Make your own free website on Tripod.com
TERENGGANU MENGELUARKAN 16,855 METRIK TAN BUAH
 TIDAK BERMUSIM
 
 KUALA TERENGGANU, 19 Dis -- Terengganu berjaya
 mengeluarkan 16,855 metrik tan buah-buahan tidak bermusim
 seperti betik, pisang, nenas dan jambu dalam tempoh lapan bulan
 pertama tahun ini.

 Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Datuk Safian Mohd Salleh
 berkata, jumlah itu merupakan peningkatan berbanding 12,931
 metrik tan pengeluaran sepanjang tahun lepas.

 "Kita merancang untuk meningkatkan lagi pengeluaran
 buah-buahan tidak bermusim dan salah satu daripada langkah
 jabatan ialah memperluaskan lagi kawasan tanaman tahun depan,"
 katanya .

 Beliau berkata, buat masa ini terdapat 323 hektar kawasan
 tanaman buah-buahan bermusim di Terengganu.

 Perancangan untuk meningkatkan pengeluaran buah-buahan
 bermusim itu selaras dengan dasar pertanian negara dan juga
 permintaan yang semakin bertambah.

 Sofian berkata dalam tempoh yang sama, Terengganu
 menghasilkan 41,497 metrik tan buah-buahan kekal seperti limau,
 duku Terengganu, salak, dokong, cempedak dan durian.

 Sepanjang tahun lepas, ia mengeluarkan 53,435 metrik tan,
 katanya.

 Beliau berkata sehingga kini, Terengganu mempunyai 6,170 hektar
 kebun durian, duku (4,915 hektar), dokong (1,272 hektar), limau
 (1,200 hektar) dan rambutan (2,242 hektar).

 Menurut beliau, selain tumpuan meningkatkan hasil pengeluaran,
 jabatan juga akan memberi tumpuan kepada industri pemprosesan
 buah-buahan seperti jeruk, kerepek di kalangan keluarga tani.

 Beliau berkata, langkah jabatan itu bertujuan untuk meningkatkan
 ekonomi petani di samping membangunkan sektor pertanian negeri.