gua Musang, Haji Abdul Razak Abbas berkata, formula 'perpaduan budu' dianggap relevan memandangkan makanan itu menjadi kegemaran sebahagian besar rakyat Kelantan.

"Mereka akan mencecah budu semangkuk secara beramai-ramai untuk menambahkan selera makan," katanya di sini.

Sehubungan itu, beliau melihat perpaduan budu itu boleh menjadi satu formula baru kepada rakyat di negeri-negeri lain, untuk membolehkan mereka menikmati suasana pemerintahan seperti yang berlaku di Kelantan sekarang.

Menurutnya, budu sejenis makanan penyedap rasa menjadi kegemaran semua lapisan rakyat di negeri ini.

Beliau berkata, hasil pemakanan tersebut menyebabkan rakyat Kelantan mempunyai pendirian tegas mengenai politik, dan sanggup menukar mana-mana kerajaan dalam sekelip mata, sekiranya berlaku perkara yang menyalahi kehendak mereka.

"Rakyat Kelantan pernah membuktikan mereka boleh menukar kerajaan dari Perikatan kepada PAS dan sebaliknya," tambahnya.

Oleh itu, beliau melihat perpaduan Melayu yang dilaungkan oleh Umno sekarang tidak akan ke mana-mana kerana ia tidak bersandarkan kepada ideologi yang jelas.

Katanya, laungan perpaduan hanya berlaku setelah Umno begitu terdesak sekali kerana sokongan majoriti orang Melayu sudah beralih kepada Barisan Alternatif (BA).

Harakahdaily