TERENGGANU  DARUL IMAN
 
 
 
Perjanjian secara terang menyatakan royalti 

KUALA TERENGGANU, 12 Sept - Pengerusi Jawatankuasa Hisbah dan Tugas-Tugas Khas negeri, Tun Mohd Salleh Abas menegaskan bahawa perjanjian bersurat bertarikh 16 September 1987 yang ditandatangani oleh Menteri Besar ketika itu secara terang-terang menyebut royalti. 

Katanya, dalam perjanjian itu disebutkan tentang cara menghitung lima peratus ialah dengan mengikut harga FOB. 

"Dengan sebab itu, surat yang ditulis oleh Tan Sri Abdullah Mohd Salleh dan ditandatangani oleh Menteri Besar, apabila dibayar lima peratus adalah royalti," ujarnya ketika menggulung perbahasan usul tergempar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, perkataan royalti telah diubah kepada wang ehsan oleh kerajaan Pusat hari ini yang merupakan penilaian satu pihak sahaja. 

"Inilah pencabulan, jika hak Terengganu lima peratus (royalti), macam mana (kerajaan) Persekutuan yang tiada hak, tak pindah (royalti) kepada Terengganu. Ini adalah penindasan," ujarnya. 

Beliau juga menyifatkan kerajaan Persekutuan telah merampas hak kerajaan negeri kerana tidak membayar wang royalti kepada kerajaan negeri. 

Dipetik dari Harakahdaily