Dituju khas kepada Pengarang Warta Darul Iman. 

Saya ingin merujuk kepada berita di muka surat 11 Warta Darul Iman keluaran 1 Jun 2000 bertajuk " JSR- Pastikan
Pengagihan Program Pembangunan Yang Lebih Adil dan Telus. " 

Ketika saya mula-mula terdedah dengan penubuhan JSR di sekitar Bulan Januari 2000, saya telah difahamkan melalui taklimat
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bahwa sepuluh (10) daripada enam belas (16) ahli JSR termasuk Pengerusinya,
dilantik oleh Menteri Besar (MB) manakala enam (6) yang lain dipilih oleh masyarakat kampung yang berkaitan. Amatlah
menghairankan saya apabila membaca berita Warta Darul Iman yang menyatakan 10 ahli termasuk Pengerusinya di pilih oleh
penduduk kampung secara musyawarah manakala yang lain dilantik oleh Pegawai Daerah. Maklumat yang manakah yang betul
dan sepatutnya menjadi rujukan untuk melaksanakan penubuhan JSR? Apa yang telah berlaku adalah berlandaskan maklumat
terdahulu mengakibatkan kepincangan dan rungutan banyak pihak. Sila rujuk kepada renungan saya di laman ini pada 19 Jan 2000. 

Di sini jelas terdapat percanggahan maklumat yang amat ketara dan rungutan-rungutan yang masih kedengaran hingga ke hari
ini mungkin diakibatkan oleh maklumat yang tidak tepat/keliru. Mungkinkah ini disengajakan oleh pihak-pihak tertentu untuk
kepentingan tertentu ? Banyak lagi persoalan yang boleh ditimbulkan cetusan dari perbezaan maklumat.....kedua-duanya dari
Kerajaan Negeri melalui dua jentera penyebar, ADUN dan Pusat Penerangan Negeri. 

Apa yang penting kita amati di sini ialah penyebaran maklumat yang benar, tepat dan semasa (timely). Penyelewengan
maklumat, dalam kes ini panduan/arahan kerajaan, membuka ruang kepada mereka yang berkehendak menyelewengkan
pelaksanaan sesuatu arahan. Oleh itu saya sarankan agar pihak-pihak yang bertanggungjawab memberi perhatian agar setiap
maklumat kerajaan disebar dengan sebenarnya, tepat dan semasa, (truthful,precisely and timely). 

Sekian, terima kasih. 

Watchdog.